Rabu, 21 Oktober 2009

Kata Pak Samad

Kata-kata seorang tua, yang pada hujung usianya sepatutnya duduk di bangku malas menikmati hari-hari terakhir, tetapi terpaksa lagi mengerah keringat memperjuangkan 'jiwa bangsanya' - bahasa ibundanya.

Inilah kata-kata pak samad semasa meluncurkan album Dari Rakyat Untuk Rakyat di Dewan Keramat AU2, malam Sabtu 17 oktober 2009.

BERNYANYILAH DARI HATINURANI

Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.

Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan.” Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.

Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin—kita bercakap saja sesama sendiri, sesama rakyat.
Sebenarnya, kita menyanyi.

Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin—suara dari batin—kejujuran dari batin. Dan malam ini, kejujuran dari batin coba menghantar reslitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi, isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan—kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku—ISA).

Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius—lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi, itulah kehidupan sebenar—real dan kasar—realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan.
Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.

Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga—ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propaganda melalui cogankata yang mendadak—cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang citak, yang letronik)—patuh (terkadang melampau) menjeritkan propaganda itu.
Ada bedanya antara propaganda institusi gergasi dengan propaganda jerit insan kecil. Yang pertama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.

Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera—tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.

Lagu “Ikut Suka Aku—ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.

Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propaganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus—atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidur nyenak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Makanya, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru—yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi sepenuhnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.

Sokonglah “Dari Rakyat ke Rakyat.” Bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.—A. SAMAD SAID.

17 Oktober 2009.

catatan SS:
-Fatehah Memali dalam teks ini merujuk kepada lagu Syuhada Memali, lirik Amin Iskandar.
-Dari Rakyat Ke Rakyat merujuk kepada album Dari Rakyat Untuk Rakyat

Isnin, 19 Oktober 2009

Mari Bercerita Kisah ... (semoga mendapat sesuatu yang bermanfaat)

1. Mari Bercerita Kisah Chenta

Dalam ketenangan dan kebluesan hidupku, rupa-rupanya, tanpa sedar aku telah termasuk dalam zon larangan sepasang kekasih. Aku langsung tidak sedar, sehinggalah pasangannya menelefon aku memberitahu tentang ini. Aku berhubung dengan dia melalui sms. Aku bukanlah rajin sangat nk balas sms, apa lagi nak bermesej-mesej ini. Balas mesej orang pun biasanya lambat. Cuma bila ada mood saja aku rajin bermesej. jadi kalau dia sms aku balas macam biasa, ikut mood. Berkawan pun sekadar memenuhi tuntutan silaturrahim sesama Islam, tak pernah lebih. Tak pernah pun fikir nak lebih. Bila pasangan dia telefon, barulah aku kenal siapa dia ini, mereka ini setapak lagi nak ke jinjang pelamin. Terkejut jugalah mula-mula itu, tapi watak pasangannya ini rasional, aku pun respeklah. Pasangannya mengadu yang dia ini selalu sangat senyap bila bersama. Jadi sebab itu lah pasangannya buat spot check kat handset dia ini. Ooo... Itu al-kisahnya. Pasangannya ada juga tanya soalan-soalan provok, tapi aku jawab dengan hati-hati, takut pasangannya syak yang pelik-pelik pula dekat dia ini. Watak aku pula suka kepada kedamaian. Aku janji pada pasangan ini akan lebih hati-hati membalas mesej kalau dia mesej aku lagi. Di hujung perbualan sempat aku doakan semoga mereka ini selamat sehingga kahwin. Ketawa besar pasangan dia ini. Selesai satu kes.

Komen aku: Bercintalah dengan penuh penghormatan. Berikan cinta hanya apabila tiba masanya dan pada orang yang berhak. Bataslah cinta dengan batasan-batasan Islam, kerana hanya Yang Maha Pencinta sangat-sangat memahami kehendak laki-laki dan perempuan, Makhluk ciptaannya.


p/s: bila dah bercinta tu, kawinlah cepat-cepat.


2. Mari Bercerita Kisah Boikot

Ada seorang mak cik ni, tinggal di utara jauh semenanjung, Changloon, masih setia memboikot barangan yang menyokong Israel. Dia berpelajaran sederhana saja, buka internet sendiri pun tak pernah. Tahu cerita-cerita boikot ini pun dari anak-anak dia yang belajar di universiti. Untung dia kata ada anak-anak yang belajar tinggi beritahu dia perkara-perkara macam ini. Bukannya ada di TV pun benda-benda macam ini. Jadi, dan masa berlalu dia masih lagi memboikot, anak-anak balik nak minum milo pun tak ada, dia ganti jenama lain, maggi pun tak makan, apatah lagi McD, KFC, Coca-cola, dan barangan Nestle. Semua cari alternatif lain. Kita terpaksa pasrah yang semangat memboikot barang-barang ini semakin lama semakin luntur. Agaknya kita nak tunggu Israel jatuhkan bom sekali lagi baru nak tersedar.

komen aku: Bagaimana kita? yang berpelajaran dan sentiasa hidup dengan internet. Semua maklumat tersedia dan terhidang. Masih memboikot lagikah? atau sudah melupakankah? Nak-nak lagi tawaran promosi dari syarikat berkenaan yang memujuk nafsu kita melupakannya. Mak cik ini, tanpa perlu diingatkan lagi, terus teguh memboikot.


p/s: jom pi Sg. Petani, pekena Radix FC



3.Mari Bercerita Kisah Ibu

Baru-baru ini, aku menelefon ibuku, waktu itu aku tengah minum seorang-seorang di kafe, waktu bekerja. Dia tanya khabar, dan dengan tak sengaja, aku termengadu sakit perut kat ibuku, sebab itulah aku pergi minum waktu kerja. Dia cuma pesan, kalau lepas alas perut tu masih sakit lagi, makan lah ubat. Baiklah mak, dan sampai situ perbualan kami. Sedang buat kerja waktu malam di rumah, tiba-tiba dapat satu mesej dari celcom, YOU HAVE 1 MISSED CALL FROM YOUR MOTHER (biasalah, line kadang-kadang tak elok, orang telefon pun tak dapat). Mak aku telefon? Aku telefonlah ibuku. Rupa-rupanya dia telefon sebab risaukan aku, sampai tak boleh tidur katanya. Dia kata takut jadi sakit macam yang dulu. Terkejut. Terkasima. Terpaku. Tak sangka pula ibuku sampai begitu sekali walaupun aku ini sudah besar panjang. Aku pun terfikir, mungkin sebab itulah wajib bagiku untuk taat kepada ibuku, mungkin sebab itulah redha Allah terletak pada redha ibu, mungkin sebab itulah, tak boleh berkata 'uh' pada ibu, mungkin sebab itulah ibu 3 kali lebih utama dari ayah, mungkin sebab itulah syurga terletak di bawah tapak kaki ibu, mungkin sebab itulah... mungkin sebab itulah... dan mungkin sebab itulah....

komen aku: Beruntung setiap wanita di dunia ini, Allah telah kurniakan kamu dengan naluri keibuan. Hargailah, kerana ia adalah sesuatu yang amat bernilai. Kami lelaki tiada mampu untuk seprihatin itu, itu adalah kurniaan istimewa Allah kepada mu.


p/s: terima kasih ibu!

Rabu, 14 Oktober 2009

Telefon

Setakat ini, aku dapat 3 perbualan telefon:

perbualan 1: simpati

perbualan 2: gembira

perbualan 3: kecewa

Hidup ini penuh rencah dan ragamnya. Jangan lupa masa kita gembira, ada orang lain sedang berduka. Jangan bersedih semasa kecewa, ramai lagi yang kurang bernasib baik daripada kita. Allah itu Maha Adil, cuma kita yang kurang arif menilai keadilannya. Bersimpati kepada orang yang susah, menjadi tanggungjawab kita sesama manusia untuk menolong. Siapa boleh jamin kesenangan kita hari ini akan kekal hatta untuk esok sekali pun? Dan mereka yang susah itu pasti menerima kesenangan apabila tiba gilirannya.

Simpati, gembira, dan kecewa, aku doakan orang-orang yang terlibat sentiasa dalam iman yang teguh untuk melalui liku-liku hidup.


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,

(Al-Baqarah, 45)

____________________________________________________________________

Masa makan tengah hari lah,

tauke: nasi ok dik?
aku: ok. (sedap, kata dalam hati)
tauke: adik selalu makan sini tak?
aku: jarang2.
tauke: kenapa?
aku: aaaa....

(selepas lebih kurang 10 saat dan muka tauke nampak pelik je)

tauke: keja sini ke?
aku: ye, keja sini.

p/s: salah ke cara aku jawab tadi.. sebelum ni memang la tak makan situ, sebab puasa Ramadan.

Selasa, 6 Oktober 2009

Petikan 'La Tahzan'

Pada setiap hati yang rawan, carilah Allah sebagai tempat mengadu.

'Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua hati yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dua kubu yang saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan. Dan setelah itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kabahagian itu di syurga.Adapun yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka.'

Jumaat, 2 Oktober 2009

of 25th IIUM Convocation

pada segulung ijazah
yang tertulis
kejayaan berupa huruf dan angka;
yang tak tertulis
suka
duka
tawa
hiba.


Selamat berkonvo rakan seperjuangan sekalian. Moga hidupmu yang mencabar selepas ini dapat ditempuhi dengan berbekalkan rahmat Allah.