Isnin, 31 Ogos 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kemerdekaan lebih terasa jika pada 30/8 kau berada di Palestin,
dan 31/8 balik ke Malaysia menyambut kemerdekaan.

Ahad, 30 Ogos 2009

1MALAYSIA

Arab, Abai Sungai, Angko Indian, Achenes, Bookan, Bateq, Bisaya', Bintulu, Bajan, Burawan, Boyan, Beketan, Bidayah, Banjarese, Baba, Bugis, Belinese, Benggali, Bonggi, Che Hoong, Cantonese, Chitties, Cocos Islander, Dumpas, Dusun, Eurasian, Foo Chow, Gana, Gujerati, Heng Hua, Hokkien, Hokchia, Hakka, Hainannese, Ida'an, Iban, Iranun, Jahai, Jah Hut, Javanese, Jaffnese, Kantonese, Kintaq, Kuijau, Kalabuan, Kadazan, Kelabit, Kajang, Kejaman, Kanarese, Kimaragang, Kayan, Kalabakan, Kensiu, Kedayan, Kagayan, Kristang, Kwongsai, Kenyah, Lanoh, Lisum, Lakiput, Longkiput, Lobu, Lun Bawang, Lotud, Lundayah, Lahanan, Mendriq, Melanau, Mangkaak, Mah Meri, Malayali, Murut, Melayu, Makiang, Minangkabau, Minokok, Nepali, Orang Kuala, Orang Kanaq, Orang Hulu, Okolod, Orang Seletar, Papar, Paitan, Punjabi, Paluan, Pathans, Punan, Penan, Rungus, Rumanan, Sa'aban, Semoq Beri, Sama, Sino Natire, Sinhalese, Sinabu, Sindhi, Sekepan, Sungai, Suluk, Sihan, Semelai, Serudung, Semai, Sembakung, Tatana, Timugon, Temuan, Tombonuo, Tagal, Tamil, Tinagas, Teochow, Telegu, Tengara, Tidung, Tobilung, Temiar, Ukit, Ubian.


InsyaAllah, 1agama mampu menyatukan mereka.

Selamat menyambut hari kemerdekaan kita yang ke-52...

Sabtu, 29 Ogos 2009

Kelek



kau kelek,
dia berkekek,
ini bulan puasa,
kau hanya tunggu makan buka,
kataku,
sambil hirup sup perut,
daripada lembu itu.

p/s: tak pernah aku tinggal puasa dan tak pernah pegang kepala lembu

Selasa, 25 Ogos 2009

Puisi Rindu

Berbalam hati mereka,
menanggung rindu,
ketika berlabuh tirai Syaaban,
dan hadir Ramadan, penghulu bulan,
rindu mereka terubat sudah,
bagi jiwa seperti mereka,
malam bukan sekadar tidur,
siang bukan lapar dan dahaga,

Aku ingin seperti itu,
menikmati laparnya puasa,
dan nikmatnya bertahajjud,

Puisi rindu ini,
ku dendangkan buat mereka,
yang jiwanya merindui Ramadan,
setia merindu,
ibarat malam menanti siang,
semoga satu hari nanti,
akan ada yang mendendangkannya kepada ku,

Ya Allah,
golongkanlah ku ke dalam kelompok itu,
semoga di Hari Akhirat nanti,
aku dapat mengecapi kebahagiaan,
bertemuMu.

Khamis, 20 Ogos 2009

Ikutlah Aturan

Assalamualaikum,

Orang Melayu tinggi kiasannya. Jarang sikapnya menyerang terus. Watak kita menolak permusuhan.Kata penuh lapik, banyak pendam dari luah. Izinkan saya bermadah sedikit. Meski bahasa tak seindah mana. Maaf jua saya pohon. Biar tuan mendapat faedah. Itu sahaja tujuan bermadah.


membaca biar dari mengeja,
mengira satu persatu,
berjalan dari bertatih,
melihat dari menunduk,
jangan berlunjur sebelum duduk,
masuk rumah ikut pintu,
jangan melompat dari tingkap,
pendek kata, si tua menyebut,
sikit-sikit lama-lama berhasil bukit,
biar lambat asal selamat,
biar berdikit,
asalkan sampai,
jangan dikejar menurut kehendak,
kehendak bukan semua betul,
adat ada sebagai pemandu,
bukankah Melayu adatnya indah,
ikut akal dibimbing wahyu,
wahyu pula jangan yang sesat,
pantang Melayu bersimpang agama,
hanya Islam melekat di hati,
cukup di sini hamba berkongsi,
moga dikecap segala yang bakti,
izin hamba mengundur diri,
bersua bersapa senyum,
berpisah berjanji jumpa.


-iSwa-
4.06ptg
Khamis, 20/8/09
Petaling Jaya

Rabu, 19 Ogos 2009

Tuan Guru Nik Abdul Aziz: Bila Tuan Mula Bermadah..

Manis kopi kerana gula,
Manis Tuan pada bicara.

Izin dipinta pada yang tua,
Oleh pemuda memula kembara,
Izinkan hamba atas bicara,
Menyalin pantun Tuan yg dimulia.


Ini sebahagian teks ucapan tuan Guru semasa merasmikan konsert Nasyid Antara Dunia. Teks penuh boleh diakses di sini

Rendang kayu kerana daunnya
Terpandang Melayu kerana pantunnya.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Kalau berladang kurang tekun
Lesap padi ditelan belukar
Kalaulah hilang tukang pantun
Senyap sunyi bandar yang besar.

Kapal belayar dari Arakan
Selit besi jadi kemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati “ambo” kerana budi

Tuan Puteri ke Tanjung Keling
Bilah mengkuang dianyam tenang
Biar isteri benci menjeling
Tetaplah abang terkenang-kenang.

Naik bertamu di Pulau Tawar
Singgah menjala di Kg. Bantal
Pahit jeling jadi penawar
Abang simpan di bawah bantal.

Ujung rusuk patah tulang
Kena tindih kayu rasak
Kalau sungguh rindukan bulan
Tunggu dulu lepas Isya’.

Tebuk kayu dengan pahat
Kelek mangkuk pakai topi
Kata mahu keluar jihad
Nampak tersangkut di kedai kopi?

Anak ayam turun lapan
Mati seekor tinggal tujuh
Harap berdoa kepada Tuhan
Supaya terang jalan bersuluh.

Tiang sehasta dibuat galah
Berpanjang lengan kait melati
Berjuang kita ke jalan Allah
Biar dengan sepenuh hati.

Manis sungguh dokong tuan
Malam resah pelita mati
Payah apa sokong bulan
Mungkin susah tapi tak mati.

Apa dirisau hantu jembalang
Quran dibaca berhari-hari
Tubuh besar janggut panjang
Bunyi wisel kenapa lari?

Dayung sambil pasir kemudi
Air deras di Ulu Tersat
Jangan diambil jalan Yahudi
Itu sah menuju sesat.

Ikan belanak ditutup saji
Saji dianyam oleh Pak Mahat
Orang khianat jangan dipuji
Makin dipuji makinlah jahat.

Sejak kera masuk negeri
Anak merbah mati tersepak
Sejak ketua sibuk mencuri
Anak buah jadi perompak.

Burung punai burung kelicap
Hinggap berkawan di hujung dahan
Tiada guna lawa dan kacak
Jika melawan hukum Tuhan.

Tanam halia tumbuh lengkuas
Semak daun si api-api
Apa guna kaya rasuah
Esok dipanggang di atas api.

Terbang kunang di tengah malam
Hinggap masuk di tiang seri
Tangan kanan ajak bersalam
Apa maksud pisau di kiri.

Hujung kota patik menanti
Orang Kaya Laksamana Bentan
Tuan berkata sesuka hati
Karamlah saya tujuh lautan.

Tuanku umpama emas segetus
Segak bertempat indah seorang
Hamba umpama selipar yang putus
Tiba bertempat dilupa orang

Bermamah sirih di tengah pelita
Pahit mulut sampai ke pagi
Terbit suluh batilpun pergi.

Biar bersambung bedilan ferenggi
Takku tinggal ini kota
Islam berbumbung di awan tinggi
Mengatasi segala mainan kata.


Gua Bama sungai hulu
Kuala Damak berbatu karang
Hamba umpama dagang lalu
Nasi ditanak milik orang.

Rata lapang gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
Kita menumpang bumi Tuhan
Jangan dibuat sesuka hati.

Daun palas ikan kelah
Mari diikat dengan tali
Niat ikhlas kerana Allah
Syirik tidak sekali-kali.

Papan tualang mari diukir
Buat tongkat sikayu jati
Siang malam hidup berzikir
Kuat ibadat sebelum mati.

Akar tersat jambu batu
Ikat kolek bertali kain
Resam ibadat niat bertentu
Bukan boleh dibuat main.

Jalan bengkok terkial-kial
Sambil mengupas limau langkap
Tengokkan songkok bagaikan kiyai
Kenapa membaca tergagap-gagap?

Apa guna berkain batik
Jika labuh berbayang-bayang
Apa guna beristeri cantik
Jika Subuh tidak sembahyang.

Teluk Rokan tempat memancing
Angkat raga berisi gelas
Jika ikan umpannya cacing
Syarat Syurga ialah ikhlas.


Tunas selasih dibuat rebung
Asah belati diasap damar
Bercerai kasih boleh disambung
Berpisah mati putuslah amal.

Putus amal jika mati
Itu muktamad dari Allah
Cuma ada 3 kecuali
Anak soleh, ilmu dan sedaqah

Lantang bersahut burung bebarau
Kayu jati dibuat sarang
Adab hidup kita bergurau
Sudah mati terguling seorang.


Dari Demak ke Mekasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju.

Pinang dusun kacip cekati
Sirih dibilas luar rumah
Saya berpantun dari hati
Tuan balas tiba dirumah.


Indah sungguh Tanjung Sedeli
Pulau Seratus dilambai Nyonya
Sepanjang mana seutas tali
Akan ada tirus hujungnya.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Fokus Fasa Tiga

Puasa yang berjaya dari segi kesihatan melalui tiga fasa iaitu :-

Fasa pertama (dua hingga tiga hari)

# Perut lapar, badan letih dan cepat marah (kadar glukos dalam darah rendah).

Pada fasa pertama inilah orang berpuasa terasa amat terduga dan paling susah hendak dilalui. Ini kerana pada masa ini, badan belum terbiasa dengan keadaan perut kosong dan rutin baru yang diamalkannya.

Fasa asidosis. (tiga hingga 14 hari)

# Kurang selera makan, nafas berbau, lidah menjadi ?putih? atau ?berdaki?, badan lesu.

Fasa ini tidak berapa terkesan sebab cara puasa yang diamalkan ialah puasa separuh masa dan makan minum separuh masa. Jika kita terlalu sedikit makan, fasa ini akan dikesan dengan nyata.

Fasa ketiga (14 hari hingga akhir puasa )

# Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukos kembali normal.

Pada fasa ini, mental, emosi dan badan semakin ?optimum? dan anda menjadi seperti orang baru.

Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses? asidosis dan ketosis? dalam badan berjalan lancar.

Wali Allah mencapai peringkat spiritual yang tinggi kerana ketajaman? mata hati? mereka kerana puasa yang mencapai matlamatnya.


Oleh : Dr. Suriya Osman

Dipetik dari: http://www.permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=2

Khamis, 13 Ogos 2009

Bila masuk Maghrib ya?

Dalam beberapa hari lagi, waktu maghrib akan menjadi terlalu popular, yang tak pernah sembahyang maghrib pun akan ambil tahu. Kenapa? Hahaha... Sebab waktu itulah kita berbuka. Kita yang selam ini tak pernah tahu waktu tepat maghrib pun akan memerhati hari demi hari, minit demi minit kita kira. Itulah Ramadan, sangat tipikal, dan sentiasa begitu setiap tahun. Entah berapa kali sudah bumi ini mengelilingi bumi, manusia tetap dengan perangai itu.

Kadang-kadang bukan puasa pun orang-orang ini, tapi waktu itu wajib tahu, biar perbuatan makan boleh dilakukan terang-terangan. Entah lah, suruh puasa tak nak puasa, suruh makan, makan pula. Tahan lapar sebab nak diet boleh pula.

Bulan puasa nanti, semua sibuk tambah amal, orang seni pun berehat menyanyi/berlakon, menghormati Ramadan. Bagus lah, ada sense of respect. Mereka pun buat amal, berbuka bersama anak yatim, hiburkan pula dengan menyanyi. Aik, tadi kata nak berehat hormat Ramadan.

Penghayatan Ramadan ini sekejap saja, lebih kurang 2 minggu saja. dah lah sebelum Ramadan dah ada promosi pra-raya, 2 minggu lepas puasa dah berdendang lagu raya.. Hari raya apatah lagi. Baju raya lawa-lawa belaka (yang melampau), makanan enak-enak sahaja (yang melampau), hilang terus roh Ramadan.

Kadang-kadang terfikir juga, Ramadan ini sebenar tak lebih sebagai penyebab untuk raya sahaja. Hukum alam menetapkan sebab mesti mendahului musabab, maka Ramadan dijadikan 'bidan terjun' untuk musabab berlaku. Dalam erti kata mudah, nak merayakan sesuatu perayaan, mesti ada melalui kesusahan dulukan. konon-kononnya Ramadan ni kesusahanlah. Dengar lagu-lagu raya, lebih kurang itulah maksudnya.

Habis di sini dulu tulisan ini. Nak panggil sebagai tazkirah pun boleh, nak kata bebelan pun silakan. Yang aku harap cuma satu, biar orang yang terlibat yang baca, nak suruh dia rasa pedasnya cili, dan kemudian berubah. Aku ingin pahala melakukan dakwah, paham? Sia-sia menulis kalau tak dapat apa. Dan kau pun, jangan buat perkara, tanpa harap dan dapat pahala. Jangan buat benda sia-sia. Kekasih Allah tak suka, apatah lagi Allah, yang Maha Pemurah.


saifullah almaslul
12.09pg,
Jumaat,
K.Lumpur

Selasa, 11 Ogos 2009

Gadis Bunga Bangsaku

Wahai gadis, bunga bangsaku, engkau adalah aset berharga kami. Engkaulah tulang belakang perjuangan kami. Jangan biar perkara sekecil cinta sesama manusia menghancurkan hidupmu. Perjalanan hidupku ini pernah melihat pelbagai ragam kawanmu. Pernah ku melihat mereka berpeleseran, menjadi hidangan mata dan nafsu lelaki, ada yang menghanyutkan diri sendiri, merelakan nafsu mengawal takdirnya, dan tak kurang juga yang meletakkan maruah di celah kaki lelaki.

Pun begitu juga aku melihat, kawanmu yang teguh berdiri menjaga maruahnya, hingga malu aku berhadapan dengannya. Iman seteguh tiang seri, solat mengukuh rumah agamanya. Hati keras menigimpikan pahala sebesar Saidatina Aisyah si merah, tak kurang juga mendambakan semangat Saidatina Fatimah, puteri Baginda.

Tetapi ingat bunga bangsaku, jiwamu lemah dengan cinta lelaki, tak kira siapa kamu, ustazah di sekolah, atau gadis peleseran, demi namanya cinta, sanggup kau mengorbankan diri. Ini sejarah, dan ia sentiasa berulang. Beringatlah wahai bunga bangsaku, penyeri agamaku.



cinta ku hadir,
ketika melihat gadis itu,
serinya menghembus bayu lembut,
lalu dedaun hatiku bergetar,
tak perlu pandang pertama,
kerna bayu tak sentiasa berpuput lembut,
hanya pabila cuaca indah,
dan mentari menyinar ceria,
baru ku terasa, indah alam ada maknanya,
makna dalam keindahan,
keindahan hakiki,
dan kau telah kutemui,
setelah semalam tengkujuh melanda,
sembunyikan segala keindahan,
bukan mata, tapi hati melihat,
cinta itu hadir bersama kemuliaan,
kemuliaan murni gadis,
penuh santun budi,
halus akhlak pekerti,
patuh mu pada agama,
tak bisa tercabut iman,
laksana kukuh akar mencengkam tanah,
bak kejora yang tak pernah jatuh,

gadis sepertimu,
ingin aku miliki...



-iSwa-
10.28pm,
11 Ogos 2009,
Kuala Lumpur (Kota Batu)

Selasa, 4 Ogos 2009

Angka-angka Berserakan

2458.39+250+300+750+300-2630.7 = 1427.69

tak payah fikir, hanya ahli matematik terpilih saja yang tahu.

Isnin, 3 Ogos 2009

Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara

Sudah, jangan putar belit lagi cerita,
tugas mereka selesai,
sekarang giliran kamu pula,
buat kerja cepat...