"Penyesalan Berlaku Apabila Kita Tidak Mengambil Pusing Apa yang telah diberitahu Dahulu"
Berita telah tersebar, meniti bibir ke bibir menjadi buah mulut semua. Sudah maklum semuanya, dan semua sudah maklum. Hanya kepercayaan masih yang lama. Kukuh tidak mahu menerima sebuah berita besar. Sombong atau malu, sama sahaja, mereka tidak menerima berita besar itu.
Lalu penegasan telah diberikan di sini. Bukankah apa yang kau lihat ini aku jelmakan; bumi yang kau pijak aku yang hamparkan? Gunung-gunung itu aku yang pasakkan? Pasangan kamu kami yang pasangkan? tidurmu kami jadikan istirehatmu? Dan kami pakaikan malam pada tidurmu? Siang kami jadikan untuk kau bekerja? Langit yang tujuh kami kukuhkan? Kami memelita kamu dengan matahari? Air di awan kami curahkan? Bukankah air itu menumbuhkan bijian dan tumbuhan? Kau tahu tapi kau tak mahu mengaku, sampai terpaksa aku hantukkan kau ke dinding, baru nak terngadah?
Kau masih juga tidak menerima, malah menafikan. Sesungguhnya berita besar itu pasti, sepasti malam menggantikan siang. Berita besar itu kami gambarkan dengan sepenuh kedahsyatan; bermula dengan tiupan mega sangkakala, kedatangan yang berkelompok. Langit terbuka pintunya, maka tiadalah beza bumi dan angkasaraya. Sekukuh gunung berhancuran, ibarat fatamorgana (itu pun jika kau pernah melihatnya)
Sesudah hari itu berpecahlah kamu kepada dua. Ada nikmat dan ada laknat. Jahanam itu tempat mereka yang dilaknat. Minumlah nanah itu, beserta air menggelegak panas, itu setimpal untukmu. Bukankah dulu bersungguh-sungguh kau mendustakan kami, ayat-ayat kami dan kitab-kitab kami. Itulah balasnya. Dan untuk kau adalah pertambahan azab, itu sahaja. Di sisi sana mereka merasa nikmat. Tidakkah kau cemburu? mereka menikmati nikmat, dipepohon hijau segar, merimbun dengan segala buah yang melazatkan. Di sana mereka bermesra dengan bidadari syurga, halal dan tiada noda pada mereka. Sambil menikmati minuman dari segala kenikmatan. Semua atas ketakwaan mereka, segala nikmat itu.
Dan pada hari itu, kebenaran berita besar itu terpacul. Segala nikmat dan laknat yang dikhabar menjadi benar. Kini kau berhadapan dengan pengadilan. Dihitung setiap inci laluan hidupmu, setiap kata yang terbutir, setiap tingkah yang terlaku, setiap bagi suatu setiap. Semua pembohongan terkunci, kemas dan lekap. Hanya kebenaran bersuara.
DI KALA ITU KAU MULA MENYESALI SEGALANYA, KERANA YANG MENANTIMU HANYALAH LAKNAT DI JAHANAM. MAKA BERKATALAH KAU, "ALANGKAH BAIKNYA JIKA AKU DAHULU ADALAH TANAH, TIADA PERLU DIHITUNG DOSA PAHALA"
Inspirasi Surah An-Naba' (nota usrah)
1 ulasan:
Congrats... Good notes, a creative way of expressing the surah....
Catat Ulasan