Selasa, 3 Mac 2009

Ittiba' dan Sambutan Maulidur Rasul

Assalamualaikum,

Pertama-tama sekali, sahaya (saya) mohon maaf sekiranya tulisan ini banyak cacat celanya. Sahaya amat mengagumi dan menghormati ilmu, jadi sahaya tidak kisah tulisan ini dikritik sengan seilmiahnya. Bukankah itu tujuannya berdebat, supaya antara dua fikiran maka terlahir satu kesimpulan utuh, tanpa mempedulikan siapa pemenang dan yang tewas. Ilmu sahaya sungguh cetek, maka tulisan ini juga kurang ilmiahnya, tetapi inilah yang sahaya fikirkan.

Maulidur Rasul disambut sejak sekian lama di negara ini. Boleh dikatakan masyarakat Melayu menyambutnya. Tanpa sambutan ini maka tiada kedengaranlah periwayatan nabi secara serius di mana-mana ceramah dan majlis-majlis agama. Ini tentunya menambah kecintaan dan pengetahuan kita terhadap Rasulullah.

maka arakiannya, manusia itu semakin bertambah masa, bertambahlah juga akal fikirannya. Maka terlalu ingin bagi sekaliannya mencari kebenaran demi kebenaran. Dan menjadi mahsyurlah pula tentang hukum menyambut Maulidur Rasul yang dikatakan bertentangan dengan ajaran suci. Asas dan paksi perbincangan tentang ini telah mereka (golongan yang mencadangkan ini) telah dikemukakan. Kukuh dan ilmiah. Maka tiadalah sahaya berkemampuan menangkis hujah mereka, dan sesiapa yang berasa sangsi, perlulah juga dari golongan jauhari. maka jika berlaku perbincangan, diharaplah, ianya membuahkan hasil. Tak perlu difikirkan menang kalah, seperti yang tertulis di awal tadi.

Maka yang menentang ini mencadangkan: Ittiba'. Penghayatan secara berterusan. Atas alasan, perkara mencintai dan mengingati nabi bukanlah perkara bermusim. Sahaya setuju. Cuma suatu kebimbang muncul mencelah, jarang sekali kisah-kisah kenabian diceritakan secara bersungguh-sungguh pada waktu selain musim 'Maulid' ini. kebanyakan muslim Malaysia hanya mendengar hanya pada musim Maulid ini. Untung ada sambutan seperti ini. Kalau tidak....

Atas sebab musabab inilah, maka timbul di hati sahaya akan buah fikiran ini, walau ianya tidak sebernilai mana. Usaha mengingati nabi ini haruslah dijalankan sepanjang masa. Agar muslim Malaysia tidak kehausan ilmunya. Jika telah cantik perjalanannya, penghayatan lestari, setiap masa kedengaran, maka tiadalah gusar jika tiada sambutan Maulid ini.

Cadangan ini bukanlah bermakna secara sembrono sahaya menerima pendapat yang Maulid ini perlu dihapuskan. Sahaya juga perlu malalui masa yang panjang, dan pengkajian yang mendalam sebelum menerima apa-apa pendapat pun. Cadangan ini pada hemat sahaya disenangi dua-dua pihak. Memang tiada salah langsung mengingati Nabi Muhammad pada setiap waktu dan ketika. Cuma sambutan itu yang mereka berselisih pendapat. Lagipun cadangan ini memanfaatkan Muslim Malaysia (kenapa sahaya selalu kata Muslim Malaysia? Kerana sahaya membincangkan tajuk ini dalam skop Malaysia sahaja).

Maka bagi menyimpulkannya, sahaya menegaskan ini sekadar cadangan daripada pemikiran cetek sahaya. Atas dasar ianya memanfaatkan semua dan boleh dikatakan ianya selari dengan pendapat banyak pihak. Saranannya, jika diterima cadangan ini, hendaklah ia dilaksana bersungguh-sungguh. Ibarat menyeluk pekasam, alang-alang menyeluk biarlah kena seluruh lengan. Kekuranag harap dimaafkan.

Wassalam..

Tiada ulasan: