Ahad, 8 Mei 2011

Biasa-biasa Sahaja

Kalau ada orang kata, "saya berbangga kerana mempunyai seorang emak yang hebat", saya pula akan kata, "saya hebat kerana mempunyai 2 orang emak." Memang, saya ada dua emak; emak kandung dan emak susuan. Jika sudah sampai rezeki, akan dapat pula emak mertua. Alhamdulillah sejak dari kecil saya sudah mengikuti jejak rasul junjungan Muhammad s.a.w, persoalannya adakah perkara sebelum kerasulan itu dikira juga sunnah rasul? siapa ada jawapan sila berkongsi.
Saya dilahirkan sebagai anak kepada pasangan Ibrahim dan Wan Aminah, anak sulung mereka. Saya lahir 2minggu sebelum/selepas tarikh jangkaan, saya sendiri sudah lupa. Emak saya seorang guru tadika sebelum'pencen' awal menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya dibesarkan sepenuh masa oleh emak, beruntung betul saya. Pada mereka yang emaknya berkerja, keistimewaan ini anda terlepas, dan keistimewaan lain pula yang anda dapat. Mungkin disebabkan mendapat perhatian penuh dan sentiasa makan masakan emak, natijahnya saya menjadi berisi. Ramai juga jiran-jiran dan saudara mara yang memuji masakan emak. Mungkin ini alasan terbaik untuk melepaskan diri daripada menyalahkan diri sendiri tentang saiz badan saya ini.
Seperti orang lain juga, sedari kecil saya sentiasa dididik tentang peri penting hidup beragama. Alhamdulillah berkat kesungguhan emak yang ingin melihat saya pandai mengaji dengan bertajwid, pada usia 10 tahun saya sudah khatam Al-Quran dan sampai sekarang saya masih konsisten membaca Al-Quran. Cuma sampai sekarang saya tidak pandai melagukan bacaan saya, mungkin kerana suara kurang sedap. Emak saya juga selalu menanam minat saya supaya suka kepada pendidikan bercorak agama, yang akhirnya membawa saya ke sekolah aliran agama dan seterusnya ke UIA.
Kehidupan berkeluarga kami juga bisa-biasa sahaja. Ada pasang dan surutnya. Semuanya kami hadapi satu demi satu. Perpindahan pertama kami dari Batu Pahat ke Bukit kayu Hitam pada tahun saya tingkatan 3 merupakan sesuatu yang patut dikenang kerana selepas berpindah keluarga kami terpaksa berada hampir diseluruh semenanjung. Ayah dan emak di BKH, adik terpaksa sambung setahun lagi di sekolah lama, Kluang dan saya di sekolah baru di Kota Bharu. Kasihan emak saya yang terpaksa duduk seorang diri di rumah ketika ayah saya bekerja. Buat makluman, semasa di BKH ayah saya bekerja shift. Jadi sedikit sebanyak saya terbiasa dan memahami perasaan keluarga terutama para emak yang anak-anaknya berada di merata-rata di bumi tuhan ini.
Kehidupan harian emak saya adalah seperti suri rumah yang lain. Kerja yang tiada putus-putus. bangun pagi siapkan sarapan, basuh dan jemur baju, masak untuk makan tengah hari, kemas rumah, masak untuk makan malam, tidur, bangun dan kembali ke senarai pertama tadi. Begitu kitaran emak saya. Emak saya juga tak lepas untuk ke kelas pengajian agama jika ada.
Begitulah perihal emak saya. Tiada yang luar biasa. Sama seperti emak-emak yang lain, memikul sepenuh tanggungjawab sebagai seorang emak. Bukankah itu mencukupi, dan bukankah biasa itu indah?






Tiada ulasan: