Khamis, 31 Disember 2009

Minda.Bebas.Selamat

Minda yang bebas
adalah minda yang dalam erti kata sebenarnya bebas

Minda yang bebas dan selamat
adalah minda yang dalam erti kata sebenarnya bebas
dan berpandukan Islam

Berikan mindaku kebebasan dan Islam!




Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:256)



Rabu, 30 Disember 2009

Duit ver1.0

Di zaman wang menjadi ukuran, segala-galanya adalah kerana wang. Penangan kapitalis benar-benar membirat di setiap inci badan. Kepandaian Adam Smith rupa-rupanya membawa dunia ke rupa yang sebegini. Kini wang segala-galanya. Ah, bohonglah ungkapan 'money is not everything'. Hakikatnya, wang adalah segala-galanya, dan semuanya mahukan wang. Kesopanan, budaya timur, tolong-menolong, gotong-royong, dan pelbagai lagi perkataan-perkataan suci seperti itu boleh sahaja dibuang ke tong sampah. Hempas sahaja ke dalam tong, dan ludahkan sekali. Begitulah makam sepatutnya untuk nilai-nilai 'semurni' itu.
Di kampung yang permai sekalipun, mereka berparang merebut duit, manalah ada lagi menolong tanpa menghulur, memberi tanpa harap balasan, itu semua cakap-cakap kosong ibarat mat ganja yang khayal melihat syurga ketika lalok.
Di bandar apatah lagi, jiwa kapitalis menjalar ke setiap nadi, meresap ke peparu, bronkus, dan bronkoil yang paling dalam, menjadi darah daging dan sumsum tulang. Hakikatnya duit adalah raja dan bagi atheis, wang adalah tuhan yang patut disembah.
Ke tandas awam (walaupun namanya awam) di'pau' paling kurang 20sen. Jangan ingat ke kubur tak perlu bayar, jenuh kaum keluarga mencari duit semata-mata urusan pengebumian. Apa lagi? Ungkapan 'percuma', 'free', semua itu adalah ganja yang mengkhayalakan. Disebaliknya, adalah nafsu yang laparkan duit, kekayaan dan kemewahan.
Contoh yang mahu dikisahkan ini adalah salah satu kebejatan yang berlaku. Tak mungkin boleh dijadikan hujah di mahkamah untuk menghukum para pelapar duit, kerana penulis tidak berduit untuk merasuah untuk memenangkan kes (wang adalah rukun penting bagi proses rasuah).
Contoh paling signifikan adalah kisah nikah-kahwin-cerai-berai. Bermula dari babak percintaan lagi, duit adalah syarat penting kejayaan sesebuah cinta. Sembilan nafsu wanita pasti sahaja tidak akan membiarkan janji-janji sang lelaki tanpa disaduri wang dan kemewahan. Dapat dilihat di mana-mana, wanita berjalan dengan lelaki tua yang ibarat bapa yang kaya-raya. Jika percintaan tidak berjaya? Lihat sahaja pada contoh bekas tunang yang menyaman wanita sebanyak sejuta; akibat putus tunang.
Masuk ke fasa seterusnya, apabila tiba ke gerbang perkahwinan, perkara yang paling digeruni adalah wang. Mas kahwin+wang hantaran+belanja kahwin+miscellanious, jangan haraplah jumlahnya 4 angka. Dan para bakal pengantin lelaki terpaksa melutut di pintu tauke kapitalis untuk meminjam barang sepuluh sen dua. Sama ada konvensional atau perbankan islam, dua-dua sama (maksudnya, jika ia di tangan kapitalis). Bayarannya tetap mencekik darah hingga ke sel darah merah, sel darah putih, dan plasma. Dan syarat berkahwin pula, mestilah berkereta (perlu juga melutut lagi), sebuah rumah (terpaksa bersujud di pintu bank kerana jumlahnya 6 angka). Kamu ingat kes pembuangan anak tiada kaitan dengan kapitalis ini?
Fasa seterusnya, menanggung anak. Kata-kata indah anak lahir dengan rezeki sendiri menjadi penyejuk hati. Realiti yang ditempuh adalah pahit, setiap anak lahir dengan kos. Sakit bersalin itu ada nilai mata wangnya. Bersalin percuma di hospital kerajaan amat menyakitkan, sebaliknya kurang sakit apabila wang dihulur ke hospital swasta. Saat pertama anak melihat dunia telah 'diajar' dengan kapitalis (azan rupanya perkara kedua yang anak belajar).
Membesarkan anak memang memeritkan. Pada botol susu tersumbat kapitalis. Pada pampers bayi dicop denagn kapitalis Bedak, sabun, pakaian, dan mainan bayi semuanya terselit kapitalis. Sehinggalah memberikan pendidikan formal, semuanya perlukan wang. Kepandaian anak membawa perkhabaran gembira dan bersamanya perkhabaran sedih. Gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading, sedihnya kerana mereka terpaksa berhutang dulu sebelum memanjat menara gading itu.
Dan kitaran itu berulang semula seperti bapanya.
Semuanya wang. Para kapitalis sungguh bijaksana, merangka teori-teori hebat supaya di setiap sudut hidup manusia ada terselit keperluan wang. Dan dalam kesedaran atau tidak, di situ mereka hadir. Kadang-kadang hadir dalam bentuk ingin membantu, dalam masa sama mengaut untung.

(Contoh yang dibawa adalah hal-hal perkahwinan, tetapi bukan hal-hal perkahwinan yang ingin dicerita. Contoh ini diambil kerana ia melibatkan banyak aspek-aspek kehidupan lain.)

Ah, indahnya jika tiada istilah 'Mata Duitan'

"Dan kamu cintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan"(al-Fajr 20).

"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" (al-Kahfi, 46).

Khamis, 24 Disember 2009

Darah Satria


Pastinya, setiap warga tentera tahu akan lagu ini. Lagu yang menggambarkan mereka seperti satria negara, menjadi perisai kepada kedaulatan negara.

Mereka yang berada di barisan hadapan, memegang jawatan tinggi, dan pemerintah yang disanjung telah menjual maruah negara kepada tauke kapitalis, untuk kepentingan kocek mereka sendiri. Sedangkan rakyat biasa ternganga menadah simpati pemerintah. Beratus tahun kita dijajah dengan kapitalisme, sehingga ia menjadi sebati dalam darah daging. Kemuncak kini, harga sebuah kedaulatan dijual begitu sahaja. Kesalahan diletakkan dipundak Lain-Lain Pangkat (lower rank). Dikatanya kuasa terlalu banyak diberikan kepada LLP sehingga mereka bertindak sedemikian. Dan sekali lagi pemerintah atasan cuci tangan macam itu sahaja. Sedangkan mereka yang sedang rancak merogol kedaulatan sebuah negara. Pangkat dibahu sebagai lesen untuk bermaharajalela, bukan lagi dipakai untuk menginsafi diri betapa berat tanggungjawab dipikul. Hei, tahukah engkau, ketua adalah antara orang yang paling lama disoal siasat oleh Allah di padang mahsyar nanti. Jangan bermimpilah kau akan berkuasa seperti di padang kawad seperti selalu.
Insaflah, bersempena Maal Hijrah yang disambut, betapa Jeneral agung tentera bernama Muhammad saw bersusah payah lebih daripada prebet-prebetnya. Baginda sendiri berhijrah, dan diburu oleh kaum Musyrikin. Sedangkan kau, hanya meneguk air anggur di mess yang kau sendiri cipta dan menari bersama gadis-gadis bogel, dan memperaga pangkatmu dan bintang mu yang berkilau dan, dan, dan....

..dan masa berlalu, menjadi saksi kebobrokan sikapmu.

Selasa, 22 Disember 2009

Tentang Yusuf Al-Qardawi ketika di Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim
(semoga isi yang ditulis ini tidak menyimpang tujuannya)

Yusuf Al-Qardawi (YAQ) adalah seorang ulama tersohor masa kini. Dijemput ke Malaysia untuk menerima tokoh Maal Hijrah. Mengambil kesempatan beliau berada di Malaysia, banyak pihak yang menjemput beliau mengadakan ceramah. Salah satunya di Masjid Negeri Selangor, di Shah Alam. Ya, sebuah negeri Pakatan Rakyat dan Menteri Besarnya daripada PKR. Turut serta di dalam majlis itu ialah Anwar Ibrahim, ketua pembangkang di Parlimen. Peduli apa semua itu, malaikat akan tetap menaungi kita walau siapa pun penganjurnya, biru BN atau oren PR, malaikat tetap hadir di majlis ilmu.

Tentang isi ceramah beliau, cari sahajalah di mana-mana blog, ramai yang mengupasnya. Bermula dari sudut Islami, sehinggalah ke sudut politik. Diizinkan kiranya, untuk mengupas dari sudut yang lain, yang sepi dari pandangan orang (mungkin?).

