"Merah itu bukan warnanya hati, tetapi kerana ribuan parut halus di hati yang berdarah"
Prolog:
Ada tetamu datang ke rumah dia, dan terlihat hati tersimpan kemas di dalam rumah itu. Lalu meminta dia bawa keluar hati itu untuk diceritakan kepada mereka.
Cerita:
Ini adalah sebuah drama, maka anggaplah ia sebagai sebuah drama. Drama adalah drama, dan selama-lamanya adalah drama, sehingga ada orang ingin menirunya.
Drama ini adalah seputar kisah hati. Ada seorang manusia, jantinanya tidak menjadi kepentingannya di sini, mempunyai satu hati. Hati itu disemat betul-betul di dada kirinya. Semua orang jelas boleh melihatnya, ada juga yang ingin menyentuhnya, ada sekadar tengok, ada yang tak tengok langsung. Hati ini sentiasa disemat sepanjang masa, dari saat bertukar ke minit, dari minit bertukar ke jam, dari jam bertukar ke hari, bertukar ke minggu, minggu menjadi tahun. Apalah yang dipelikkan, hati itu masih di badannya, sebab itu dia boleh hidup lagi. Hati itu sentiasa tersemat di dada. Lekatnya seperti kita melekatkan tanda nama di baju sebelah kiri dada, begitulah seadanya.
Saban waktu dia berjalan, hati itu sentiasa tersemat, siang menjadi malam, sibuk menjadi lapang, tiada masalah untuk dia menyematkan hati di dada itu. Ada juga kawan-kawannya yang berbuat seperti itu, ada juga yang simpan di dalam badan, ikut atas kehendak setiap orang.
Bermula kisah, apabila menjelang dewasa, agaknya selepas dia bermimpi malam dikejar hantu (harap-harap faham lah apa maksudnya ya), hati itu mula menjadi perhatian. Dan sebaliknya. Dia juga ingin berkongsi hati itu dengan teman berlainan jantina. Jadi hati yang sebelum ini tak terusik langsung, kini mula dipegang-pegang, dibelek-belek, dan disentuh-sentuh. Pernah juga hati itu beralih tempat, disimpan oleh orang lain. Oh, mungkin anda tertanya, kenapa hati itu menarik perhatian orang yang berlainan jantina? Mungkin jawapannya manusia tak berminat hati sesama jantina, mungkin bentuk hati lelaki dan perempuan berlainan, sebab itu mereka saling meminati hati berlainan jantina.
Seperti barang yang selalu dipegang-pegang, pasti ada calar-calarnya. Begitu jugalah hati dia, boleh ternampak ada kesan calar dan berbekas pada hati yang dipegang-sentuh-belek-usik. Dia tak kisah langsung pun, setakat calar sedikit-sedikit biasalah itu. Telefon bimbit pun lama-lama ada kesan calar juga, tapi cantik dan canggihnya maasih tak luput pun.
kebiasaannya dia biasa memberi pinjam hati ini kepada satu orang pada satu-satu masa, sehingga entah pada tangan siapa entah hati itu banyak calar balarnya, berparut halus sana sini. Jika lidi yang segenggam lebih kuat dari yang sebatang, luka dan calar yang banyak walaupun halus mampu menjadikan pemiliknya berasa amat sakit dan pedih. Luka dan calar yang halus itu mengalirkan darah dari liang halus, menutupi seluruh hati dengan merah darah, sehingga yang melihatnya menyangka hati itu merah segar. Walaupun hakikatnya merah itu adalah darah-darah dari luka dan calar itu.
Begitulah kisahnya, sehingga dia terpaksa menyimpan hatinya di rumah sahaja. Berjalan tidak membawa hati. Pedih sangat, tak sanggup hendak dibawa keluar, kena hembusan angin pun terasa pedihnya. Ngilu mengalir air mata kata dia, lebih pedih dari pedih.
Di rumah hati itu disimpan di dalam jeriji besi dan kemas di dalam kotak kaca. Tidak mahu orang kacau katanya.
Epilog:
Tanpa dia sedar, di bilik tersimpannya hati itu, tingkapnya terbuka. Ada seseorang yang setiap hari melalui jalan di luar rumahnya sentiasa memerhati hati itu, menaruh minat untuk mengetahuinya. Dan selepas mengetahuinya tidaklah diketahui apa lagi yang ingin dilakukan orang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan