Isnin, 15 Mac 2010

Kuching GEMS 04 (www.mygemsportal.com.my)

Jarang-jarang blog ini aku jadikan macam diari. tapi kali ni biarlah. layan blues skit.

Sejak hari pertama kerja di Kuching, ni la malam pertama yang free. kesian tengok blog ni, sebab tu la aku post entri ni. dh dekat 2 minggu kat sini, water front je yg dh pegi. hari-hari lain kat tmpat keja ni la. penat, bengang, femes, glamor, sakit hati, ngantuk, mamai, sume dh campur jadi satu. masa jadi peserta dulu, sumenya tak tahu, maklum la br kuar universiti, (walaupun rasanya kat univ tu dh byk blaja, rupanya byk lagi yg aku tak tau) skang dh jadi urusetia, sume benda budak refer kat aku. apa lagi, berlagak macho dan serba tahu la. Walaupun sekadar executive je, soalan yg budak tanya tu macam la aku ni trainer diorang. jangan gabra, muka kena macho, jwpn kena padu, kalau tak tahu, jgn buat memandai, cakap kat peserta, nanti sy bincang dengan site manager. pergh!! cool rasanya. padahal dalam kepala ni dh serabut tahap gaban, kalau tali tu, memang dh tak boleh lerai la, pakai potong je.

untuk site kuching ni, memang unik sikit. asal plannya, peserta mmg kitorang anggap dtg dr area sarawak je. tp disebabkan femes sgt program ni, orang sabah pun nak dtg. jadi, registration yang patutnya satu hari, dah jadi seminggu. setiap hari, pagi hingga malam, ada je orang dtg nk daftar, terpaksa lah aku n sorang lg exec terkontang kanting settlekan benda ni. takkan nk harap site manager plak yg buat, manalah die mahir nk buat sume. tgk 'big picture' dia tau la. mmg dh macam gitu kerja berkumpulan kan. aku tak lah nk salahkan budak2 tu, yg salahnya bhgn recruitment la, nk cerita byk2 kat sini pun tak guna, bukan die tau pun aku ada blog (apa2 hal pun, tu tanggapan aku masa aku tengah serabut la, bukan semestinya diorang salah).

penginapan pun satu hal, nama je hotel, tp menyerabutkan kepala aku. serabut sampai muka aku nmpk ketat. nasib baik la exec sorang lg tu buat lawak suruh maintain muka rileks walau kepala serabut (padahal aku pun penah nmpk muka ketat die masa serabut). tak tau la mana cacatnya, hotel ni yg patutnya jadi eksklusif (tak pun separa eksklusif) untuk budak2 ni, barai terus. esok kami mintak jadikan kelas, mlm tu boleh lg die bantai buat dinner utk budak2 unimas. nampak la jugak, 2 3 budak perempuan unimas nk gedik2 dengan aku, tp aku jual mahal. kepala tengah serabut, lagi kau mahu gedik2 depan aku. makanan tak payah cerita la, hotel 3 bintang, makanan macam 3 tahi bintang. makan tengah hari tadi aku senang2 je boleh jmpa bulu ayam dalam ayam masak kurma.

peserta macam2 plak. bangsa dh tentu lebih dari satu, melayu, iban, bidayuh, cina, dusun, singh pun ada. india je aku tak jmpa lagi. muslim boleh kata separuh la. mmg real 1Malaysia la sarawak ni. yang datang trus cakap sarawak dengan aku pun ada. kamik sik paham la... tapi bagus gak, muka aku ada ala2 rakyat sarawak kot. ada muka mcm cina, aku pakai tembak je tanya, awak ni org cina kan. rupa2nya orang iban dia kata (kalau tak salah la, aku tak berapa ingat sangat) ada jugak yang aku jmpa speaking KL lancar giler, macam bukan orang sarawak. aku pun nk lancar ckp sarawak la, biar orang KL ingat aku ni dr srwk.

yang tadi pasal bangsa, bagus la, colours of Malaysia. untung betul aku datang sini, klu tidak, susah gak nk ngaku rakyat Malaysia. ni nk cerita pasal perangai plak. dulu masa jadi peserta tak berapa perasan sangat, bila jadi urusetia ni baru la tau perangai budak ni macam2. yg terlebih skema pun ada, mcm poyo je aku tengok, yang badan kat sini hati kat tempat lain pun ada, lebih kurang macam aku dulu la, yg terejal pun ada, tapi terejal style universiti la. tak susah sgt nk handle. diorang ada panggil aku encik, pergh, rasa terangkat siut. panggil abang pun ada, yang ni aku kena hati2 sikit, karang tak pasal2 aku cair, perasan sorang2. yang panggil sir aku tak boleh belah sikit la, biasanya sir ni aku panggil lecturer kat uia dulu, bila diorang panggil sir kat aku, terasa macam darjat dh diangkat 40 tingkat rasanya.

walaupun sini sarawak, kitorang kena speaking London, site manager punya arahan. makanya, berbelit la lidah den ni, nk tergeliat gamaknya. aku pakai goreng je bila cakap dengan budak2 tu, tp segan gak dengan budak yg english mcm mat salleh cakap, tapi kena control macho beb. walaupun goreng tak sedap, muka kena maintain as an executive. br la ada ciri2 nk dinaikkan pangkat (aku main cakap je ni).

team member pun macam2 ragam. yg pure dr Irshad (company yg handle prog ni) cuma aku dan sorang exec lg tu je. site manager aku tak tau sgt statusnya, ntah macam mana aggrement yg die sign aku tak tau dan tak nak amik pusing, walaupun begitu, die ada baju korporat, aku plak yg takde (jeles pun ada gak, bila la HR ni nk tempah baju utk aku). ada 2 site assisstant, satu lepasan diploma limkokwing, sorang lg br amik result SPM. korang tnya sendiri la apa result die dapat. aku nmpk sgt la perbezaan ketara bila sorang tu dh masuk univ. yg SPM ni, masih tak tau apa erti 'kerja' tu sebenarnya. mungkin die belum masuk fasa hidup yg kena cari duit sendiri. betapa kerja itu berkait rapat dengan cari rezeki. agaknya yg die tau, keja tu keja, tak tau la kenapa orang berebut2 nk keja, bersungguh2 nk pertahankan kerja, berpenat lelah buat kerja betul2. yg bdk diploma tu, tak byk nk cerita, biasa2 je, tp walaupun diploma, tp klu suruh wat grafik, aku mcm blh challenge die sikit2 (cam berlagak la plak). tp die mmg ada bgtau, kualiti limkokwing skang dh jatuh, admin diorang lebih pentingkan duit. lupa nk bgtau, die amik bhgn animation, jd ada alasan la nk kata tak berapa pandai grafik ni. yg sorang exec ni, dh 3 kali jadi urusetia utk program ni. segala benda dh ada dlm kepala, kira dh khatam la. die la sumber rujukan sahih aku setakat ni. membebel ala2 makcik, obses gila dengan air teh O, panas sejuk sume dia bantai tp keja tak berkira, yg aku punya part pun kadang2 die buat (eh, tiba2 rasa macam aku yg byk buat keja die plak).

TAPI, keja dakwah kena jalan. boleh kata 50% je Islam, macam mana nak buat tu? Setiap kesusahan itu sebenarnya peluang. Maknanya aku kena tengok ada 50% ruang untuk aku kenalkan Islam kepada mereka.

tu la serba sedikit entri yg sebagai diari. ni la isi diari yg paling panjang aku pernah buat. time sek rendah dan sek menengah dulu ada gak cita2 nk buat diari, tp bila pegang pen je, sume idea hilang, cam siut..












Rabu, 3 Mac 2010

Hati berkata perkataan paling ikhlas.

Hati berkata perkataan paling ikhlas. Apa gunanya kita persembahkan kepada mereka yang tidak berhati, kerana bahasa hati, hanya hati yang dapat memahami. Dengan atau tanpa suara sekalipun, hati dapat memahami apa yang diperkatakan hati yang lain.

Dengarlah suara hati, kerana itulah kata-kata seseorang yang paling ikhlas. Mulut mampu menipu, raut wajah boleh berlakon, tetapi hati sentiasa benar.

Menyentuh hati seseorang, bererti mengenal dia dengan sebenarnya.






Kejujuran pada diri sendiri
Untuk apa dipersembahkan kepada
Mereka yang tak punya perasaan
Kita ada nilai tersendiri

Ahad, 21 Februari 2010

Tuduhan Berat

Pintu rumah terhentak kuat. Ah, lantaklah. Saiful meluru masuk ke dalam. Maknya yang diruang tamu terperanjat. "kau ni kenapa Saiful? Macam kena rasuk hantu je." Mak Limah bertanya, penuh keibuan yang garang-garang lembut. Muka Saiful masam, terhenti berjalan, mak bertanya, mesti dijawab, katanya dalam hati. "Budak-budak ini mak, buat sakit hati Saiful je." Bercakap sambil duduk dikerusi makan, bertentang dengan Mak Limah.

"Apa yang budak-budak ini buat? Budak-budak mana yang kau cerita ni?"

"Budak-budak-budak mana lagi kat kampung ni mak, geng-geng Dolah tu la. Suka-suka je menuduh orang."

"Astaghfirullah, dia tuduh apa kat kau ni? Kalau ya pun, pasal apa sampai kau melenting ni? Nasib baik pintu tu tak pecah, kalau pecah ada duit kau nak ganti?"

"Orang tau la orang ni tak ada duit lagi. Pecah pintu itu, lindung dengan langsir pun boleh. Suruh adik tu jaga depan malam-malam, asyik main
game je kerjanya tiap-tiap malam."

"Apa pasal aku pula? Abang yang mengamuk, adik pula jadi mangsa."

"Dah la korang berdua, mentang-mentang dua-dua jantan, nak bergaduh je kerja yang kau tahu. Ha, Saiful, apa benda yang si Dolah tu tuduh kau, sampai nak bergaduh adik beradik jadinya ni?"

"Ni bukan tuduh-tuduh yang biasa mak, bukan macam zaman sekolah dulu. Kalau macam sekolah dulu, orang boleh je tahan. Tapi ni berat mak, tuduhan berat. Naik marah Saiful dengar diorang cakap macam tu."

"Ye la, apa tuduhannya, bagi tahu la dekat mak ni."

"Alah, mak ni pun....Orang tengah marah lagi dia tanya macam-macam. Panas tau hati ni mak, ikutkan tadi, nak aje Saiful belasah seorang-seorang, robek-robek mulut budak-budak tu."

"Bawa mengucap Saiful. Orang tuduh kau tak pasal-pasal ini kenapa? Besar sangat ke kesalahan kau ni?"

"Mak pun salahkan Saiful juga ke?!"

"Aish kau ni, mak tak tahu hujung pangkal tiba-tiba kau tuduh mak macam ni. Mak pun nak mengamuk juga lah macam ini."

"Hahahahaha... Padan muka kau abang, mengamuk tak pasal-pasal, kan dah kena."

"Kau diam lah. Main je
game tu, karang aku hancurkan PSP tu baru kau tahu."

"Uuiik, abang mengamuk yea, abang mengamuk yea." Samad, adik Saiful mengejeknya sambil berlari masuk bilik. " Baik adik tidur lagi bagus."

"Tidurlah kau, tak bangun-bangun terus pun tak apa," balas Saiful, menunjukkan kuasa seorang abang.

"Kau ni Saiful, masin mulut kau tu, baru kau menyesal. Ha, kau kata apa bila diorang tuduh kau macam tu?"

"Mana adil mak, diorang tuduh Saiful macam tu. Diorang ingat dah bagus sangat boleh kata orang macam tu? Tuduhan berat tu mak, memang orang tak boleh terima. Kenapa tak kata Ramli, Murad, dan Nasir tu sekali."

"Astaghfirullah, apalah dosa budak-budak tu Saiful oi.Hari-hari mak nampak Ramli tu pegi surau Maghrib dan Isyak, kadang-kadang jadi bilal. Murad dan Nasir tu pula, tak pernah pula mak nampak diorang buat apa-apa salah pun. Ke sana ke mari pun berketayap je. lagipun diorang adik beradik tu kan tahfiz, kau jangan main semberono je Saiful."

"Itulah mak, bila orang cakap dia tak nak percaya. Dah lah, orang nak masuk bilik ni. Makin banyak cakap makin sakit hati ini."

Menggeleng-geleng kepala Mak Limah, syaitan jenis apalah yang merasuk anak teruna dia ni. Saiful berlalu, kerusi ditolak ke tepi, sipi lagi nak berlanggar dengan cermin almari. Sambil berjalan Saiful menyepak pintu bilik adiknya, "Oi, aku sepak kepala kau baru kau tahu," marah adiknya, tapi tak dihiraukan langsung.

*************************************************************************************

Di bilik, Saiful menghenjah badan ke katil. Krek krek bunyi katil besi bujang itu. Berkumat kamit mulutnya menyumpah. Tut...tut.. mesej berbunyi. Dari Dolah. Sial, apa lagi si bedebah ini hendak.

"Saiful, semua orang dah tau. Tengok kau saja pun orang dah boleh baca. Bukan aku yang tuduh, tapi sebenarnya SATU KAMPUNG dah tau. hahahhahaha..."

"Celaka, sampai dalam telefon pun kau buat tuduhan berat ini. Siaplah kau, aku kerat 14 badan kau nanti. Masa tu, nak tuduh apa pun tuduhlah," sumpah si Saiful.

Saiful berbaring menenangkan fikiran. Dia belajar dari tazkirah semalam, kalau marah baik kita duduk, kalau duduk pun tidak hilangkan marah, berbaringlah, dan kalau tidak hilang juga, berwuduklah. Marah itu dari syaitan, dan syaitan itu daripada api, dan api lawannya adalah air.

Terlena sekejap Saiful dengan marah-marahnya itu. Tiba-tiba
alarm telefonnya berbunyi. "Cis, ada date rupanya aku hari ni." Cepat-cepat Saiful bersiap, untung-untung marah aku reda sikit bila nampak muka buah hati kesayangan. bisiknya di dalam hati.

*************************************************************************************

Di pekan, di A&W, di situ Saiful ber
date dengan tunangnya. Itulah satu-satunya restoran makanan segera yang bertapak di pekan kecil itu.

"Kenapa muka macam ni, risau Leha tengok."

"Tak ada apalah. Kenapa, selama ni Leha tak pernah tengok muka macam ni ke?"

"Eh, ke situ pula abang ni, orang tanya elok-elok dia marah pula."

"Dolah tu, buat abang bengang hari ni. perkara yang dia cakap tu, tuduhan berat, abang tak boleh terima."

"La, marah dengan si Dolah tu ke? Dia kan memang samseng taik minyak kat kampung kita. Dah la, buat tak kisah je. Leha tak nak la tengok muka abang comel ni monyok semacam je."

"Ye la tu, Dolah tu dah buat onar macam ni, kalau satu kampung dengar dakyah tu macam mana, Leha nak jawab?"

"Ok lah bang, apa yang dia tuduh abang tu, kasi Leha dengar. Kalau betullah berat sangat, kita adu je kat Pak Saad, ketu kampung tu. Nak lagi hebat, kita pergi je balai polis lepas kita makan ni."

"Ish,jangalah sampai ke situ pula. Kalu polis tahu tak sempatlah abang nak pecahkan muka si
Dolah and The Gang tu."

"Abang jangan buat macam tu bang, tidur balai la kalau abang buat macam tu. Cakaplah, apa yang dia tuduh abang?"

"Sibuk nak tahu je dia ni. Orang datang sini nak
release tension, nak makan burger besar, lantaklah si Dolah tu, tau lah nak buat macam mana nanti"

"Ikut suka abang lah." Leha mencebik ala-ala manja. "Nanti balik abang jangan lupa ya, benda yang Leha minta abang tolong tu."

"Ok, macam tu la, senyum tu kasi lebar sikit ye, baru sejuk hati ni." Saiful bergurau, menutup sikap marah tadi.

*************************************************************************************

Turun dari bas, Saiful berjalan sahaja ke rumahnya. Nasib baik sempat dia naik bas terakhir itu, kalaun tidak, naik teksilah jawabnya. Dan, berpuluh-puluhlah abang teksi nanti minta upah. Saiful berjalan gaya riang, sedikit rasa marah sudah terubat. Ditampal dengan burger A&W dan sedikit senyuman tunangnya. Di hadapannya jambatan gantung, selama lebih sepuluh tahun, masih tidak runtuh. Arkitek dan jurutera pembuat jambatan itu mahir dan jujur dalam membinanya. Bicara Saiful di dalam hati. Mungkin kerana terkenang kisah jambatan gantung runtuh di Perak membuatkan Saiful berkata macam itu.

Di tengah-tengah jambatan, Saiful terlihat dari jauh si Dolah dan kawan-kawannya menuju ke arahnya dengan bermotorsikal. Hati Saiful kembali bergelegak, dan ketika baru sahaj hendak menjerit, tiba-tiba, praaaaaaap.. kakinya terjulur keluar, papan jambatan patah dipijak Saiful. Berdekah-dekah Dolah dan kawan-kawannya ketawa.

"Hahahahahaha. Depan mata kita dia jatuh, sebiji macam nangka busuk jatuh" ejek Dolah

"Itulah, kau tu berat, aku tuduh kau berat, kau marah. Sekarang depan mata aku 'keberatan' kau tu mematahkan papan jambatan tu. Nasib baik tak roboh. Hahahahaha...."

"Kurang ajar, tuduhan berat ini memang aku tak maafkan. Siap kau Dolah, yang gemuk boleh kurus, tapi terlajak kata, herot muka kau nanti." jerit Saiful.

"Hahaha. aku tungguuuu." Dolah berlalu meninggalkan Saiful. Sambil berjalan menjauhinya, mereka masih lagi ketawa berdekah-dekah, sampai malam baru berhenti, mungkin.




p/s: cerita sekadar suka-suka. kalau tak silap, A Samad Said ada buat cerita lebih kurang macam ini, tajuk 'Pencuri yang Tidak Adil Dihukum'

Rabu, 17 Februari 2010

Februari...bulan cinta

Angin
Tiupkan ke dalam hatinya
Rasa rindu ini
Moga dalam kejauhan
Dia masih merasa
Lembut puput bayu cintaku


Kiranya indah karangan di atas, ambillah. Aku hadiahkan padamu. Hadiahkan ia kepada isteri/suami, pasanganmu yang sah. Tiada halangan cinta antara kamu berdua, satu cinta yang diredhai, malah dikurniakan pahala berlipat ganda kepada pasangan sah yang bercinta.

Nikmatilah cinta sepanjang hayatmu, bukan semata-mata di bulan Februari sahaja. Usah rendahkan maruahmu, seperti anak-anak muda yang menjual kehormatan di malam Valentine di Bulan Cinta ini. Beredar di kalangan mereka, berkempen agar menunjukkan kesetiaan cinta mereka kepada kekasih dengan menyerah tubuh di malam Valentine, "Apa ini semua adik-adik ku? Semakin pandai dirimu, semakin keliru sikapmu. Bukan ini yang kami harapkan dari permata bangsa kami sekalian" Sungguh, mereka keliru, antara firman-firman Allah dan bisikan halus syaitan.

Wahai pasangan suami isteri, hanyutlah kamu di alam percintaanmu, dan Allah akan mengurniakan rezeki berupa anak dan harta kepadamu. Jadikanlah sempadan, kisah manusia berhati kering sanggup membuang anak sendiri. Entah menjadi makanan anjing mahupun dimamah ulat sampah. Di Bulan Cinta ini sahaja, paling kurang 3 anak yang dibuang begitu sahaja. Salah satu ditemui rentung. Tiada setitis dosa pun pada mereka. Hei manusia, jika malu bagimu menerima anak itu, serahkan sahaja pada
ku, atau pada sesiapa yang berhati emas menerimanya.

