Khamis, 30 April 2009

Pilihan

Dalam hidup ini, setiap jalan yang kita tempuhi, akan ditemukan dengan pilihan. Dan kita selalunya memilih dengan apa yang kita rasakan paling sesuai. Kadang-kadang pilihan itu tepat, Alhamdulillah, dan ada kalanya tidak. Memang sudah kecenderungan manusia, mereka akan menyerah kepada orang lain untuk membuat keputusan setelah mereka sendiri tidak berjaya.
Soalnya, kepada siapa kita ajukan pilihan ini? Hahaha... Kalau dalam periksa kita harapkan dadu pemadam, ataupun kiraan yang bermacam-macam jenis kira reka. Dan bagaimana pula dengan hidup? aku percaya, setiap pilihan itu adalah ujian keupayaan kita. Keupayaan tentang segala-galanya. Sesiapa yang tewas, mereka membiarkan arus membawa hidup mereka. Maka terlihatlah kita segolongan yang kecewa dengan hidup memilih untuk merosakkan diri sendiri. Kamu bagaimana? Percayalah tiada apa yang diuji kepada kita, yang tak mampu kita hadapi. Hadapilah dengan tenang, berbekal iman dan Islam, carilah pedoman. Tiada siapa yang dapat melihat masa depan kecuali Allah. Dialah yang bukan sahaja mampu melihat masa depan, malah Dialah yang menciptanya, mengaturnya, berkuasa terhadapnya, dan mampu mengubah segala-galanya yang kita terhijab.

Memang lumrah manusia menyerahkan kepada yang lain untuk membuat keputusan ketika buntu, maka Allah lah tempat sebaik-baiknya sesuatu keputusan itu dibuat.

Ya Allah, Tuhan yang menguasai alam ini, yang memegang hati setiap manusia, yang mengetahui segala rahsia sebesar-besar alam, dan sedalam-dalam hati dan perasaan, yang tiada hijab bagiNya, maka aku bermohon kepadamu, dalam setiap keputusan yang aku lakukan, berilah yang terbaik bagiku. Kerana Engkaulah Ya Allah, aku bermohon sesuatu hajat, dan kerana Engkaulah sebenar-benarnya tempat bergantung harap dan tempat kembali. Amin...

Khamis, 9 April 2009

Hari 3

Kota Madinah Al-Munawwarah

Madinah adalah salah satu dari dua tanah haram. Jangan kau tak tahu pula. Di sinilah Nabi Muhammad membina sebuah kerajaan contoh. Di dalamnya bukan sahaja terdapat umat Islam, malah kaum yahudi pun hidup aman bersama umat Islam yang lain. Kihidupan berpuak yang diamalkan bangsa Arab mula terhakis di sini. Dah lah umat Islam digolongkan kepada Muhajirin dan Ansar. Dan dalam Muhajirin dan Ansar itu terdapat banyak lagi pecahan kaum. Tapi semua dapat hidup saling menghormati, dan bersama-sama membina Kerajaan Islam Madinah. Alangkah indahnya kalau kita hidup pada saat itu.
Dan di kota kesayangan Nabi inilah juga Allah turunkan pelbagai rahmat dan kemuliaan di dalamnya:
1. Masjid Nabawi - Gandaan solat di sini adalah 1000 kali. Dan masjid ini adalah masjid yang termulia selepas Masjid Haram. Di dalam ini jugalah ada sebidang tanah yang tak ternilai dek duit ringgit kita. Sebidang tanah yang kalu kita berdoa di dalamnya akan dimakbulkan Allah. Sebidang tanah ini sentiasa sesak dengan tetamu Allah. Sebidang tanah ini letaknya antara Mimbar Nabi dan rumahnya. sebidang tanah ini atau dikenali dengan Raudhah adalah idaman setiap tamu Allah yang hadir ke Madinah ini. Bayangkanlah, setiap hari nabi mundar mandir di dalam sebidang tanah ini. Berjalan dari rumahnya ke masjid. Menyambut tetamu kerajaan, menyampaikan dakwah, dan pada hari ini, kau hadir dari sejauh Malaysia, dan menyembah Allah di Raudhah ini. Dan yang paling menjadi idaman adalah jika kau dapat sembahyang di Mihrab Nabi. Apa itu Mihrab Nabi? Mihrab Nabi adalah tempat di mana Nabi bersembahyang. Manusia seagung Muhammad menyembah Tuhannya di sini, di tanah ini. Layakkah kita, manusia biasa ini, yang tak pernah mengaku dirinya hina di hadapan Allah, sujud di tempat manusia agung sujud. Kalau singgah sana raja pun kita tak berani duduk, inikan pula tempat sujud nabi? Dan di sini juga kau berdoalah, Allah akan makbulkan. Dan Raudhah inilah juga merupakan salah satu dari taman syurga. Ada juga yang mengatakan inilah pintu syurga.

