Rabu, 25 Ogos 2010

Erti Puasa

[Tajuk] di Bulan Ramadan


Sesekali teringat lagu Ramadan nyanyian Fotograf,

Pertama Ramadhan Ini

Pertama ramadhan ini
aku tidak berlapar lagi
kerna mengingati Mu

Pertama ramadhan ini
aku tidak kehausan lagi
kerna merindui Mu

Sepatutnya entri ini adalah cerita aku sebelum Ramadan membuka tirainya. Aku sebenarnya sudah penat dengan Ramadan yang dipenuhi majlis berbuka dengan makanan yang mewah, berbuka bersama-sama kawan sampai hampir telepas Maghrib. Berbelanja untuk raya sehingga tiada masa beramal dan pelbagai lagi perkara 'mengarut' yang sepatutnya tidak terjadi di bulan Ramadan ini.
Jadi, sebelum bermulanya Ramadan, aku bertekad untuk berpuasa dengan sebenarnya. Aku mahu untuk pertama kalinya Ramadan ini, aku tidak lapar lagi, aku tidak haus lagi, dan aku tidak gelojoh dengan 'perkara-perkara' raya. Siapa boleh beri jaminan kepada aku bahawa tahun hadapan aku akan bertemu Ramadan lagi? Tiada. Aku ingin buka seluas-luasnya hati, aku mahu bayu dari syurga yang dibuka pintunya seluas-luasnya oleh Allah akan sampai kepada aku. Aku mahu bayu itu melembutkan hati keras ini.
Cukup sedar, aku bukan orang yang boleh dikatakan baik. Setiap tingkah, kata dan fikiran tentu saja ada yang tidak menyenangi. Aku sedar diri ini belum pasti dijamin akan ke syurga, jika tidak kerana amalku yang tidak cukup, mungkin juga kerana dosaku sesama manusia. Sedikit sahaja aku 'berurusan' dengan manusia, aku sudah melupakan Allah Maha Esa.
Pertama Ramadan ini, aku bertekad untuk 'melupakan' dunia seketika. Jika ada kata yang terlafaz, aku harap ianya adalah kata-kata yang baik, jika ada perbuatan yang terlaku, ianya adalah ibadah dan jika ada terlintas dalam fikiran, ianya adalah keranaNya. Tapi aku manusia lah kawan, pagi cakap lain, malam buat lain. Aku berdoa agar aku mampu melakukan apa yang aku tekadkan.


Biarku bersendiri
kerana:
Aku mahu hati ini menangis ketika diingatkan dengan Allah,
Aku mahu tidak lapar apabila tidak makan,
Aku mahu tidak haus apabila tidak minum,
Aku mahu tidak rugi jika tidak 'bergembira' berbuka bersama kawan-kawan,
Aku mahu tidak rugi jika tidur ku tidak cukup,
Aku mahu tidak rugi jika masaku habis dengan mengaji,
Aku mahu semua,
Semua aku mahu,
Kerana aku tak boleh menjamin bahawa aku akan bertemu Ramadan hadapan,
Dan tidak menjamin akan ditempatkan di syurga

SEMOGA RAMADAN INI MEMBERI MAKNA KEPADA KITA. AMIN...

Isnin, 23 Ogos 2010

Kombinasi Terbaik

[Tajuk] di Bulan Ramadan


Satu: Hari ini aku sahur minum kopi dan makan kurma. 2 paket aku buat dalam satu cawan. Aku jarang minum kopi dan tak berapa minat sangat pun. Ini kali pertama dalam bulan puasa ini.

Dua: Aku bertanya kepada seorang facebook friend tentang statusnya yang nampak macam sedih.

Tiga: Tazkirah Ramadan di pejabat (setiap Isnin dan Rabu) disampaikan oleh bosku. Pengisian tentang apa dan berapa banyak amalan yang telah kita lakukan untk bulan puasa ini.

Disebabkan kopi, badan aku sangat terasa kesan kafein. Selepas bertanya tentang status facebook aku ke tazkirah Ramadan. Mungkin disebabkan dua perkara sebelum ini, tazkirah itu betul-betul memberi kesan kepada jiwa.

kesimpulan yang aku dapat buat, pada fasa kedua Ramadan: fasa keampunan ini, akan datangkah keampunan Allah kepada ku yang serba kekurangan ini.

p/s: terima kasih kepada yang terlibat dengan pembuatan kopi itu. Terima kasih kepada facebook friend itu, dan terima kasih kepada pemberi tazkirah tadi. Semoga kalian dirahmati Allah. Sebesar-besar syukur kepada Allah yang Maha Besar yang menyusun tiga perkara yang tiada langsung kaitannya dan hasilnya melembutkan hati aku di pagi ini.

Khamis, 12 Ogos 2010

Mengaji Al-Quran

[Tajuk] di Bulan Ramadan

Bulan ini adalah bulan orang berpuasa di siangnya, beramal di malamnya dan berkejar-kejar menambah amal dan juga mengejar malam seribu bulan, Lailatul Qadar. Pintu syurga terbuka luas, bayu berpuput lembut dan siapa yang membuka pintu hatinya, pasti akan di sapa bayu syurga bulan Ramadan. Mereka akan senang beribadat, 'kenyang' tanpa makan di siang hari dan tidak penat bersungguh-sungguh beramal di malam hari.

Yang aku ingin kongsikan adalah perkara asas, yang menjadi perkara mesti-tahu sebagai umat Islam: membaca Al-Quran. Kita perlu akur, ada di kalangan kita yang masih tidak lancar membaca Al-Quran, sedangkan itulah satu-satunya kitab dari 'langit' yang dibukalkan kepada kita. Rugi bagi yang reti membaca not muzik, lancar membaca Inggeris, Mandarin, Bahasa Melayu tetapi tidak pula tahu mambaca Al-Quran. Allah Maha Pemurah, melihat Al-Quran pun sudah dikira pahala, membacanya pula diberi juga pahala, dan apatah lagi memahami tafsirnya.

Sekadar nasihat, pelajarilah Al-Quran, tak malu kalau kita gagap mengaji di hadapan orang kerana belajar, lagi malu kita kalau bila ditanya Allah di padang Mahsyar nanti. Orang yang pandai pula, sungguh besarlah malu jika kamu mempersenda mereka yang belajar ini. Mereka lagi mulia dari kamu di sisi Allah.

Jadi, di bulan mulia Ramadan ini, bacalah Al-Quran, berhentilah dulu berbuat perkara-perkara yang bukan ibadat. Sesungguhnya Ramadan ini akan berlalu tanpa akan kembali, dan kembara mengejar Ramadan tahun hadapan adalah sesuatu yang tidak tentu adanya.

Isnin, 9 Ogos 2010

Kalah di Ambang Menang v1

Aku pasti menang. Ia di hadapanku. Menanti penuh sabar. Kemenangan idaman. Walaupun belum di garis akhir, tapi keputusannya sudah kutahu. Hakim masih membisu, tapi kutahu apa bicaranya. Dan hadiah itu menunggu. Hadiah itu memang idaman pelumba-pelumba. Satu hadiah yang diidamkan, menceriakan, mempesonakan, didamba dan yang paling penting membahagiakan. Kerana ia membahagiakan, jadi untuk sementara ini kita gelarkan hadiah itu 'B'. Hadiah B itu memang dikejar, dan pelumbaan ini wujud semata-mata hadiah B. Tanpa hadiah B perlumbaan ini adalah gila, sia-sia, dan tak akan wujud. Mereka berlumba, mereka itu termasuklah aku, semata-mata mengetahui yang hadiah itu adalah hadiah B. Kami tergila-gilakan hadiah B. Aku tidak tahu siapa mereka yang lain, dan dari mana mereka mula. Pastinya mereka mula lagi awal daripada aku, dan mungkin ada yang lewat daripada aku. Tidak mustahil, kerana perlumbaan untuk hadiah B initidak punya titik mula absolut. Dari mana-mana pun kau boleh mula, dan tak semestinya yang mula lewat atau yang mula awal akan menang. Ia nasib, dan juga skil.
Ketika jarak itu semakin dekat (dekat ialah satu ukuran relatif, jadi apa yang aku panggil dekat adalah justifikasi aku sendiri, ini absolut), aku tak inginkan kemenangan. Aku bukan tak mahukan hadiah B tapi aku tak inginkan kemenangan. Tetapi hadiah B hanya boleh diperolehi sekiranya kau menang. Tapi aku tak inginkan kemenangan ini. Ini konflik. Aku konflik ketika kemenangan itu aku genggam, hampir. Aku tetap tak mahukan kemenangan, tapi mahukan hadiah B. Hukum peraduan itu tetap, menang baru boleh dapat hadiah B. Hati aku juga tetap, tak mahu kemenangan. Ketetapan yang terpaksa. Menolak kemenangan, dan dengan ketenangan hati yang berat kusilangkan kaki, tersadung kaki dengan kaki sebelah, lalu jatuh. Bulat tekad-silang kaki-jatuh-tersungkur-kalah. Maka akan rasmi aku kalah, pelumba yang lain akan memintas, menang di atas kekalahanku.


Kalah yang dipilih, kemenangan yang ditolak.

(mungkin ada versi 2 (v2) jika aku ingin cantikkan bahasa cerita ini)

Selasa, 3 Ogos 2010

Aku tuli pada suaranya tapi mendengar pada wajahnya

(Jika tak diberi keazaman pada hati ini untuk menulis, maka banyaklah khazanah pemikiran aku yang tak tercatat di ruang serba kurang ini)


Satu

Minggu lepas aku ke Taman Negara Jerantut. Buat pengetahuan, banyak lagi tempat yang digazet sebagai Taman Negara selain di Jerantut (tempat-tempat lain itu cari sendiri lah ya). Kalau diceritakan satu persatu perjalanan percutian itu, maka tiada apa yang berbezanya dengan beribu, malah mungkin berjuta pengunjung yang telah ke sana. Mungkin cerita mereka lebih hebat dan menarik.
Kami ke hutan, panjat bukit, berjalan di kanopi yang tinggi 45 meter, naik bot meredah sungai, dan bertemu orang asli. Semuanya biasa dan macam kebiasaan yang biasa orang ke taman negara. Aku sempat ke penempatan orang asli. Bersepah-sepah di tepi Sungai Pahang. Suku Bateq, leluhur dari Afrika, penduduk asal hutan di taman negara dan hidup berpindah-randah. Memburu menggunakan sumpit, tiada kepercayaan agama dan mempunyai sedikit adat dan kepercayaan yang diwarisi turun temurun. Mereka juga mempunyai bangsa sendiri, yang sedikit sebanyak mempunyai pengaruh Bahasa Melayu.
Mereka tinggal berkelompok, dalam 5-7 keluarga satu kelompok. Aku tak pasti kelompok mana yang aku pergi. Ramai yang pandai cakap Melayu. mereka selesa dengan kehidupan macam itu. Rasanya tak jauh beza dengan kehidupan datuk nenek, moyang, bapa kepada moyang, dan ke atasnya. Tanpa duit pun mereka boleh hidup. Aku pandang wajah mereka, dengar mereka bercakap, bahasa yang aku tak faham, tetapi gambaran wajahnya aku mengerti. Mereka kekosongan agama. Maka soalannya, salah siapa mereka tidak mengenal Islam? Kita atau mereka? Tak tahu lah sudah berapa lama kita (orang yang beragama Islam) berhubung dengan mereka, tapi ajaran agama tak sampai lagi kepada mereka. Seronokkah kita biarkan mereka dalam keadaan begitu? Kita pelihara ke'asli'an mereka semata-mata untuk menjadi tatapan pengunjung? Ada perkara yang kita kena pelihara sebagai khazanah berharga, ada perkara yang kita kena ubah sejajar kehendak agama. Entahlah, duit cukai sudah disalurkan ke Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama setiap negeri sudah ada, pertubuhan dakwah banyak, sampai bercakaran sesama sendiri, aku yang menatap mereka hanya berhubung melalui doa, semoga sinar Islam sampai kepada mereka. Dan harapnya mereka mendengar sesuatu pada wajahku ini. Semoga sekali lagi aku ke sana, mereka sudah menjadi saudara seagama aku.

Dua

Hari kedua kami singgah di rumah keluarga angkat salah seorang dari kami. Rumah kampung di pinggir taman negara. Singgah untuk makan tengah hari. Oh, lupa nak beritahu, kami pergi ber-14, 5 perempuan dan yang lain itu lelaki. Kami datang terus tuan rumah bergegas menyiapkan hidangan. Macam adat ketimuran yang biasa, orang perempuan akan ke dapur untuk menolong tuan rumah, dan macam biasa tuan rumah akan berbasa-basi berkata tak perlu susah-susah. Indah betul adat ini, kalau dilihat dari satu sudut, tersemat nilai-nilai ikhlas, mesra, dan menghormati yang tinggi.
Maaf kalau bahagian ini menyebabkan orang terasa, tapi selagi aku tak tujukan secara spesifik, rasanya tiada siapa-siapa boleh membuat andaian sendiri. Ada jugalah beberapa perempuan yang janggal aku tengok. Tiada masalahnya bagi aku kalau mereka tidak membantu tuan rumah di dapur, cuma kita dapat tahu ada kekurangan pada mereka. Apabila kawan-kawan mereka menolong di dapur, mereka masih di situ. Aku kurang dengar apa yang mereka sembang bersama, tapi wajah mereka menceritakan mereka kurang biasa dengan suasana itu. Rupanya untuk menjadi dewasa ini, banyak yang kita perlu belajar. Lebih-lebih lagi hidup di zaman 'facebook dan internet' ini.
Teringat kembali, masa kecil dahulu, kalau hendak pergi ke rumah orang memang antara perkara yang paling menakutkan sekali. Banyak 'do & don't' yang mak ayah aku bagitahu. Kalau silap sikit, sudah pasti lepas keluar rumah ayah akan marah, dan bila besar sikit dapat teguran. Alhamdulillah aku sempat belajar semua itu dari orang tua. Mereka mungkin biasa dan tidak kekok berurusan dengan cara kehidupan kota, tetapi mungkin ada beberapa nilai adat ketimuran yang mereka terlupakan.
Kenapa perkara sekecil ini pun aku cerita? Haha... Di rumah aku ini perkara besar. menghormati tetamu walau macam mana (penat, letih, malas) sekalipun keadaan kita, dan menghormati tuan rumah walau macam mana (penat, letih, malas) sekalipun keadaannya adalah perkara yang dititik berat dalam rumah aku.


Bila aku sudah sebegini besar, dan berjauhan dari keluarga, jika ada tersalah adab, maka sudi-sudilah menegur.