Pasangan yang kuhormati, hubunganmu disenangi Ilahi. Amalan agamamu digandakan pahalanya. Syaitan bersedih melihat kamu bermesra bersama, seisi alam menyenanginya. Sungguh indah percintaan yang halal dan sah ini. Jauhilah sama sekali perceraian, kerana itu perkara sah yang paling dimurkai Allah yang Maha Besar. Sayu melihat di dada-dada akhbar, yang bertarikh di Bulan Cinta ini, kisah suami isteri bergaduh, sehingga cedera fizikal, hampir nyawa tergadai, dan akhirnya bercerai.

Sahabat, kawan dan saudara yang ku kasihi, ini baru secebis kisah yang berlegar di kalangan kita pada Bulan Cinta ini. Walaupun tiada asas untuk mengatakan Februari adalah Bulan Cinta, tetapi inilah realiti yang kita tatapi setiap hari sambil sebelah pihak sibuk mempromosikan kehebatan cinta Februari. Kita keliru sebenarnya, bukan menyemai cinta sempit ini tetapi tugas kita adalah memakmurkan dunia, Allah sentiasa bersama kita dengan sifat Al-Rahman dan Al-Rahim. Kasih sayang terhadap setiap makhluknya, dan kasih sayang terhadap makhluknya yang beriman kepadanya.

Cinta Februari adalah cinta yang keliru, cinta berdasarkan nafsu fikiran semata-mata. Sedarlah kalian, dengan Februari yang masih sedikit berbaki, kikislah cinta bertunjangkan nafsu serakah, tiada asas di dalam Islam untuk meraikan Valentine, dan ketahuilah, Islam merai percintaan yang sah, lebih hebat dari roh Hari Valentine itu sendiri.


Nasi lemak buah bidara
Daun selasih hamba lurutkan
Restu
emak, Allah, dan saudara
Barulah kasih hamba turutkan

Jumaat, 15 Januari 2010

Tentang Hal Agama Di Negara Malaysia

Saya selalu bertanya:

1. Adakah dengan menyekat penyebaran agama selain Islam kepada penganut agama Islam menandakan kita mengukuhkan ajaran Islam di Malaysia,

2. dan itu caranya untuk kita mempertahan akidah penganut Islam?

3. Adakah hak bagi pemerintah Islam, untuk mengajar penganut agama lain cara sepatutnya mereka beribadat?

4. Adakah cukup dengan menggunakan hujah undang-undang semata-mata untuk mempertahankan pendapat kita bersetuju/tidak bersetuju tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam?

5. Adakah kebenaran boleh disembunyikan tatkala umat Islam menghadapi isu antara-agama, dalam keadaan umat Islam kini lemah?


Rabu, 6 Januari 2010

Kabel



Berbulu mata melihat, berbulu telinga mendengar, seseorang menggunakan kabel untuk sesuatu. Atas nama apa pun, ia tetap meng'geli'kan. Ada yang berselindung balik nama bangsa, kononnya Bumiputeralah, ada yang berselindung balik nama saudara, kononnya sepupulah, ada yang berselindung balik nama jemaah, kononnya ikhwah kita lah, dan pelbagai lagi lah. Cukup-cukuplah, Allah jadikan kita berpuak, bukan untuk 'main kabel'.Buat seadil mungkinlah, rezeki yang sudah ditetapkan Kalam Allah, tak mungkin dicuri oleh orang lain.
Allah yang memberi rezeki, bukan manusia. Kalau sudah nasib kita nak dapat gaji RM1,000 pada bulan itu, tak semestinya melalui majikan kita, melalui sesiapa pun boleh. Pokok pangkalnya, Allah yang beri. Jadi tak perlulah berkabel-kabel ini, menutup periuk nasi orang lain sebenarnya. Atas nama semulia Jemaah pun tak perlulah. Tiada
privileges-nya ahli Jemaah itu kalau urusan melibatkan orang ramai. Apatah lagi sehina kumpulan kongsi gelap. Hina menghinakan.Cukuplah, apa yang telah bapa-bapa kita, datuk-datuk kita lakukan dulu, kita bina sahsiah yang baru. Wujudkan Biah Solehah. Kafir sekalipun, tetap ada hak terhadap rezeki masing-masing.
Contoh mudahlah, dalam bidang politik. Suatu tender dikeluarkan, bukalah pada orang ramai. Pilihlah berdasarkan kriteria dan kelayakan. Selalu kita kata BN yang amalkan kronisme, tender tertutup. Tapi PAS (PR) pun tak terlepas juga. Sudah dulu kita marah, sekarang apabila berkuasa janganlah ulang balik. Sekali lagi ditekankan, atas nama jemaah pun tak boleh. Itu adalah duit pembayar cukai. Hendak 'main kabel' macam ini, minta izinlah dengan semua rakyat. Pergi ke ceruk pos penempatan orang asli, ke puncak gunung, ke lembah, ke pulau terpencil, ke tokong-tokong, ke surau masjid, ke mana sahajalah yang ada pembayar cukai, minta izin.
Ambillah panduan kisah Umar Abd Aziz & pelitanya. Orang macam itulah yang mampu menaikkan nama Islam. Bukannya dengan menunjuk alim apabila nama Allah diperdebatkan, tapi muamalat tak pernah halal.
'Main kabel' ini berlaku di mana sahaja. Paling biasa, terjadi sewaktu masuk sekolah baru. Tahukah kamu, sekali anak-anak kamu masuk dengan 'main kabel', sekali juga kamu menafikan hak anak orang yang lain. Kamu tahu ke siapa orangnya yang haknya kamu nafikan? Ke mana kamu nak mohon maaf? Mungkin sumbangan yang dia boleh bawa lebih besar daripada anak kamu? Mungkin, mungkin dan mungkin. itu belum kira lagi urusan masuk universiti, mendapat hak asnaf untuk wang zakat, dan mendapatkan kerja,
Sudahlah, ketepikan rasa berpuak-puak, tak mulianya kita dipandang masyarakat. Sedaya upaya kita mahu lari dari semua ini. Relakanlah kehilangan seluruh harta daripada kita menafikan hak orang lain, kerana rezeki pemberian Allah takkan dicuri orang, takkan dirampas sesiapa.




"Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melaksanakan apa-apa sahaja kebaikan."

"Diri ini hanyalah sekelumit dari pengkisahan dunia ini. Nak tertanding dengan KekasihMu muhammad saw pun tak terhingga kalahnya, apatah lagi untuk mendabik dada, mengatakan akulah yang mem'buka' rezeki kepada sekian-sekian orang, tanpa
recomendation aku, ntah ke manalah orang itu. Aku malu untuk menyuruh manusia mendengar kata-kataku, dalam keadaanku yang lebih hina daripada mereka di sisiMu. Aku malu untuk berbangga menceritakan kebaikanku, sedang dalam diam mungkin orang yang mendengarnya lebih hebat daripada aku. Aku malu untuk membesarkan diri, hatta kepada binatang melata dan merayap di muka bumi Allah sekali pun. Peliharakanlah diriku, keluargaku, sahabat handaiku, dan muslimin dan muslimat daripada melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini."

"Ya Allah, sampaikanlah pesanan ini kepada mereka yang 'terasa pedas makan lada', buahkanlah keinsafan di hati mereka, sambil diriku juga mengambil iktibar daripadanya."

Selamat Tahun Baru kalendar Matahari kepada semua. Senyumlah seindah suria



Khamis, 31 Disember 2009

Minda.Bebas.Selamat

Minda yang bebas
adalah minda yang dalam erti kata sebenarnya bebas

Minda yang bebas dan selamat
adalah minda yang dalam erti kata sebenarnya bebas
dan berpandukan Islam

Berikan mindaku kebebasan dan Islam!




Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:256)