Ahad, 21 Februari 2010

Tuduhan Berat

Pintu rumah terhentak kuat. Ah, lantaklah. Saiful meluru masuk ke dalam. Maknya yang diruang tamu terperanjat. "kau ni kenapa Saiful? Macam kena rasuk hantu je." Mak Limah bertanya, penuh keibuan yang garang-garang lembut. Muka Saiful masam, terhenti berjalan, mak bertanya, mesti dijawab, katanya dalam hati. "Budak-budak ini mak, buat sakit hati Saiful je." Bercakap sambil duduk dikerusi makan, bertentang dengan Mak Limah.

"Apa yang budak-budak ini buat? Budak-budak mana yang kau cerita ni?"

"Budak-budak-budak mana lagi kat kampung ni mak, geng-geng Dolah tu la. Suka-suka je menuduh orang."

"Astaghfirullah, dia tuduh apa kat kau ni? Kalau ya pun, pasal apa sampai kau melenting ni? Nasib baik pintu tu tak pecah, kalau pecah ada duit kau nak ganti?"

"Orang tau la orang ni tak ada duit lagi. Pecah pintu itu, lindung dengan langsir pun boleh. Suruh adik tu jaga depan malam-malam, asyik main
game je kerjanya tiap-tiap malam."

"Apa pasal aku pula? Abang yang mengamuk, adik pula jadi mangsa."

"Dah la korang berdua, mentang-mentang dua-dua jantan, nak bergaduh je kerja yang kau tahu. Ha, Saiful, apa benda yang si Dolah tu tuduh kau, sampai nak bergaduh adik beradik jadinya ni?"

"Ni bukan tuduh-tuduh yang biasa mak, bukan macam zaman sekolah dulu. Kalau macam sekolah dulu, orang boleh je tahan. Tapi ni berat mak, tuduhan berat. Naik marah Saiful dengar diorang cakap macam tu."

"Ye la, apa tuduhannya, bagi tahu la dekat mak ni."

"Alah, mak ni pun....Orang tengah marah lagi dia tanya macam-macam. Panas tau hati ni mak, ikutkan tadi, nak aje Saiful belasah seorang-seorang, robek-robek mulut budak-budak tu."

"Bawa mengucap Saiful. Orang tuduh kau tak pasal-pasal ini kenapa? Besar sangat ke kesalahan kau ni?"

"Mak pun salahkan Saiful juga ke?!"

"Aish kau ni, mak tak tahu hujung pangkal tiba-tiba kau tuduh mak macam ni. Mak pun nak mengamuk juga lah macam ini."

"Hahahahaha... Padan muka kau abang, mengamuk tak pasal-pasal, kan dah kena."

"Kau diam lah. Main je
game tu, karang aku hancurkan PSP tu baru kau tahu."

"Uuiik, abang mengamuk yea, abang mengamuk yea." Samad, adik Saiful mengejeknya sambil berlari masuk bilik. " Baik adik tidur lagi bagus."

"Tidurlah kau, tak bangun-bangun terus pun tak apa," balas Saiful, menunjukkan kuasa seorang abang.

"Kau ni Saiful, masin mulut kau tu, baru kau menyesal. Ha, kau kata apa bila diorang tuduh kau macam tu?"

"Mana adil mak, diorang tuduh Saiful macam tu. Diorang ingat dah bagus sangat boleh kata orang macam tu? Tuduhan berat tu mak, memang orang tak boleh terima. Kenapa tak kata Ramli, Murad, dan Nasir tu sekali."

"Astaghfirullah, apalah dosa budak-budak tu Saiful oi.Hari-hari mak nampak Ramli tu pegi surau Maghrib dan Isyak, kadang-kadang jadi bilal. Murad dan Nasir tu pula, tak pernah pula mak nampak diorang buat apa-apa salah pun. Ke sana ke mari pun berketayap je. lagipun diorang adik beradik tu kan tahfiz, kau jangan main semberono je Saiful."

"Itulah mak, bila orang cakap dia tak nak percaya. Dah lah, orang nak masuk bilik ni. Makin banyak cakap makin sakit hati ini."

Menggeleng-geleng kepala Mak Limah, syaitan jenis apalah yang merasuk anak teruna dia ni. Saiful berlalu, kerusi ditolak ke tepi, sipi lagi nak berlanggar dengan cermin almari. Sambil berjalan Saiful menyepak pintu bilik adiknya, "Oi, aku sepak kepala kau baru kau tahu," marah adiknya, tapi tak dihiraukan langsung.

