Khamis, 27 Mei 2010

Nenda Nyemah Mulya

Salam kasih hamba buat nenda Nyemah Mulya,

Siapa hamba tidaklah nenda kenali lantaran jarak waktu menjadi dinding penghalang. Hatta diri nenda sendiri tak seberapa pasti hamba kenali. Hamba mengenali nenda menerusi cerita, yang pastinya ditokok tambah menjadi sedap dibuat orang cerita sebelum tidur.
Tidak mengapalah kita saling mengenali atau tidak, cuma hamba ingin berkongsi sebarang dua perkara dengan ninda. Kisah nenda telah hamba ketahui, keperkasaan, kesetiaan kepada agama, budi dan santun nenda menjadi mahsyur serata Tanah Melayu ini. Tahukah nenda, tanah keramat ini telah merdeka lebih setengah abad lalu, lalu bergabung dengan saudar-saudara kita di Bumi Kenyalang dan Borneo Utara, yang satu masa dulu dinaungi Kerajaan Brunei dan Sulu di Filipina.
Itu kisah dulu nenda, hamba pun belum kenampakan bulan dan matahari masa itu. Cuma dengar kisah dari orang tua sahaja. Kini hamba hidup di zaman serba hebat. Tak tercapai dek fikiran nenda rasanya. Tanah kita ini, setelah bergabung dengan saudara-saudara di Bumi Kenyalang dan Borneo Utara namanya Malaysia. Melaka tidak lagi bersultan. Jambatan Melaka sudah pastinya sudah berganti baru. Cina dan India sudah menjadi rakyat di negara ini. Di sana sini kami berkata tentang perpaduan. 1Malaysia katanya. Entahlah nenda, semua ingin di-1-kan, tetapi bini hendak juga di-4-kan. Hamba bergurau sahaja nenda Nyemah Mulya.
Pernah dulu nenda mengadu kepada Sultan Melaka tentang jahatnya Benggali putih itu, merosak anak dara Melayu, mengkafir setiap yang Muslim, mendera dan memerah tenaga lelaki Melaka. Sungguh azab hamba mendengarnya nenda. Tapi lebih azab jika nenda mendengar kisah hamba. Tahukah nenda, jika dulu Benggali putih sial itu memperkosa anak-anak dara Melayu, kini pemuda-pemuda Melayu sendiri memperkosa mereka. Jika nenda kenal akan TV dan surat khabar, kalau tidak setiap hari pun, kerap kali kami mendengar perkhabaran sebegitu nenda. Jika dulu nenda membenci Purtugis keparat, kini kami terpaksa mengikut langkah nenda, membenci pemuda durjana. Hilang akal sudahkah, memperkosa sedarah sedaging sendiri.
Itu belum lagi hamba khabarkan tentang nasib anak-anak kecil di sini nenda. Baru sahaja dilahir terus dibunuh. Dicampak, dibuang ke merata tempat. Jadi makanan anjing wahai nenda. Jika dulu nenda pilu mendengar kisah Saidina Umar menanam anak perempuannya, kini nenda mesti lagi pilu mendengar sedarah sedaging nenda membuang anaknya sendiri. Salah ibukah atau salah ayah bayi itukah, biarlah bayi itu menjawab di hadapan Ilahi nanti.
Hendak juga hamba khabarkan wahai nenda Nyemah Mulya, akhlak di sini saling tak tumpah seperti di zaman Melaka gemilang. Hiburan di sana sini, tuak dan arak minuman anak muda, pelacur di mana-mana senang terjumpa. Akhlak nabi tidak diikut, malah malu diamalkan. Yang berkuasa terus menindas yang lemah, rasuah makanan harian. Di mata berajalah duit, di mata berajalah wang. Hamba tahu akibat kelalaian itulah Melaka jatuh di tangan Benggali Putih itu. Maka azablah sekalian rakyat Melaka di bawah Benggali Putih itu. Hamba yakin, sejarah boleh berulang. Dan hamba yakin Melayu sudah lupa akan sejarah. Nenda juga kata yang Melayu ini iktibarnya diambil sekejap sahaja. Lalai itu sepanjang masa. Dan ini yang hamba alami. Tiada siapa sedar perkara seperti ini pernah terjadi di zaman nenda, zaman Melaka gemilang.
Jika dulu nenda ibarat lilin, menerangi orang keliling mengajar ilmu agama kepada mereka, kini orang seperti nenda berkurang. Ilmunya ilmu agama, tetapi yang mengajar untuk mendapat upah. Ada yang lagi teruk, menjadi pengampu kerajaan. Di mana ilmu sebenar wahai nenda Nyemah Mulya, aku kehausan mencarinya.
Nenda Nyemah Mulya, panjang sudah hamba mengarang, namun belum habis kerenah orang zaman hamba yang dapat hamba khabarkan. Kering air Selat Melaka dijadikan dakwat belum tentu kebejatan manusia hamba tulis. Cukuplah sekadar yang termampu hamba karang di sini. Sekadar melepas perasaan hamba ini mengarang. Mengadu pada nenda, dengan harapan agar orang keliling hamba dapat mendengarnya.
Sekian dulu wahai nenda, hamba mohon mengundur diri. Hamba pinta doa pada Yang Esa, tetapkanlah iman di hati mereka, kukuhkan kepercayaan kepada Rabb, Tuhan sekalian alam. Teguhkanlah di bumi ini syiar Islam-Mu, agar kami tidak menyesal di Akhirat kekal abadi kelak.

Salam kasih penuh hormat pada nenda Nyemah Mulya.

1515-Faisal Tehrani

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

~Novel 1515~ xfham.. Hehe (~_^)

Muhd Sazlie berkata...

tekan la link tu, tak pun baca novel tu. blh kan..

Tanpa Nama berkata...

~ha'ah da tngk da tp rasanye kna bce buku tu gk bru fhm~

cik_Qs berkata...

nice~~