2. Pergunungan Uhud - Jika ditanya tempat mana yang kau cintai, jawablah pergunungan Uhud. Kerana apa? Kerana Nabi kita juga mencintai kawasan ini.

3. Debu Kota Madinah - Setiap debu di kota Madinah adalah ubat. Suatu hari baginda menziarahi perkampungan Bani Haris. Pada ketika itu, sebahagian masyarakat disitu diserang demam. Lalu Nabi bertanya,"Bagaimana keadaan kamu?" Mereka menjawab'"Kami diserang demam". Lalu Baginda bersabda,"Kamu tinggal berhampiran kampung Shuib dan ambillah debu dari tanahnya dan masukkan ke dalam air, kemudian tiup."Lalu mereka buat seperti apa yang disuruh dan Nabi memerintahkan supaya mereka yakin dengan apa yang dilakukan dan hanya Allah yang dapat menolong. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda lagi, dari Saad bin Abu Waqas,"Aku bersumpah demi Dia (Allah) yang dalam tangannya nyawaku, bahawa debu-debu adinah adalah penyembuh bagi setiap jenis penyakit."

4. Perkuburan Baqi' - Aku rela mati dan ditanam di perkuburan Baqi'. Kerana telah dijanjikan bahawa semua ahli di perkuburan Baqi' ini dijanjikan syurga Allah. Ramai sahabt Nabi ditanam di sini. Antaranya adalah Saidina Usman, Abd Rahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqas. Kaum keluarga Nabi pun disemadikan di sini.

Tetiba teringat kata-kata ustaz yang mengiringi kami, "Aku ke sini bukan atas kehendak diri, tapi adalah kerana dijemput menjadi tetamu Allah dan RasulNya."

Memang ada benarnya, kalau tak dijemput, tak mungkin kita akan sampai ke Tanah Haram. Apa yang ada di Arab Saudi? Dah lah tanahnya kontang, bangsanya tak peramah, air lgi mahal daripada minyak. Hanya hatinya yang ditiup keimanan sahaja akan sudi ke sini. Bukan untuk melihat kemajuan dan ketamadunan Arab, tetapi untuk mengejar syurga Allah. Sebab itulah kita ini dipanggil tetamu Allah.

Program kami hari ini adalah ke Al-Ula. ini adalah merupakan tapak arkeologi. Macam Lembah Bujanglah. Kami bertolak pagi dan sampai di sana lebih kurang tengah hari. Catatan menarik hari ini adalah kunjungan kami ke Masjid Nazim. Di sini lah setelah nabi menang dalam perang Tabuk, menjadi tempat istirehat Nabi Muhammad s.a.w. Sekonyong-konyong datang lah nenek tua seraya berkata kepada Nabi yang kita cintai, supaya memakan hidangan sup kambing buatannya. Memang terangkat beb, katanya :-) Sup yang sebenarnya diisi racun itu telah diketahui Nabi dan Nabi selamat dari terkena racunnya. Tulang temulang kambing itu diletakkan di mimbar masjid. Tapi sekarang sudah tidak kelihatan kerana telah ditanam supaya tiada orang mengambilnya. Perjalanan kami kebetulan berbetulan dengan jadual dari jemaah pakej lain, Andalusia dan Rayhar. Hotel tempat menginap dan makan pun sama. Maka bertambah meriahlah kami. Hasil sembang-menyembang mak aku dengan orang Andalusia, tahulah aku ada juga seorang student UIA Gombak yang ikut Umrah ini dengan keluarganya. Orang Kelantan, tu yang mak aku sembang banyak tu.
Teringat semasa perjalanan, tanah Arab ini memang benar-benar tandus. Kalau di Malaysia, kita naik bas, lalu PLUS, makanya kiri kanan penuh dengan tumbuh-tumbuhan menghijau. Lain ceritanya di sini, kiri kanan pasir dan tanah kering keras. Bukit togel, tumbuhan yang ada pun renek-renek belaka. Hijau tak sesegar di Malaysia. Alhamdulillah, Walau pun Malaysia bukan tanah haram, tetapi kita dikurniakan air yang mencurah-curah banyaknya. Tumbuhan segar-segar belaka. Udara yang lembap. Pendek kata permailah. Jom lawati Malaysia, banyak untuk dilawati, banyak lagi untuk diterokai. Zoom Malaysia. hehehehe..

Esok perjalanan kami ke Madain Salleh, kota tinggalan Nabi Salleh. Sementara menunggu esok, kami bersantai di hotel, menikmati makanan India Selatan, dari tukang masak yang memang kelahiran sana.


Inilah Masjid Nazim, tempat baginda diracun..


Hotel di Al-Ula, UTAS, Andalusia, dan Rayhar tinggal di sini


Di satu kawasan di Al-Ula, belakang tu semua jemaah Malaysia


kiri: tourist guide, kanan: adik dari Andalusia, tengah: ???


Bangunan sebelah Masjid Nazim. Tengok pokok tu, bukti tanah di sini tandus, kekurangan air.


Sedap makan bang...

Altantuya (sebut dalam hati)

Mula-mula sekali, patik mohon sembah derhaka jika entri ini berbaur politik. Mahkamah mendapati dua anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah membunuh Altantuya.
Jika hakim tersalah menghukum, maka dia hanya mendapat satu pahala. Tetapi jika hukumannya betul, dia mendapat dua pahala. Jika hakim tersalah hukum, hanya pesalah sebenar yang mengetahui yang dirinya bersalah. Maka pesalah ini akan terus membisu dan sentiasa menjunjung tinggi keadilan yang baru dia hadapi ini. Bagi pesalah yang palsu ini, dia akan terus mencemuh keadilan yang baru sahaja dia hadapi.
Ketahuilah, Allah itu Maha Menghakimi. Allah itu Maha Adil. Hukumannya merentasi waktu dan tempat. Bala tenteranya sekalian makhluk di muka bumi, yang melata, yang berjalan, dan yang berterbangan. Mereka sesekali tidak akan sembah derhaka kepada Allah. Dan jika Allah berkata "Kun Fayakun", maka terjadilah segala ketentuannya. Jika dikehendaki yang bersalah itu menerima hukuman, maka mereka tidak akan terlepas hatta seinci pun.
Itu sahaja bebelan aku kali ini. Pesalah akan dihukum, pasti, dan yakin, dan masa itu akan tiba.

p/s: apa motif dua anggota UTK itu membunuh ye?

