Di zaman wang menjadi ukuran, segala-galanya adalah kerana wang. Penangan kapitalis benar-benar membirat di setiap inci badan. Kepandaian Adam Smith rupa-rupanya membawa dunia ke rupa yang sebegini. Kini wang segala-galanya. Ah, bohonglah ungkapan 'money is not everything'. Hakikatnya, wang adalah segala-galanya, dan semuanya mahukan wang. Kesopanan, budaya timur, tolong-menolong, gotong-royong, dan pelbagai lagi perkataan-perkataan suci seperti itu boleh sahaja dibuang ke tong sampah. Hempas sahaja ke dalam tong, dan ludahkan sekali. Begitulah makam sepatutnya untuk nilai-nilai 'semurni' itu.
Di kampung yang permai sekalipun, mereka berparang merebut duit, manalah ada lagi menolong tanpa menghulur, memberi tanpa harap balasan, itu semua cakap-cakap kosong ibarat mat ganja yang khayal melihat syurga ketika lalok.
Di bandar apatah lagi, jiwa kapitalis menjalar ke setiap nadi, meresap ke peparu, bronkus, dan bronkoil yang paling dalam, menjadi darah daging dan sumsum tulang. Hakikatnya duit adalah raja dan bagi atheis, wang adalah tuhan yang patut disembah.
Ke tandas awam (walaupun namanya awam) di'pau' paling kurang 20sen. Jangan ingat ke kubur tak perlu bayar, jenuh kaum keluarga mencari duit semata-mata urusan pengebumian. Apa lagi? Ungkapan 'percuma', 'free', semua itu adalah ganja yang mengkhayalakan. Disebaliknya, adalah nafsu yang laparkan duit, kekayaan dan kemewahan.
Contoh yang mahu dikisahkan ini adalah salah satu kebejatan yang berlaku. Tak mungkin boleh dijadikan hujah di mahkamah untuk menghukum para pelapar duit, kerana penulis tidak berduit untuk merasuah untuk memenangkan kes (wang adalah rukun penting bagi proses rasuah).
Contoh paling signifikan adalah kisah nikah-kahwin-cerai-berai. Bermula dari babak percintaan lagi, duit adalah syarat penting kejayaan sesebuah cinta. Sembilan nafsu wanita pasti sahaja tidak akan membiarkan janji-janji sang lelaki tanpa disaduri wang dan kemewahan. Dapat dilihat di mana-mana, wanita berjalan dengan lelaki tua yang ibarat bapa yang kaya-raya. Jika percintaan tidak berjaya? Lihat sahaja pada contoh bekas tunang yang menyaman wanita sebanyak sejuta; akibat putus tunang.
Masuk ke fasa seterusnya, apabila tiba ke gerbang perkahwinan, perkara yang paling digeruni adalah wang. Mas kahwin+wang hantaran+belanja kahwin+miscellanious, jangan haraplah jumlahnya 4 angka. Dan para bakal pengantin lelaki terpaksa melutut di pintu tauke kapitalis untuk meminjam barang sepuluh sen dua. Sama ada konvensional atau perbankan islam, dua-dua sama (maksudnya, jika ia di tangan kapitalis). Bayarannya tetap mencekik darah hingga ke sel darah merah, sel darah putih, dan plasma. Dan syarat berkahwin pula, mestilah berkereta (perlu juga melutut lagi), sebuah rumah (terpaksa bersujud di pintu bank kerana jumlahnya 6 angka). Kamu ingat kes pembuangan anak tiada kaitan dengan kapitalis ini?
Fasa seterusnya, menanggung anak. Kata-kata indah anak lahir dengan rezeki sendiri menjadi penyejuk hati. Realiti yang ditempuh adalah pahit, setiap anak lahir dengan kos. Sakit bersalin itu ada nilai mata wangnya. Bersalin percuma di hospital kerajaan amat menyakitkan, sebaliknya kurang sakit apabila wang dihulur ke hospital swasta. Saat pertama anak melihat dunia telah 'diajar' dengan kapitalis (azan rupanya perkara kedua yang anak belajar).
Membesarkan anak memang memeritkan. Pada botol susu tersumbat kapitalis. Pada pampers bayi dicop denagn kapitalis Bedak, sabun, pakaian, dan mainan bayi semuanya terselit kapitalis. Sehinggalah memberikan pendidikan formal, semuanya perlukan wang. Kepandaian anak membawa perkhabaran gembira dan bersamanya perkhabaran sedih. Gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading, sedihnya kerana mereka terpaksa berhutang dulu sebelum memanjat menara gading itu.
Dan kitaran itu berulang semula seperti bapanya.
Semuanya wang. Para kapitalis sungguh bijaksana, merangka teori-teori hebat supaya di setiap sudut hidup manusia ada terselit keperluan wang. Dan dalam kesedaran atau tidak, di situ mereka hadir. Kadang-kadang hadir dalam bentuk ingin membantu, dalam masa sama mengaut untung.
(Contoh yang dibawa adalah hal-hal perkahwinan, tetapi bukan hal-hal perkahwinan yang ingin dicerita. Contoh ini diambil kerana ia melibatkan banyak aspek-aspek kehidupan lain.)
Ah, indahnya jika tiada istilah 'Mata Duitan'
"Dan kamu cintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan"(al-Fajr 20).
"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" (al-Kahfi, 46).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan