Rabu, 2 Disember 2009

Lidah

Sebermula kisah lidah ini, adalah lidah seorang budak. Lahir dari hasrat ingin melihat bumi dengan upaya sendiri. Jangan ditanya dari mana ia dilahirkan. Sesuatu yang tak ingin, malah dibenci untuk dijawab si budak itu. Lidah, itulah anggotanya. Menyusur bersama membina sejarah kelahirannya. Lidah itu sungguh berkuasa. Hampir saja lidah itu menjadi berhala. Jika pedas lidah itu terasa, maka pedaslah seluruh anggota. Sehingga kuku yang paling hujung pun kepijaran pedas. Jika manis yang terasa, maka ternikmatlah sekalian ahli tubuh. Sebusuk-busuk jari kaki pun merasa manisnya. Begitulah kuasanya lidah ini. Bahkan, jika akal yang selama ini kita kagumi, tapi pada si budak ini, lidah lebih menguasai. Akal yang mampu berfikir tak mampu menggerunkan, apatah lagi menyeru gerombolan batang tubuh untuk bangkit. Nah, kehebatannya terserlah.

Maka kini proses kelahiran itu bermula. Lidah memulakan tugas. Menghamburkan kata-kata kuasa, kata-kata kebencian, dan kata-kata semangat. Jantung menyahut, lalu mengalirkan darah paling elok, telinga mendengar, melorongkan getaran bunyi pada keadaan terbaik, mata membugar, kaki menghentak, hampir-hampir sahaja menerajang, tangan bergetar, menggeliat urat-urat jadi, genggam sebuah penumbuk. Lalu semua bersatu, berpadu-padu, bersekutu, manghasilkan kuasa paling berkuasa. Seketika waktu paling sesuai, semua di tahap tertinggi, maka meletuplah sebuah semangat, menjadi sebuah realiti. Hasilnya, budak itu lahirlah, dengan kekuatan kendiri. Bersempena hari itu, maka bermulalah umur si budak itu dengan sehari.

Tanpa sebarang kompromi, lidah diangkat ke tahap tertinggi. Hampir saja, bahkan ada saja yang menganggap lidah dimahkotakan di atas otak. Lidah adalah tulang belakang kelahiran itu, walaupun ahli batang tubuh tahu yang lidah tidak bertulang. Lidah disanjung, semau ahli batang tubuh memberi pujian. Kehidupan budak itu harus terus langsung. Sekali lagi lidah digunakan untuk menggerakkan ahli batang tubuh. Semua anggota belajar dari lidah ini. Lidah inilah penyuluh hidup mereka, bahkan mata pun mengiyakannya. Sedangkan mata yang sepatutnya bekerja dengan cahaya.

Pernah saja si penguasa tubuh murka pada isi di dalam tubuh. berbekalkan pengaruh si lidah, maka isi itu dihambur keluar. Jika ia di muka, maka dihalau menjadi jerawat, jika di telinga, maka menjadi tahi telinga, di mata menjadi tahi mata, di hidung menjadi tahi hidung, begitulah seterusnya. Lidah memang tidak bertulang, dan menjadi semakin berpengaruh. Lantaran tidak bertulang, tiada siapa boleh membentuknya.

Maka tiba suatu ketika, si penguasa tubuh ingin lestari. lidah terus disogoknya, menjadi pemangkin keinginannya itu. Lidah terus berlentik-lentik, mengikut tari penguasa tubuh. Jangan ditanya pada ahli batang tubuh, siapakah gerangan penguasa itu, meluat untuk menjawab. Ahli batang tubuh dipaksa bekerja keras, tanpa kasihan. Lidah itu disuap gula-gula, agar manisnya terasa hingga ke urat halus paling akhir. Dahulu bolehlah, kini tidak lagi. Keletihan dipaksa itu lebih dirasa oleh urat-urat berbanding manis gula itu.

Bermula dari ahli paling hujung, paling sunyi, iaitu hujung rambut, menyuarakan hasrat ingin membuang lidah. Suara itu sayup-sayup kedengaran. Baru saja ingin sampai ke serata tubuh, terus dipotong rambut itu oleh sang lidah. Begitulah kuasanya lidah pada si budak itu.
Melihat itu, ahli-ahli yang lain turut bengang. Menyumpah seranah. Segala yang haram, segala yang keji terus dihambur. Tapi lidah terus teguh.

"Bagaimana kalian nak membunuh aku? Pahit manis masam masin zat kamu aku yang rasa dulu. Kalau boleh kataku, maka boleh lah ia disalur ke setiap urat sendi kamu. Jika tidak jangan haraplah," sombong si lidah menjawab.

"Ini sudah lebih," kata kaki.

"Aku memang tak sabar lagi," rungut si telinga.

"Setuju," jawab ahli batang tubuh satu persatu.

"Mentang-mentang sang penguasa rapat dengan lidah, ingat kita tak boleh buat apa. Kita nyahkan lidah," gigi bersuara sebagai ahli yang paling hampir dengan lidah.

Maka gerakan dimulakan. Semua mengenang kisah mereka bersatu melahirkan si budak. Sang penguasa adalah penggerak utama, dan lidah hero masa itu. Kini, kedua-dua tiada di saf baru itu. Bermula dengan jantung tidak mengepam darah ke lidah, boikot katanya. Tangan tak mahu menyuap nasi ke lidah, gigi tak mahu mengunyah, sehingga tulang sulbi yang jauh yang tak mampu berbuat apa-apa pun turut menyumbang, menyumbang rasa benci kesumat. Lidah sombong, merasa tiada apa pun memberi kesan.

Lalu kemuncak kegeraman ini meletus tatkala pangkal lidah, yang tak ahli batang tubuh
definisikannya sebagai lidah mula bertindak. Dari dasar paling bawah, pangkal lidah meliuk keluar, memaksa lidah supaya terjelir. Lidah kesakitan. Kalau duduk tak bergerak, terasa sakit, jika menurut akan terjelirlah ke luar mulut. Akibat desakan yang kuat, tanpa ada darah yang mengalir, tanpa merasa apa-apa makanandan zat, beserta dikecam sana dan sini. Mendengar kata cerca dan cela dari setiap inci tubuh, akhirnya lidah sedikit demi sedikit menjadi lemah longlai, tak mampu melawan kehendak ahli-ahli batang tubuh. Lalu yang terakhir, apabila dipastikan lidar sudah terjelir ke luar mulut, maka pangkal lidah memotong hubungan antara mereka berdua.Terhambur keluar lidah yang lama. Semakin lama semakin laju lidah merebah ke bumi, semakin kuat sorakan ahli-ahli batang tubuh, meraikan kemanangan.

Kita menang! Sorak mereka beramai-ramai. sebagai ganti, pangkal lidah sanggup mengambil alih tugas lidah. Penghormatan diberi, seperti mana yang dulu. Ibaratnya sejarah berulang kembali. Sehingga mana sejarah itu berulang? Itu terpulang pada lidah yang baru. Jika ia melakukan sama seperti sejarah silam, maka sejarah akan berulang kembali. Semakin hari, si budak itu semakin membesar, membesar dengan lidah yang baru, dan penguasa pun bertukar, dek kerana lidahnya telah tiada.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam encik,

masih setia dengan greeting 'selamat hari raya' ke...

susahnya nak faham artikel ni. bahasa sastera, ada maksud tersirat.

Muhd Sazlie berkata...

wslm,

barisan pelakon:

penguasa: kerajaan
ahli-ahli batang tubuh: rakyat jelata
otak/akal: rakyat jelata yang cerdik
si budak: sebuah negara
lidah: media massa perdana kawalan kerajaan
pangkal lidah: media alternatif yang bertuankan kebenaran

harap-harap faham ye.

ps: bahasa saya biasa-biasa saja, tak sampai tahap sastera pun. ;)

Tanpa Nama berkata...

lidah sudah dibuat sup, haha