Ahad, 31 Oktober 2010

Kisah Hari Ini

Hidup hari ini bermula dengan aku pergi ke Bank Islam Taman tun Dr. Ismail, TTDI (biasalah, orang berduitkan kan.. kunun lah)
Cerita 1
Selepas selesai aku terus ke rumah kawan dengan harapan mereka di rumah. Tapi hampa diorang tiada. Baru teringat diorang ada main bowling hari ini. Aku pun pergi makan seorang diri bertemankan pelanggan-pelanggan lain di kedai itu. Nasib baik lah ada sayur yang aku suka, tapi tak tahu nama apa. Kalau nak tahu esok kita sama-sama pergi makan sana ye. Lepas itu balik rumah dan tanpa fikir panjang terus ke tempat diorang itu. Nasib baik tak habis lagi. Aku biarkan saja diorang main, kalau aku join nanti, kempunanalah diorang nak jadi top scorer.


Atas itu gambar Abg Saidi sekeluarga. Isteri dia member ofis kitorang, Kak Meiza, anak-anak dia Along, Angah, Syafiq, dan Syifa. Lepas main bowling kitorang sambut hari jadi. Rupa-rupanya Abg Saidi ni dah plan dari awal nak buat kejutan kat isteri dia. Sebab itulah dia join kitorang nak main bowling hari ini. Mungkin abg tu tak perasan tapi sebenarnya dia telah tunjukkan satu contoh yang terbaeeek pada kami. Kalau masa dahulu ada seorang manusia agung, Muhammad saw menunjukkan kepada kita bagaimana cara harus kita berkeluarga, kali ini abg ini pula yang aplikasikan. Majlis bermula dengan ramai-ramai berkumpul di kafe di tempat bowling. Semua berkumpul tapi masing-masing senyap tak cakap apa tujuan kumpul di situ. Tiba-tiba ada seorang member ini suruh kitorang nyanyi, maka nyanyilah kitorang. Lagu Selamat Hari Jadi. Selamat hari Jadi kak Meiza!!! Sambil itu abg Saidi datang bawa kek. Mungkin ada budak-budak gedik akan jerit, "eeii sweetnya.." (gedik betul!!). Aku pula kata, "ah, indahnya hidup berkeluarga, andai masing-masing saling menghargai." Biarlah peristiwa ini menjadi teladan bagi kami yang bujang ini untuk membina keluarga. (Aku bercerita ini dengan beranggapan Kak Meiza dan Abg Saidi tak baca blog ini)
Semoga Abg Saidi dan Kak Meiza sekeluarga sentiasa bahagia dan diredhai Allah.
Cerita 2
Lepas sambut hari jadi akak tu, kami geng-geng yang bujang ini pergi makan beramai-ramai (kedai tempat yang kami makan sepatutnya beruntung sebab kami datang kami makan banyak-banyak. Untung lebih diorang hari itu). Dalam ketenteraman kami makan, tiba-tiba ada satu geng bas sekolah datang, hehe.. Diorang ini sebenarnya kawan kepada kawan kami yang seorang ini. Ada jugalah yang aku kenal dalam geng itu, dan ada juga kawan aku sebenarnya. Diorang datang nak kidnap kawan kami sebab nak sambut hari jadi. Laa.. ada nak sambut hari jadi lagi. Kami pun biarkanlah peristiwa itu berlalu. Selesai makan kami solat dan balik rumah. Sedap-sedap aku dh duduk atas motor, kawan aku yang kena kidnap ini telefon. Dia suruh pergi tempat diorang sambut haji jadi, tolong habiskan kek. Aku tanya dia, mana yang lain? Yang lain tak nak datang. Perghh.. nampaknya kau seorang la yang baik datang nak habiskan kek. Macam mana cara diorang sambut? Tak tahu, sebab aku datang pun tinggal nak habiskan kek je. Kalau tahu pun malas nak cerita.
Habis makan, walaupun kek tak habis jugak, aku solat Asar dan terus ke Kelana Jaya. Kenapa? Nak tengok tetamu Allah berangkat ke tanah suci.








Gambar kat atas ini aku ambil masa di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Lihat sajalah gambar-gambar itu, dan lihatlah muka tetamu-tetamu Allah ini. Di sebalik wajah itu, terselit seribu satu cerita bagaimana mereka akhirnya berjaya menjadi tetamu Allah dan seribua satu tujuan kenapa mereka ingin menunaikan haji. Di sini aku berdoa semoga aku dan juga keluarga satu hari nanti, dan kalau boleh dalam masa terdekat, semasa kudrat masih banyak, bakal menjadi tetamu Allah. Amin...