*************************************************************************************

Di bilik, Saiful menghenjah badan ke katil. Krek krek bunyi katil besi bujang itu. Berkumat kamit mulutnya menyumpah. Tut...tut.. mesej berbunyi. Dari Dolah. Sial, apa lagi si bedebah ini hendak.

"Saiful, semua orang dah tau. Tengok kau saja pun orang dah boleh baca. Bukan aku yang tuduh, tapi sebenarnya SATU KAMPUNG dah tau. hahahhahaha..."

"Celaka, sampai dalam telefon pun kau buat tuduhan berat ini. Siaplah kau, aku kerat 14 badan kau nanti. Masa tu, nak tuduh apa pun tuduhlah," sumpah si Saiful.

Saiful berbaring menenangkan fikiran. Dia belajar dari tazkirah semalam, kalau marah baik kita duduk, kalau duduk pun tidak hilangkan marah, berbaringlah, dan kalau tidak hilang juga, berwuduklah. Marah itu dari syaitan, dan syaitan itu daripada api, dan api lawannya adalah air.

Terlena sekejap Saiful dengan marah-marahnya itu. Tiba-tiba
alarm telefonnya berbunyi. "Cis, ada date rupanya aku hari ni." Cepat-cepat Saiful bersiap, untung-untung marah aku reda sikit bila nampak muka buah hati kesayangan. bisiknya di dalam hati.

*************************************************************************************

Di pekan, di A&W, di situ Saiful ber
date dengan tunangnya. Itulah satu-satunya restoran makanan segera yang bertapak di pekan kecil itu.

"Kenapa muka macam ni, risau Leha tengok."

"Tak ada apalah. Kenapa, selama ni Leha tak pernah tengok muka macam ni ke?"

"Eh, ke situ pula abang ni, orang tanya elok-elok dia marah pula."

"Dolah tu, buat abang bengang hari ni. perkara yang dia cakap tu, tuduhan berat, abang tak boleh terima."

"La, marah dengan si Dolah tu ke? Dia kan memang samseng taik minyak kat kampung kita. Dah la, buat tak kisah je. Leha tak nak la tengok muka abang comel ni monyok semacam je."

"Ye la tu, Dolah tu dah buat onar macam ni, kalau satu kampung dengar dakyah tu macam mana, Leha nak jawab?"

"Ok lah bang, apa yang dia tuduh abang tu, kasi Leha dengar. Kalau betullah berat sangat, kita adu je kat Pak Saad, ketu kampung tu. Nak lagi hebat, kita pergi je balai polis lepas kita makan ni."

"Ish,jangalah sampai ke situ pula. Kalu polis tahu tak sempatlah abang nak pecahkan muka si
Dolah and The Gang tu."

"Abang jangan buat macam tu bang, tidur balai la kalau abang buat macam tu. Cakaplah, apa yang dia tuduh abang?"

"Sibuk nak tahu je dia ni. Orang datang sini nak
release tension, nak makan burger besar, lantaklah si Dolah tu, tau lah nak buat macam mana nanti"

"Ikut suka abang lah." Leha mencebik ala-ala manja. "Nanti balik abang jangan lupa ya, benda yang Leha minta abang tolong tu."

"Ok, macam tu la, senyum tu kasi lebar sikit ye, baru sejuk hati ni." Saiful bergurau, menutup sikap marah tadi.

*************************************************************************************

Turun dari bas, Saiful berjalan sahaja ke rumahnya. Nasib baik sempat dia naik bas terakhir itu, kalaun tidak, naik teksilah jawabnya. Dan, berpuluh-puluhlah abang teksi nanti minta upah. Saiful berjalan gaya riang, sedikit rasa marah sudah terubat. Ditampal dengan burger A&W dan sedikit senyuman tunangnya. Di hadapannya jambatan gantung, selama lebih sepuluh tahun, masih tidak runtuh. Arkitek dan jurutera pembuat jambatan itu mahir dan jujur dalam membinanya. Bicara Saiful di dalam hati. Mungkin kerana terkenang kisah jambatan gantung runtuh di Perak membuatkan Saiful berkata macam itu.

Di tengah-tengah jambatan, Saiful terlihat dari jauh si Dolah dan kawan-kawannya menuju ke arahnya dengan bermotorsikal. Hati Saiful kembali bergelegak, dan ketika baru sahaj hendak menjerit, tiba-tiba, praaaaaaap.. kakinya terjulur keluar, papan jambatan patah dipijak Saiful. Berdekah-dekah Dolah dan kawan-kawannya ketawa.

