Isnin, 30 Mei 2011

Kuala Lumpur

Hujung minggu lepas, aku ke satu kawasan penempatan di pinggir KL. Senang kata kawasan rumah pangsa. berpangsa-pangsa rumah aku nampak. Tinggi sampai menonggak kepala, menongkat langit. Padat tak usah kira, agak-agak kalu turun  semua boleh sampai target untuk demo Bersih 2.0 nanti. Yang aku ternampak adalah betapa untuk hidup di KL ini mereka terpaksa pasrah dan berserah seadanya. Apa tidaknya, di KL ini, keheningan pagi indah itu harus dibayar, ruang berlegar dan bergerak itu juga ada bayarannya. maka yang termampu bagi si 'kais pagi tak cukup makan, tidak kais tidak makan' akan mencapai apa sahaja termampu. rumah sekadar untuk berteduh, tanpa ruang yang banyak, terpaksa berkongsi tanah (mana tidaknya, orang tingkat dua ke atas berkongsi tanah dengan tingkat satu), dan segala lain macam keperluan. Aku melihat anak-anak berlari bersama rakan, entah apa bikinnya. Apa khabar anak itu, cukup padangkah untuk kau berlari?

Penempatan sepadat itu mungkin sahaja mengundang segala masalah sosial. Setandan pisang, pasti ada sebiji dua yang busuk, begitu jugalah kejiranan ini. Entah berapa jenis perangai manusia yang ada di situ, bercampur baik dan buruk. Bukan melarang kita bergaul dengan orang yang kurang baik ini, cuma dalam keadaan sepadat ini, susah bagi kita mengawasi pergerakan setiap daripada mereka. Beruntunglah jika kejiranan ini mempunyai semangat perpaduan kukuh dan cintakan kedamaian. Jika tidak, bagaimana pula?

Alhamdulillah, di rumah yang saya menyewa ini tidak sepadat di sana. Jika mendongak pun, tak lah perlu terlalu tinggi untuk melihat rumah tingkat teratas. Surau berfungsi baik sebagai penyebar syiar dan kehamonian jiran. terfikir bagaimana nanti generasi bawah saya, perlukah saya menjadi kaya supaya boleh membeli segala kebahagian dan keindahan di KL ini? Supaya hati tidak runsing memikirkan sebarang kemungkinan.

Ahh.. indah dan damainya hidup di kampung...

Tanah Runtuh di Hulu Langat

Ramai pemimpin, pembesar, penguasa dan orang ramai di sana. Menunjuk muka menampakkan simpati, tapi ikhlas hanya terpancar tanpa perlu dibuat. mereka berhujah tanah ini runtuh mengingatkan kita tentang kebobrokan yang kita lakukan, bencana memberi amaran kepada manusia usah leka pada perintah Tuan Punya Bumi. Tidakkah mereka (pemimpin dan sesiapa sahaja yang melakukan kerosakan itu) terfikir;

"Bukankah tempat anak yatim itu sepatutnya kamu yang duduk. Kamu yang melakukan kerosakan, sepatutnya kamulah yang diranapkan tanah runtuh. Ternyata kini, anak-anak yatim itu menggantikan tempat kamu. Maka dengan apakah kamu harus menghargainya? Wang ringgit beribu-ribu? Dirikan sebuah rumah sebagai ganti? Ternyata silap jika itu kamu fikirkan. Galang gantinya hanya berlaku adillah di muka bumi ini. Usah undang lagi tanah supaya runtuh."

Ghurabaa'

Buat mereka (termasuk juga kita) yang baru bersama di jalan juang Islam, yang sentiasa tersisih atau disisih


Mungkin ia lebih bermakna sekiranya kita menyaksikan video di bawah; seorang Palestin yang ditahan Yahudi laknatullah
(Maaf tiada banyak info kerana saya hanya ambil dari koleksi peribadi saya sahaja)



Isnin, 23 Mei 2011

Masihkah Guru Itu Lilin yang Membakar Diri?

(Entri ini lambat keluar kerana sibuk dengan urusan korporat yang tak pernah-pernah cukup mengejar duit)

Jika ditanya guru-guru sekarang, mereka pasti mengatakan guru itu masih lagi lilin yang membakar diri. Mungkin juga ada yang tidak. Kita semak jadual harian guru; guru antara kakitangan kerajaan yang terawal masuk kerja, lebih kurang 7.30 pagi sudah ada di sekolah. kemudian mengajar mengikut jadual kelas, mengambil kedatangan, menyemak kerja sekolah, menyiapkan rancangan mengajar, menghadiri mesyuarat sukan sekolah, terlibat dengan aktiviti persatuan dan kelab di sekolah, hadir hari sabtu untuk Kokurikulum, memastikan perayaan sambutan di sekolah berjalan lancar, menyiakan soalan peperiksaan, menjaga periksa, menanda kertas, memastikan ada program untuk pelajar UPSR, PMR, SPM, STPM dan banyak lagi. Semua itu guru harus lakukan dan itulah ibaratnya lilin yang membakar diri, mengorban masa dan tenaga untuk murid dan sekolah.
Apabila kita bandingkan dengan guru-guru pada era kegemilangan profesion perguruan, mahu tidak mahu kita kena akui ada kekurangan pada tugas guru-guru zaman sekarang. Ya, jadual guru dahulu tidak sepadat guru sekarang, tetapi tanggungjawab mereka benar-benar melambangkan merekalah lilin yang membakar diri. Kita jangan lupa, walaupun lilin itu tidaklah panas, tetapi api yang sekecil itulah yang menjadi punca kepada api yang marak, seperti maraknya semangat perjuangan orang-orang dahulu menuntut kemerdekaan dan menghalau penjajah!
Mereka iaini guru-guru dahulu mengajar bukan sahaja ilmu di dalam kitab-kitab (buku-buku) malah menghidupkan semangat yang terpendam di dalam setiap ilmu tersebut. Bersediakah guru-guru sekarang untuk melakukan tugas guru yang real itu pada zaman sekarang? Saya beri contoh:
Guru Bahasa Melayu : Menyedarkan tentang kekuatan bangsa
Guru Sejarah : Membakar semangat patriotisme
Guru Ekonomi : Membangkit semangat jihad ekonomi
Guru Bahasa Inggeris : Menjadikan anak bangsa sebagai bangsa penakluk

