Selasa, 22 Disember 2009

Tentang Yusuf Al-Qardawi ketika di Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim
(semoga isi yang ditulis ini tidak menyimpang tujuannya)

Yusuf Al-Qardawi (YAQ) adalah seorang ulama tersohor masa kini. Dijemput ke Malaysia untuk menerima tokoh Maal Hijrah. Mengambil kesempatan beliau berada di Malaysia, banyak pihak yang menjemput beliau mengadakan ceramah. Salah satunya di Masjid Negeri Selangor, di Shah Alam. Ya, sebuah negeri Pakatan Rakyat dan Menteri Besarnya daripada PKR. Turut serta di dalam majlis itu ialah Anwar Ibrahim, ketua pembangkang di Parlimen. Peduli apa semua itu, malaikat akan tetap menaungi kita walau siapa pun penganjurnya, biru BN atau oren PR, malaikat tetap hadir di majlis ilmu.

Tentang isi ceramah beliau, cari sahajalah di mana-mana blog, ramai yang mengupasnya. Bermula dari sudut Islami, sehinggalah ke sudut politik. Diizinkan kiranya, untuk mengupas dari sudut yang lain, yang sepi dari pandangan orang (mungkin?).

Tiba sahaja YAQ ke dewan masjid, azan hampir berkumandang. Semasa azan dilaungkan, sudah ramai yang mula bangun ke saf-saf depan. Aku cuba menjadi rebel, cuba untuk tidak mengikut rentak ramai. Ya, akhirnya tewas, bangun jugalah aku. Yang kagumnya, habis sahaja azan berkumandang, semua makmum sudah berdiri. Aku ingatkan terus sembahyang maghrib tanpa sunat sebelum maghrib (sebab ada sesetengah tempat yang buat macam itu). Tapi tidak, ada senggang masa antara azan dan iqamah, sempat untuk bersolat rawatib. Menjadi canggung kerana tak pernah makmum berpusu-pusu memenuhkan saf sebelum iqamah, siap semuanya berdiri menunggu solat bermula.

YAQ menjadi imam, ada yang kata beliau buat solat jamak. Yang aku perasan, beliau tidak memulakan Al-fatihah dengan lafaz basmalah. Mungkin beliau berpendapat basmalah bukan sebahagian daripada Al-quran, dan ayat yang akhir dari surah Al-fatihah itu sebenarnya terdiri daripada dua ayat, bagi melengkapkan 7 ayat dalam surah Al-fatihah (sila betulkan kalau aku salah).

Selesai solat, beliau tidak berzikir secara kuat, makmum berzikir sendiri. Tak lama kemudian majlis bermula. Menjadi canggung juga, sekali lagi orang ramai memenuhkan ruang-ruang hadapan. Pastilah, daun pelepah tamar kalau jatuh tidak akan mencecah lantai. Begitu bersungguh penghormatan yang diberi.

Isi ceramah berkenaan Hijrah. Isi-isinya seperti ceramah-ceramah biasa Maal Hijrah, tetapi yang menarik perhatian adalah, kaedah logic thinking yang beliau gunakan. Mengambil iktibar kisah-kisah binatang yang terlibat membantu semasa penghijrahan Nabi, beliau berkata, dalam Al-quran mengatakan Nabi Muhammad dibantu oleh Allah melalui tenteranya yang tidak kelihatan oleh mata kasar, macam mana pula kisah-kisah binatang yang boleh dilihat dengan mata kepala orang, menjadi cerita yang boleh dipercayai. Tambahan pula, hadis-hadis berkaitannya pula lemah. Pendek kata, berpeganglah pada Al-quran, jika ada yang bertentang dengannya, insyaallah sumber itu bukan yang benar, walaupun ada yang mengatakan ianya berasal dari sabda Nabi. Mudah bukan?

Ceramah berlangsung selama sejam setengah. YAQ bercakap hanya setengah dari masa itu, kerana setengah lagi adalah masa untuk ustaz di sebelahnya menterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Selepas itu solat Isyak hendak didirikan. Ketika itu juga, YAQ mula sakit. Berpusu-pusulah makmum ke hadapan, hendak tahu khabar berita. Sehingga betul-betul solat ingin didirikan, orang-orang ini masih sibuk-sibuk lagi di depan. Sudah banyak kali orang masjid menegur menyuruh semua balik ke tempat asal, dan solat bersama. Apalah kamu semua, YAQ baru bercakap tentang ketamadunan Islam selepas Hijrah, perangai kamu masih macam itu lagi. Ramai yang ambil gambar, termasuklah menggunakan telefon bimbit. Mungkin hendak masuk dalam blog rasanya. Mungkinkah ini bahana kewujudan telefon bimbit dan blog?

Pastinya, bukan YAQ yang menjadi imam Isyak. Selesai sahaja solat Isyak, ramai berpusu mengurumun beliau. Beliau terpaksa dipapah untuk di bawa keluar. Sekali lagi, ramai yang mengerumun beliau. Sehingga menyusahkan pihak bertanggungjawab. Terpaksa meminta laluan, dan kadang kala nadanya seperti ingin marah. Apalah. Beliau berjaya dipapah ke tingkat bawah. Alhamdulillah, semasa beliau dipapah, aku berada berdekatan dengan jalan yang diambil, sempatlah menatap wajahnya secara langsung (live). Dalam kekalutan memapah YAQ, aku cuma mengekori dari belakang. Tetiba terasa gelombang orang di sekitar ku seperti mengerumuni seseorang. Ya, YAB Khalid, rupanya dia tertinggal ke belakang, sedangkan YAQ yang dipapah berada di depan. Aku senang dengan caranya, sentiasa mengucap terima kasih kerana sudi datang kepada sesiapa yang bersalam dengannya. Hendaknya budi seperti itulah yang ditunjolkan dalam perkhidmatannya. Aku tak sempat bersalam dengannya (mungkin juga memang tak mahu bersalam, nampak macho skit. ;-)).

Kemudian, aku keluar dari dewan solat dan terus keluar masjid. Pulang ke rumah.

Tiada ulasan: