Sabtu, 24 April 2010

PRK Hulu Selangor

Mereka yang di sana
Yang aku kenali
Berbuih mulut memancing undi
Mencari kemenangan

Aku yang di sini
Yang tidak mereka kenali
Mendoakan
Kemenangan parti
Yang dengan konsistennya
Memperjuangkan Islam

Kerana
Islam itu Rahmatan Lil 'Alamin
(Rahmat Seluruh Alam)

Khamis, 22 April 2010

Memaksa untuk Merindu (Bukan kepada Sesiapa).

Terpaksa,
Ku memaksa diriku merindumu,

Ketika,
Kasihmu tidak terasa,
Bayangmu tiada kelihatan,
Tawamu sunyi di telinga,
Wajahmu sirna di mataku,

Ketika,
Ada kasih mula mengalir,
Bayang sentiasa menjelma,
Tawa memecah sunyi diri,
Wajah sentiasa di mata,

Ketika,
Hati sentiasa menyebut namanya,
Mengganti dirimu,

Dan ketika itu juga,
Jauh di sudut hati,
Masih memegang janji setia,

Dan ketika itu juga,
Ku memaksa,
Diriku untuk merindumu.

Ahad, 18 April 2010

Jus Oren

(Ini cerita lama. Dah lama terjadi, cuma sesekali teringat.)


1993
Aku, keluarga, makcik dan pakcik saudara serta anak-anaknya makan di kedai di Pontian. Keluar makan bersama-sama apabila sesekali balik ke kampung. Aku order makanan apa pun dah tak ingat, tapi sepupu aku order jus oren malam itu. Apabila semua makanan yang sampai, aku perasan jus oren sepupu aku ada sedikit special. Ada letak potongan oren di gelasnya. Tiba-tiba sahaja rasa nak minum jus oren, tapi apa boleh buat, aku dah order air lain. Pasrah sahaja.

2003
Aku, Emak dan ayah makan di Rantau Panjang (kalau tak Rantau Panjang, kami makan di Pengkalan Kubur. Lupa lah). Aku order jus oren sambil emak dan ayah aku order minuman yang biasanya orang seusia mereka minum. ;-) Apabila sampai sahaja minuman, ia terus mengingatkan aku kepada peristiwa sepuluh tahun lepas. Jus oren aku ada potongan oren. Ya Allah, sepuluh tahun aku tunggu nak minum jus oren yang ada potongan oren, hari ini, masa aku tak berharap apa-apa, hajat aku terkabul.

Monolog
Sebenarnya sejak peristiwa makan dengan saudara, acap kali juga aku order jus oren dengan harapan dapat potongan oren di gelas, tapi semuanya hampa. Jadi, apabila lepas 10 tahun, baru aku dapat minum jus oren macam itu, betul-betul membuatkan aku teringat kebesaran Allah. Kita mungkin lupa, tapi Allah tak pernah lupa apa yang kita hajatkan.

Renungan
Benda sekecil potongan oren, aku harus bersabar selama 10 tahun untuk hajatku dimakbulkan, apakan pula sebuah kebahagiaan, yang mana lebih besar dari potongan oren, berapa lama harus ku tunggu, akan tetap aku tunggu.
JANJI ALLAH ITU SENTIASA BENAR.


sekarang (2010)
Tetiba rasa nak minum jus oren la pulak!!!

Khamis, 1 April 2010

Semua Orang

Kepada semua pembaca, pengikut (followers), penjengah, peng-komen, dan sesiapa sahaja yang pernah melihat blog ini:

Berbanyak terima kasih saya ucapkan. Pada masa entri ini ditulis, lebih kurang 610 kali
profile saya dilihat orang. Ntah la, mungkin separuhnya dilihat oleh saya sendiri. ;-)

Pada mula-mula blog ini dibuat, saya tak berhasrat untuk ia menjadi tatapan sesiapa. Prinsip saya mungkin berbeza, blog ini adalah platform bagi saya untuk menulis apa sahaja yang terlintas di hati. Tidak berkehandak untuk menjemput orang lain membacanya, tetapi saya sangat menghargai sesiapa sahaja yang membacanya. Saya memang tidak berhasrat untuk mengetahui siapa pembaca blog ini, bagi saya biarlah ia menjadi sesuatu yang tidak saya ketahui. Kebebasan hati saya menulis di sini mungkin direnggut sekiranya tahu siapa pembacanya. Dan entri-entri seterusnya, sama ada untuk menarik perhatian pembaca atau untuk menjaga hati mereka, menjadikannya ia tidak tulen dan tulus dari hati.
Atas sebab itulah tiada 'aksesori' yang saya letak di blog ini. Biarlah ketidaktahuan itu memberi ruang kebebasan untuk saya meluahkan segalanya. Ya, ini bukan blog dakwah, walau ada entrinya menyeru ke arah itu. Ia juga bukan diari, walau ada satu atau dua entri yang sebegitu. Di sini juga bukan platform politik, bukan juga pentas berbahasa sastera walau ada entrinya seperti itu. Di sini adalah
fikiranku, ruang tanpa batasan. Apa yang lahir dari hati saya, saya terjemah dalam kata-kata dan huruf, dan saya pindahkan ke ruang maya ini. Segalanya itu, mungkin ada yang benar dan tidaknya. Terima kasih atas segala ulasan memuji dan juga yang mengajar kalian. Segala pujian hanya kepada Allah dan saya ambil yang baik sebagai pelajaran.
Entri kali ini memang khas saya tujukan kepada pembaca sekalian. Tidak seperti entri-entri sebelum ini, ada yang seperti saya ingin tujukan kepada ramai, tetapi sebenarnya saya tujukan kepada seorang sahaja. Mungkin dia pernah membaca blog ini, mungkin juga tidak. Begitulah sebaliknya, ada entri yang seperti saya ingin tujukan kepada seseorang, tetapi sebenarnya maksud yang ingin disampaikan adalah kepada semua. Ada entri khas untuk diri sendiri sahaja.
Blog ini tidak terkenal dan biarlah ia tidak terkenal. Jika terkenal sekali pun, biarlah saya tidak tahu betapa terkenalnya blog ini. jika ada keperluan untuk saya mengendalikan blog yang mahu diluaspengaruhkan, saya akan buat yang lain.
Sekian, harapan saya agar entri kali ini benar-benar mencapai tujuannya, iaitu menghargai setiap pembaca dan sesiapa sahaja yang pernah singgah di blog ini.

Wassalam.