Rabu, 27 Oktober 2010

Suatu Penyesalan

"Penyesalan Berlaku Apabila Kita Tidak Mengambil Pusing Apa yang telah diberitahu Dahulu"




Berita telah tersebar, meniti bibir ke bibir menjadi buah mulut semua. Sudah maklum semuanya, dan semua sudah maklum. Hanya kepercayaan masih yang lama. Kukuh tidak mahu menerima sebuah berita besar. Sombong atau malu, sama sahaja, mereka tidak menerima berita besar itu.

Lalu penegasan telah diberikan di sini. Bukankah apa yang kau lihat ini aku jelmakan; bumi yang kau pijak aku yang hamparkan? Gunung-gunung itu aku yang pasakkan? Pasangan kamu kami yang pasangkan? tidurmu kami jadikan istirehatmu? Dan kami pakaikan malam pada tidurmu? Siang kami jadikan untuk kau bekerja? Langit yang tujuh kami kukuhkan? Kami memelita kamu dengan matahari? Air di awan kami curahkan? Bukankah air itu menumbuhkan bijian dan tumbuhan? Kau tahu tapi kau tak mahu mengaku, sampai terpaksa aku hantukkan kau ke dinding, baru nak terngadah?
Kau masih juga tidak menerima, malah menafikan. Sesungguhnya berita besar itu pasti, sepasti malam menggantikan siang. Berita besar itu kami gambarkan dengan sepenuh kedahsyatan; bermula dengan tiupan mega sangkakala, kedatangan yang berkelompok. Langit terbuka pintunya, maka tiadalah beza bumi dan angkasaraya. Sekukuh gunung berhancuran, ibarat fatamorgana (itu pun jika kau pernah melihatnya)
Sesudah hari itu berpecahlah kamu kepada dua. Ada nikmat dan ada laknat. Jahanam itu tempat mereka yang dilaknat. Minumlah nanah itu, beserta air menggelegak panas, itu setimpal untukmu. Bukankah dulu bersungguh-sungguh kau mendustakan kami, ayat-ayat kami dan kitab-kitab kami. Itulah balasnya. Dan untuk kau adalah pertambahan azab, itu sahaja. Di sisi sana mereka merasa nikmat. Tidakkah kau cemburu? mereka menikmati nikmat, dipepohon hijau segar, merimbun dengan segala buah yang melazatkan. Di sana mereka bermesra dengan bidadari syurga, halal dan tiada noda pada mereka. Sambil menikmati minuman dari segala kenikmatan. Semua atas ketakwaan mereka, segala nikmat itu.
Dan pada hari itu, kebenaran berita besar itu terpacul. Segala nikmat dan laknat yang dikhabar menjadi benar. Kini kau berhadapan dengan pengadilan. Dihitung setiap inci laluan hidupmu, setiap kata yang terbutir, setiap tingkah yang terlaku, setiap bagi suatu setiap. Semua pembohongan terkunci, kemas dan lekap. Hanya kebenaran bersuara.
DI KALA ITU KAU MULA MENYESALI SEGALANYA, KERANA YANG MENANTIMU HANYALAH LAKNAT DI JAHANAM. MAKA BERKATALAH KAU, "ALANGKAH BAIKNYA JIKA AKU DAHULU ADALAH TANAH, TIADA PERLU DIHITUNG DOSA PAHALA"
Inspirasi Surah An-Naba' (nota usrah)

Selasa, 26 Oktober 2010

Di Mana Allah?

Di dalam diri kita, di mana kewujudan Allah kita letakkan?

Aku bersyukur, ketika satu persatu menjauhi diri, di belakang sekali aku 'terjumpa' Allah. Dia sentiasa ada, cuma aku yang selalu 'meletakkan'Nya di belakang. Dia sentiasa mendengar rintihan hambaNya, cuma aku yang selalu menjadikanNya pilihan terakhir aku mengadu.

Aku bersyukur, ketika banyak manusia lain langsung tidak 'mewujudkan' Allah dihatinya, aku masih sedar untuk berbuat sedemikian. Allah ku 'letak' di baris akhir dalam perkumpulan kenalan-kenalan tempat kumengadu dan bergembira.

Aku bersyukur, ketika dan saat ini, aku masih mampu bersyukur...

Khamis, 21 Oktober 2010

ais | bunga

yang nampak:
ais dan bunga
yang tak nampak:
hatiku yang sejuk dan berbunga-bunga ketika itu
bila?
ini gambar semasa bulan puasa
di mana?
di masjid aku berbuka puasa
selepas itu?
ais itu mencair dan yang tertinggal hanya bunga (baca: yang bakal layu)
ke mana?
ais itu mencair ke longkang
Ya, ke longkang kerana ais dan bunga itu di dalam sinki
dan kata aku?
sejuk ais dan cantik bunga akan pergi, hanya sinki yang tinggal

Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, atas semangat "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" izinkan saya memberi pendapat. Apakata kita laksanakan bajet kali ini berdasarkan sistem piramid. Ala, yang macam MLM tu. Siapa yang bayar cukai sedikit (baca: orang miskin) akan dapat faedah banyak, siapa yang bayar cukai banyak (baca: orang kaya) akan dapat faedah sedikit. Lagi pun rakyat kita memang suka sistem piramid ni, cepat kaya kata mereka. Harap ditimbang-timbangkankan lah Yang Amat Berhormat ya.
Dari saya,
rakyat pertengahan

Cerita | Hati | Merah

"Merah itu bukan warnanya hati, tetapi kerana ribuan parut halus di hati yang berdarah"
Prolog:
Ada tetamu datang ke rumah dia, dan terlihat hati tersimpan kemas di dalam rumah itu. Lalu meminta dia bawa keluar hati itu untuk diceritakan kepada mereka.
Cerita:
Ini adalah sebuah drama, maka anggaplah ia sebagai sebuah drama. Drama adalah drama, dan selama-lamanya adalah drama, sehingga ada orang ingin menirunya.
Drama ini adalah seputar kisah hati. Ada seorang manusia, jantinanya tidak menjadi kepentingannya di sini, mempunyai satu hati. Hati itu disemat betul-betul di dada kirinya. Semua orang jelas boleh melihatnya, ada juga yang ingin menyentuhnya, ada sekadar tengok, ada yang tak tengok langsung. Hati ini sentiasa disemat sepanjang masa, dari saat bertukar ke minit, dari minit bertukar ke jam, dari jam bertukar ke hari, bertukar ke minggu, minggu menjadi tahun. Apalah yang dipelikkan, hati itu masih di badannya, sebab itu dia boleh hidup lagi. Hati itu sentiasa tersemat di dada. Lekatnya seperti kita melekatkan tanda nama di baju sebelah kiri dada, begitulah seadanya.
Saban waktu dia berjalan, hati itu sentiasa tersemat, siang menjadi malam, sibuk menjadi lapang, tiada masalah untuk dia menyematkan hati di dada itu. Ada juga kawan-kawannya yang berbuat seperti itu, ada juga yang simpan di dalam badan, ikut atas kehendak setiap orang.
Bermula kisah, apabila menjelang dewasa, agaknya selepas dia bermimpi malam dikejar hantu (harap-harap faham lah apa maksudnya ya), hati itu mula menjadi perhatian. Dan sebaliknya. Dia juga ingin berkongsi hati itu dengan teman berlainan jantina. Jadi hati yang sebelum ini tak terusik langsung, kini mula dipegang-pegang, dibelek-belek, dan disentuh-sentuh. Pernah juga hati itu beralih tempat, disimpan oleh orang lain. Oh, mungkin anda tertanya, kenapa hati itu menarik perhatian orang yang berlainan jantina? Mungkin jawapannya manusia tak berminat hati sesama jantina, mungkin bentuk hati lelaki dan perempuan berlainan, sebab itu mereka saling meminati hati berlainan jantina.
Seperti barang yang selalu dipegang-pegang, pasti ada calar-calarnya. Begitu jugalah hati dia, boleh ternampak ada kesan calar dan berbekas pada hati yang dipegang-sentuh-belek-usik. Dia tak kisah langsung pun, setakat calar sedikit-sedikit biasalah itu. Telefon bimbit pun lama-lama ada kesan calar juga, tapi cantik dan canggihnya maasih tak luput pun.
kebiasaannya dia biasa memberi pinjam hati ini kepada satu orang pada satu-satu masa, sehingga entah pada tangan siapa entah hati itu banyak calar balarnya, berparut halus sana sini. Jika lidi yang segenggam lebih kuat dari yang sebatang, luka dan calar yang banyak walaupun halus mampu menjadikan pemiliknya berasa amat sakit dan pedih. Luka dan calar yang halus itu mengalirkan darah dari liang halus, menutupi seluruh hati dengan merah darah, sehingga yang melihatnya menyangka hati itu merah segar. Walaupun hakikatnya merah itu adalah darah-darah dari luka dan calar itu.
Begitulah kisahnya, sehingga dia terpaksa menyimpan hatinya di rumah sahaja. Berjalan tidak membawa hati. Pedih sangat, tak sanggup hendak dibawa keluar, kena hembusan angin pun terasa pedihnya. Ngilu mengalir air mata kata dia, lebih pedih dari pedih.
Di rumah hati itu disimpan di dalam jeriji besi dan kemas di dalam kotak kaca. Tidak mahu orang kacau katanya.
Epilog:
Tanpa dia sedar, di bilik tersimpannya hati itu, tingkapnya terbuka. Ada seseorang yang setiap hari melalui jalan di luar rumahnya sentiasa memerhati hati itu, menaruh minat untuk mengetahuinya. Dan selepas mengetahuinya tidaklah diketahui apa lagi yang ingin dilakukan orang itu.