Tiba sahaja YAQ ke dewan masjid, azan hampir berkumandang. Semasa azan dilaungkan, sudah ramai yang mula bangun ke saf-saf depan. Aku cuba menjadi rebel, cuba untuk tidak mengikut rentak ramai. Ya, akhirnya tewas, bangun jugalah aku. Yang kagumnya, habis sahaja azan berkumandang, semua makmum sudah berdiri. Aku ingatkan terus sembahyang maghrib tanpa sunat sebelum maghrib (sebab ada sesetengah tempat yang buat macam itu). Tapi tidak, ada senggang masa antara azan dan iqamah, sempat untuk bersolat rawatib. Menjadi canggung kerana tak pernah makmum berpusu-pusu memenuhkan saf sebelum iqamah, siap semuanya berdiri menunggu solat bermula.

YAQ menjadi imam, ada yang kata beliau buat solat jamak. Yang aku perasan, beliau tidak memulakan Al-fatihah dengan lafaz basmalah. Mungkin beliau berpendapat basmalah bukan sebahagian daripada Al-quran, dan ayat yang akhir dari surah Al-fatihah itu sebenarnya terdiri daripada dua ayat, bagi melengkapkan 7 ayat dalam surah Al-fatihah (sila betulkan kalau aku salah).

Selesai solat, beliau tidak berzikir secara kuat, makmum berzikir sendiri. Tak lama kemudian majlis bermula. Menjadi canggung juga, sekali lagi orang ramai memenuhkan ruang-ruang hadapan. Pastilah, daun pelepah tamar kalau jatuh tidak akan mencecah lantai. Begitu bersungguh penghormatan yang diberi.

Isi ceramah berkenaan Hijrah. Isi-isinya seperti ceramah-ceramah biasa Maal Hijrah, tetapi yang menarik perhatian adalah, kaedah logic thinking yang beliau gunakan. Mengambil iktibar kisah-kisah binatang yang terlibat membantu semasa penghijrahan Nabi, beliau berkata, dalam Al-quran mengatakan Nabi Muhammad dibantu oleh Allah melalui tenteranya yang tidak kelihatan oleh mata kasar, macam mana pula kisah-kisah binatang yang boleh dilihat dengan mata kepala orang, menjadi cerita yang boleh dipercayai. Tambahan pula, hadis-hadis berkaitannya pula lemah. Pendek kata, berpeganglah pada Al-quran, jika ada yang bertentang dengannya, insyaallah sumber itu bukan yang benar, walaupun ada yang mengatakan ianya berasal dari sabda Nabi. Mudah bukan?

Ceramah berlangsung selama sejam setengah. YAQ bercakap hanya setengah dari masa itu, kerana setengah lagi adalah masa untuk ustaz di sebelahnya menterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Selepas itu solat Isyak hendak didirikan. Ketika itu juga, YAQ mula sakit. Berpusu-pusulah makmum ke hadapan, hendak tahu khabar berita. Sehingga betul-betul solat ingin didirikan, orang-orang ini masih sibuk-sibuk lagi di depan. Sudah banyak kali orang masjid menegur menyuruh semua balik ke tempat asal, dan solat bersama. Apalah kamu semua, YAQ baru bercakap tentang ketamadunan Islam selepas Hijrah, perangai kamu masih macam itu lagi. Ramai yang ambil gambar, termasuklah menggunakan telefon bimbit. Mungkin hendak masuk dalam blog rasanya. Mungkinkah ini bahana kewujudan telefon bimbit dan blog?

Pastinya, bukan YAQ yang menjadi imam Isyak. Selesai sahaja solat Isyak, ramai berpusu mengurumun beliau. Beliau terpaksa dipapah untuk di bawa keluar. Sekali lagi, ramai yang mengerumun beliau. Sehingga menyusahkan pihak bertanggungjawab. Terpaksa meminta laluan, dan kadang kala nadanya seperti ingin marah. Apalah. Beliau berjaya dipapah ke tingkat bawah. Alhamdulillah, semasa beliau dipapah, aku berada berdekatan dengan jalan yang diambil, sempatlah menatap wajahnya secara langsung (live). Dalam kekalutan memapah YAQ, aku cuma mengekori dari belakang. Tetiba terasa gelombang orang di sekitar ku seperti mengerumuni seseorang. Ya, YAB Khalid, rupanya dia tertinggal ke belakang, sedangkan YAQ yang dipapah berada di depan. Aku senang dengan caranya, sentiasa mengucap terima kasih kerana sudi datang kepada sesiapa yang bersalam dengannya. Hendaknya budi seperti itulah yang ditunjolkan dalam perkhidmatannya. Aku tak sempat bersalam dengannya (mungkin juga memang tak mahu bersalam, nampak macho skit. ;-)).

Kemudian, aku keluar dari dewan solat dan terus keluar masjid. Pulang ke rumah.