yang lain-lain sila tambah sendiri. maka, bersediakah mereka? Saya ulang sekali lagi, lilin itu bukan sekadar sifatnya membakar diri, ia juga penerang kegelapan, dan lagi penting ianya api, ya API. Api yang sifatnya marak dan boleh membakar. Itulah guru sebenarnya.

Akhir kalam, terima kasih wahai guru-guru ku, guru yang bkan sahaja hadir di sekolah, malah di mana-mana sahaja yang muncul dalam perjalanan hidup saya.

Ahad, 8 Mei 2011

Biasa-biasa Sahaja

Kalau ada orang kata, "saya berbangga kerana mempunyai seorang emak yang hebat", saya pula akan kata, "saya hebat kerana mempunyai 2 orang emak." Memang, saya ada dua emak; emak kandung dan emak susuan. Jika sudah sampai rezeki, akan dapat pula emak mertua. Alhamdulillah sejak dari kecil saya sudah mengikuti jejak rasul junjungan Muhammad s.a.w, persoalannya adakah perkara sebelum kerasulan itu dikira juga sunnah rasul? siapa ada jawapan sila berkongsi.
Saya dilahirkan sebagai anak kepada pasangan Ibrahim dan Wan Aminah, anak sulung mereka. Saya lahir 2minggu sebelum/selepas tarikh jangkaan, saya sendiri sudah lupa. Emak saya seorang guru tadika sebelum'pencen' awal menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya dibesarkan sepenuh masa oleh emak, beruntung betul saya. Pada mereka yang emaknya berkerja, keistimewaan ini anda terlepas, dan keistimewaan lain pula yang anda dapat. Mungkin disebabkan mendapat perhatian penuh dan sentiasa makan masakan emak, natijahnya saya menjadi berisi. Ramai juga jiran-jiran dan saudara mara yang memuji masakan emak. Mungkin ini alasan terbaik untuk melepaskan diri daripada menyalahkan diri sendiri tentang saiz badan saya ini.
Seperti orang lain juga, sedari kecil saya sentiasa dididik tentang peri penting hidup beragama. Alhamdulillah berkat kesungguhan emak yang ingin melihat saya pandai mengaji dengan bertajwid, pada usia 10 tahun saya sudah khatam Al-Quran dan sampai sekarang saya masih konsisten membaca Al-Quran. Cuma sampai sekarang saya tidak pandai melagukan bacaan saya, mungkin kerana suara kurang sedap. Emak saya juga selalu menanam minat saya supaya suka kepada pendidikan bercorak agama, yang akhirnya membawa saya ke sekolah aliran agama dan seterusnya ke UIA.
Kehidupan berkeluarga kami juga bisa-biasa sahaja. Ada pasang dan surutnya. Semuanya kami hadapi satu demi satu. Perpindahan pertama kami dari Batu Pahat ke Bukit kayu Hitam pada tahun saya tingkatan 3 merupakan sesuatu yang patut dikenang kerana selepas berpindah keluarga kami terpaksa berada hampir diseluruh semenanjung. Ayah dan emak di BKH, adik terpaksa sambung setahun lagi di sekolah lama, Kluang dan saya di sekolah baru di Kota Bharu. Kasihan emak saya yang terpaksa duduk seorang diri di rumah ketika ayah saya bekerja. Buat makluman, semasa di BKH ayah saya bekerja shift. Jadi sedikit sebanyak saya terbiasa dan memahami perasaan keluarga terutama para emak yang anak-anaknya berada di merata-rata di bumi tuhan ini.
Kehidupan harian emak saya adalah seperti suri rumah yang lain. Kerja yang tiada putus-putus. bangun pagi siapkan sarapan, basuh dan jemur baju, masak untuk makan tengah hari, kemas rumah, masak untuk makan malam, tidur, bangun dan kembali ke senarai pertama tadi. Begitu kitaran emak saya. Emak saya juga tak lepas untuk ke kelas pengajian agama jika ada.
Begitulah perihal emak saya. Tiada yang luar biasa. Sama seperti emak-emak yang lain, memikul sepenuh tanggungjawab sebagai seorang emak. Bukankah itu mencukupi, dan bukankah biasa itu indah?