"Hahahahahaha. Depan mata kita dia jatuh, sebiji macam nangka busuk jatuh" ejek Dolah

"Itulah, kau tu berat, aku tuduh kau berat, kau marah. Sekarang depan mata aku 'keberatan' kau tu mematahkan papan jambatan tu. Nasib baik tak roboh. Hahahahaha...."

"Kurang ajar, tuduhan berat ini memang aku tak maafkan. Siap kau Dolah, yang gemuk boleh kurus, tapi terlajak kata, herot muka kau nanti." jerit Saiful.

"Hahaha. aku tungguuuu." Dolah berlalu meninggalkan Saiful. Sambil berjalan menjauhinya, mereka masih lagi ketawa berdekah-dekah, sampai malam baru berhenti, mungkin.




p/s: cerita sekadar suka-suka. kalau tak silap, A Samad Said ada buat cerita lebih kurang macam ini, tajuk 'Pencuri yang Tidak Adil Dihukum'

Rabu, 17 Februari 2010

Februari...bulan cinta

Angin
Tiupkan ke dalam hatinya
Rasa rindu ini
Moga dalam kejauhan
Dia masih merasa
Lembut puput bayu cintaku


Kiranya indah karangan di atas, ambillah. Aku hadiahkan padamu. Hadiahkan ia kepada isteri/suami, pasanganmu yang sah. Tiada halangan cinta antara kamu berdua, satu cinta yang diredhai, malah dikurniakan pahala berlipat ganda kepada pasangan sah yang bercinta.

Nikmatilah cinta sepanjang hayatmu, bukan semata-mata di bulan Februari sahaja. Usah rendahkan maruahmu, seperti anak-anak muda yang menjual kehormatan di malam Valentine di Bulan Cinta ini. Beredar di kalangan mereka, berkempen agar menunjukkan kesetiaan cinta mereka kepada kekasih dengan menyerah tubuh di malam Valentine, "Apa ini semua adik-adik ku? Semakin pandai dirimu, semakin keliru sikapmu. Bukan ini yang kami harapkan dari permata bangsa kami sekalian" Sungguh, mereka keliru, antara firman-firman Allah dan bisikan halus syaitan.

Wahai pasangan suami isteri, hanyutlah kamu di alam percintaanmu, dan Allah akan mengurniakan rezeki berupa anak dan harta kepadamu. Jadikanlah sempadan, kisah manusia berhati kering sanggup membuang anak sendiri. Entah menjadi makanan anjing mahupun dimamah ulat sampah. Di Bulan Cinta ini sahaja, paling kurang 3 anak yang dibuang begitu sahaja. Salah satu ditemui rentung. Tiada setitis dosa pun pada mereka. Hei manusia, jika malu bagimu menerima anak itu, serahkan sahaja pada
ku, atau pada sesiapa yang berhati emas menerimanya.

Pasangan yang kuhormati, hubunganmu disenangi Ilahi. Amalan agamamu digandakan pahalanya. Syaitan bersedih melihat kamu bermesra bersama, seisi alam menyenanginya. Sungguh indah percintaan yang halal dan sah ini. Jauhilah sama sekali perceraian, kerana itu perkara sah yang paling dimurkai Allah yang Maha Besar. Sayu melihat di dada-dada akhbar, yang bertarikh di Bulan Cinta ini, kisah suami isteri bergaduh, sehingga cedera fizikal, hampir nyawa tergadai, dan akhirnya bercerai.

Sahabat, kawan dan saudara yang ku kasihi, ini baru secebis kisah yang berlegar di kalangan kita pada Bulan Cinta ini. Walaupun tiada asas untuk mengatakan Februari adalah Bulan Cinta, tetapi inilah realiti yang kita tatapi setiap hari sambil sebelah pihak sibuk mempromosikan kehebatan cinta Februari. Kita keliru sebenarnya, bukan menyemai cinta sempit ini tetapi tugas kita adalah memakmurkan dunia, Allah sentiasa bersama kita dengan sifat Al-Rahman dan Al-Rahim. Kasih sayang terhadap setiap makhluknya, dan kasih sayang terhadap makhluknya yang beriman kepadanya.

Cinta Februari adalah cinta yang keliru, cinta berdasarkan nafsu fikiran semata-mata. Sedarlah kalian, dengan Februari yang masih sedikit berbaki, kikislah cinta bertunjangkan nafsu serakah, tiada asas di dalam Islam untuk meraikan Valentine, dan ketahuilah, Islam merai percintaan yang sah, lebih hebat dari roh Hari Valentine itu sendiri.


Nasi lemak buah bidara
Daun selasih hamba lurutkan
Restu
emak, Allah, dan saudara
Barulah kasih hamba turutkan