Rabu, 15 Mei 2013

Aku Malu

Setiap pagi, aku seharusnya bersyukur kerana di'kejut'kan awal sebelum Subuh. Sepatutnya syukur itu aku balas dengan tahajud tetapi bukan sahaja tahajud aku tinggalkan, Subuh berjemaah pun aku tak buat.

Ironinya setiap pagi aku pergi kerja, selalu sahaja Allah permudahkan urusan aku.

Astaghfirullah, aku malu padaMu...

Jumaat, 3 Mei 2013

Jumaat yang Tersemat

Telah berlalu beberapa Jumaat dalam hidup aku, yang semuanya tersemat kenangan sayu untuk diingati. Hari akhir GEMS GVR05, SMM06B, BPS06F, SMM07C dan BPS07E semuanya berlaku pada hari Jumaat. Samalah juga hari terakhir aku di Irshad juga pada hari Jumaat.

Menyingkap memori-memori indah pada Jumaat-jumaat yang berlalu, membuatkan aku terkenang bahawa sudah jauh perjalanan hidup ini. Adakah sudah hampir aku ke syurga Allah atau sudah jauh aku meninggalkanNya. Beberapa cita-cita hidup masih lagi tidak tertunai, antaranya mendirikan rumah tangga tetapi aku sudah rasakan jauh sudah berjalan, dan minggu hadapan aku akan ke tempat kerja baru. Tempat yang menjanjikan sesuatu untuk aku santuni dan ertikan, jika aku mahu.

Semoga perjalanan hidup ini akan sentiasa di landasannya. Semoga aku tabah menghadapi cabaran. Semoga aku berjaya mendirikan rumah tangga. Supaya aku mampu berjuang untuk agama Allah. Supaya aku mati dalam keadaan tertunai segala tanggungjawab. Semoga ibu bapa meredhai aku dan keputusan ku. Semoga segala semoga aku tercapai.

Selamat datang ke dunia baru, Sazlie!

Pada Jumaat sekali ini, tersemat lagi satu rindu aku kepada pentas kehidupan bermanfaat yang lalu. Terima kasih semua yang terlibat menjayakan operanya.