Sunyi=Senyap=Sepi=Seorang




...dan kesunyian ini,
mencabar keakuanku,
pergilah,
bukan masanya semua ini tiba,

sedang memerhati,
satu zat,
mengerling aku,
tanda sinis,
kepada diriku, terhadap sebuah kesunyian....

Meninggalkan Solat




akan datang,
dan pasti datang,
akan ditiup angin bala,
terbangkan,
kapas,
dan yang sekitarnya,


oh, kau juga tak terkecuali.

Isnin, 21 Disember 2009

Kisah Wanita Itu

Seorang Wanita Itu,

kisahnya menyelubung hidupku,
menjadi mahakarya,
menemani liku-liku,
hidup dunia,

Sewaktu kecilnya,
hidup dalam kebutaan,
hanya tekad hatinya,
memandu sepanjang kegelapan,

meniti masa usianya,
sehingga ketemu cahaya,
yang mencelikkan matanya,
ke lapis hati paling dalam dirasa,

taatnya sesuatu yang kupuja,
kepada apa yang diperintah,
kagum, terpegun, dan teruja,
pujian ku berikan tak sudah,

sehingga suatu ketika,
ketaatannya diuji,
sehingga merenggut bahagia dunianya,
menangis wanita itu meratap nasib diri,

jiwanya teguh,
dek cahaya memandu hidupnya,
supaya terus taat sentiasa,
bahagia yang direnggut adalah,
nikmat pinjaman dunia,
yang balasannya adalah syurga,

sungguh, kami di dunia berlainan,
walau aku mampu menyentuhnya,
berbual, bermesra, bersalaman,
tapi kami tak mungkin di dunia yang sama,

dunia aku kecil dan sempit,
dunia dia seluas laut biru,
duniaku penuh nikmat,
sedang dunianya penuh liku,

wahai wanita ku,
mencintaimu,
adalah nikmat bagiku,

sebagaimana,
kau menikmati sebuah ketaatan.

Rabu, 2 Disember 2009

Lidah

Sebermula kisah lidah ini, adalah lidah seorang budak. Lahir dari hasrat ingin melihat bumi dengan upaya sendiri. Jangan ditanya dari mana ia dilahirkan. Sesuatu yang tak ingin, malah dibenci untuk dijawab si budak itu. Lidah, itulah anggotanya. Menyusur bersama membina sejarah kelahirannya. Lidah itu sungguh berkuasa. Hampir saja lidah itu menjadi berhala. Jika pedas lidah itu terasa, maka pedaslah seluruh anggota. Sehingga kuku yang paling hujung pun kepijaran pedas. Jika manis yang terasa, maka ternikmatlah sekalian ahli tubuh. Sebusuk-busuk jari kaki pun merasa manisnya. Begitulah kuasanya lidah ini. Bahkan, jika akal yang selama ini kita kagumi, tapi pada si budak ini, lidah lebih menguasai. Akal yang mampu berfikir tak mampu menggerunkan, apatah lagi menyeru gerombolan batang tubuh untuk bangkit. Nah, kehebatannya terserlah.

Maka kini proses kelahiran itu bermula. Lidah memulakan tugas. Menghamburkan kata-kata kuasa, kata-kata kebencian, dan kata-kata semangat. Jantung menyahut, lalu mengalirkan darah paling elok, telinga mendengar, melorongkan getaran bunyi pada keadaan terbaik, mata membugar, kaki menghentak, hampir-hampir sahaja menerajang, tangan bergetar, menggeliat urat-urat jadi, genggam sebuah penumbuk. Lalu semua bersatu, berpadu-padu, bersekutu, manghasilkan kuasa paling berkuasa. Seketika waktu paling sesuai, semua di tahap tertinggi, maka meletuplah sebuah semangat, menjadi sebuah realiti. Hasilnya, budak itu lahirlah, dengan kekuatan kendiri. Bersempena hari itu, maka bermulalah umur si budak itu dengan sehari.

Tanpa sebarang kompromi, lidah diangkat ke tahap tertinggi. Hampir saja, bahkan ada saja yang menganggap lidah dimahkotakan di atas otak. Lidah adalah tulang belakang kelahiran itu, walaupun ahli batang tubuh tahu yang lidah tidak bertulang. Lidah disanjung, semau ahli batang tubuh memberi pujian. Kehidupan budak itu harus terus langsung. Sekali lagi lidah digunakan untuk menggerakkan ahli batang tubuh. Semua anggota belajar dari lidah ini. Lidah inilah penyuluh hidup mereka, bahkan mata pun mengiyakannya. Sedangkan mata yang sepatutnya bekerja dengan cahaya.

Pernah saja si penguasa tubuh murka pada isi di dalam tubuh. berbekalkan pengaruh si lidah, maka isi itu dihambur keluar. Jika ia di muka, maka dihalau menjadi jerawat, jika di telinga, maka menjadi tahi telinga, di mata menjadi tahi mata, di hidung menjadi tahi hidung, begitulah seterusnya. Lidah memang tidak bertulang, dan menjadi semakin berpengaruh. Lantaran tidak bertulang, tiada siapa boleh membentuknya.

Maka tiba suatu ketika, si penguasa tubuh ingin lestari. lidah terus disogoknya, menjadi pemangkin keinginannya itu. Lidah terus berlentik-lentik, mengikut tari penguasa tubuh. Jangan ditanya pada ahli batang tubuh, siapakah gerangan penguasa itu, meluat untuk menjawab. Ahli batang tubuh dipaksa bekerja keras, tanpa kasihan. Lidah itu disuap gula-gula, agar manisnya terasa hingga ke urat halus paling akhir. Dahulu bolehlah, kini tidak lagi. Keletihan dipaksa itu lebih dirasa oleh urat-urat berbanding manis gula itu.

Bermula dari ahli paling hujung, paling sunyi, iaitu hujung rambut, menyuarakan hasrat ingin membuang lidah. Suara itu sayup-sayup kedengaran. Baru saja ingin sampai ke serata tubuh, terus dipotong rambut itu oleh sang lidah. Begitulah kuasanya lidah pada si budak itu.
Melihat itu, ahli-ahli yang lain turut bengang. Menyumpah seranah. Segala yang haram, segala yang keji terus dihambur. Tapi lidah terus teguh.

"Bagaimana kalian nak membunuh aku? Pahit manis masam masin zat kamu aku yang rasa dulu. Kalau boleh kataku, maka boleh lah ia disalur ke setiap urat sendi kamu. Jika tidak jangan haraplah," sombong si lidah menjawab.

"Ini sudah lebih," kata kaki.

"Aku memang tak sabar lagi," rungut si telinga.

"Setuju," jawab ahli batang tubuh satu persatu.

"Mentang-mentang sang penguasa rapat dengan lidah, ingat kita tak boleh buat apa. Kita nyahkan lidah," gigi bersuara sebagai ahli yang paling hampir dengan lidah.

Maka gerakan dimulakan. Semua mengenang kisah mereka bersatu melahirkan si budak. Sang penguasa adalah penggerak utama, dan lidah hero masa itu. Kini, kedua-dua tiada di saf baru itu. Bermula dengan jantung tidak mengepam darah ke lidah, boikot katanya. Tangan tak mahu menyuap nasi ke lidah, gigi tak mahu mengunyah, sehingga tulang sulbi yang jauh yang tak mampu berbuat apa-apa pun turut menyumbang, menyumbang rasa benci kesumat. Lidah sombong, merasa tiada apa pun memberi kesan.

Lalu kemuncak kegeraman ini meletus tatkala pangkal lidah, yang tak ahli batang tubuh
definisikannya sebagai lidah mula bertindak. Dari dasar paling bawah, pangkal lidah meliuk keluar, memaksa lidah supaya terjelir. Lidah kesakitan. Kalau duduk tak bergerak, terasa sakit, jika menurut akan terjelirlah ke luar mulut. Akibat desakan yang kuat, tanpa ada darah yang mengalir, tanpa merasa apa-apa makanandan zat, beserta dikecam sana dan sini. Mendengar kata cerca dan cela dari setiap inci tubuh, akhirnya lidah sedikit demi sedikit menjadi lemah longlai, tak mampu melawan kehendak ahli-ahli batang tubuh. Lalu yang terakhir, apabila dipastikan lidar sudah terjelir ke luar mulut, maka pangkal lidah memotong hubungan antara mereka berdua.Terhambur keluar lidah yang lama. Semakin lama semakin laju lidah merebah ke bumi, semakin kuat sorakan ahli-ahli batang tubuh, meraikan kemanangan.

Kita menang! Sorak mereka beramai-ramai. sebagai ganti, pangkal lidah sanggup mengambil alih tugas lidah. Penghormatan diberi, seperti mana yang dulu. Ibaratnya sejarah berulang kembali. Sehingga mana sejarah itu berulang? Itu terpulang pada lidah yang baru. Jika ia melakukan sama seperti sejarah silam, maka sejarah akan berulang kembali. Semakin hari, si budak itu semakin membesar, membesar dengan lidah yang baru, dan penguasa pun bertukar, dek kerana lidahnya telah tiada.