Hari 2

Pagi sebelum subuh, aku ke masjid lagi. Qiamulail. Keadaannya sama seperti waktu aku tunaikan solat Maghrib dan Isyak semalam. Kesimpulannya, masjid ini tak pernah mati. Di satu sudut, aku terpandang seorang lelaki menangis dalam sembahyangnya. Di Malaysia jarang kita jumpa kan? Benarlah, ini Tanah Suci, kalau kita ikhlas ke sini, hati ini akan sentiasa ingatkan Allah. Terkenang betapa besarnya dosa lalu, ke syurga atau ke nerakakah kita. Aku juga ingin seperti lelaki itu. aku mahu air mata ini menghapus segala kesalahan dan dosa aku yang telah dilakukan.
Aku solat tahajud. Dalam diri yang sebegini, di dalam masjid kedua suci di sisi Islam ini, aku mencari erti kekhusyukan. Pencarian yang tak pernah aku temukan selama aku hidup. Aku mencari kisah-kisah silam ku, yang dipalit dosa, aku mohon agar diampunkan. Dalam sujud juga, aku mengumpul segala hajat, minta diperkenan. Minta diampunkan segala dosa, dan minta juga kaum keluargaku sentiasa dalam rahmatmu. Doa dari rakan-rakan pun aku sembahkan sekali.
Sambil menunggu waktu subuh, seperti yang sepatutnya, aku mengaji Al-Quran. Aku target aku sempat habis 30 juzuk selama waktu umrah ini. InsyaAllah.
Apabila haus, aku minum air zamzam. Minum sepuas-puasnya. AIR ZAMZAM ADALAH APA YANG KITA HAJATKAN SEMASA MEMINUMNYA. Berdoalah sebanyak-banyaknya semasa minum air zamzam itu. Tak susah nak cari air zamzam di masjid Nabawi. Di tiang-tiang masjid ada diletakkan setong air zamzam. Ada sejuk, ada yang biasa. (pernah pegi masjid zahir kat Alor Setar? mcm tu la rupa tongnya.)
Waktu subuh hampir tiba. Azan dilaungkan kali pertama mengejutkan warga kota Madinah. Azan kedua pula setengah@sejam selepas azan pertama.(tak ingat la). Orang memang ramai. Macam nak sembahyang raya gamaknya. Aku kat saf yang ke berapa puluh entah, pun berhimpit jugak. macam manalah saf pertama ye? Bacaan imam memang sedap. Rakaat pertama surah AS-Sajadah. Orang lain sujud sejadah aku pulak rukuk. Bukan aku seorang, ramai jugak yang kelilinga aku tu pun rukuk. Sebelah kiri aku, pak Arab solat guna kerusi roda, tak boleh nak bezakan dia rukuk ke sujud. Tiba-tiba dia tarik tangan aku, suruh sujud. Barulah sedar, aku ni salah. (Ni semua berpunca daripada kata-kata abang bilik aku, dia yang pernah buat haji kata, memang imam sini baca surah Sajadah, tak tak semestinya. Kerana kata-kata itulah, aku ingatkan hari ini imam tu tak buat sujud sejadah.)
Habis solat subuh. Alhamdulillah, inilah kali pertama aku solat fardhu jemaah di sini. Bayangkan, sekali solat subuh jemaah di sini, sama dengan 1000 kali aku solat subuh jemaah di tempat lain. Lepas solat tiada zikir, hanya zikir sendiri-sendiri saja. Macam masjid UIA Gombak juga lah. Lepas zikir cepat-cepat balik. Tak tahan nak buang air. Bukan hari ini saja, sepanjang masa kat Madinah asyik nk buang air je lepas minum air zamzam. Bukan aku seorang, ramai lagi jemaah lain yang cerita benda yang sama. Mungkin nak cuci penyakit kot, seorang jemaah itu kata. Mungkin ada benarnya, cuba kita terjemah doa minum air zamzam: "Ya Allah, aku mohon padamu (dengan meminum air zamzam ini), ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan semoga air zamzam menjadi ubat segala penyakit."
program oleh UTAS hari ini adalah lawatan sekitar Madinah. Kami teruskan perjalanan ke masjid Quba'. Ini adalah masjid ke-4 suci selepas Masjid Haram, Masjid Nabi, dan Masjid Aqsa. Yang ke-5 masjid apa? Masjid Kristal lah. :-) Gurau je lah. 4 saja masjid yang dianggap suci dalam Islam. Satu solat di masjid ini bersamaan dengan menunaikan satu umrah. Tapi dengan satu syarat, air sembahyang harus kita ambil dari tempat kediaman, barulah dikira pahala satu umrah. Maha Besar Allah, sebegini mudah Dia beri laluan untuk kita memperoleh Sebesar pahala. Cuma kita sahaja yang butakan hati tak mahu menerimanya. Sesungguhnya Allah memang Maha Pemurah.
Kemudian dibawa menaiki bas ke sekitar kota Madinah. Ya, Madinah lebih subur dari Kota Mekah. Dan Nabi kita pun menyukai Kota Madinah ini. Di Madinah ini, segala debunya adalah ubat. Pernah diriwayatkan, Nabi pernah merawat sahabatnya dengan menggunakan debu Madinah. Dengan kuasa Allah, penyakit sahabat itu pun sembuh. Subhanallah, lihatlah kurniaan Allah kepada kota Madinah ini. Mutawwif kami beritahu, ramai jemaah haji Malaysia yang bawa pulang air rendaman debu Madinah untuk dibuat ubat. Debu tak boleh dibawa keluar, kerana apa sahaja yang di tanah suci ini tak boleh dibawa ke tanah halal. Kami terus ke ladang kurma di sini. Dan semestinya, kurma nabi yang aku dan ibu ku cari. Diriwayatkan, kalau kita makan 7 biji kurma Nabi pada waktu pagi, kita akan terhindar dari sihir sehingga ke petang. Subhanallah.. Banyak sungguh rahmat dan kebaikan yang Allah turunkan ke atas kota yang Nabi cintai ini. Dan mengambil berkat debu Madinah, ramai jemaah yang beli apa saja hasil tanah dari bumi Madinah ini. Bukan saja kurma Nabi, kacang cerdik, badam dan adalah satu dua jenis makanan lagi. Buat pengetahuan, kurma Nabi @ 'ajwah, susah nak kita dapati di Malaysia, dan kalau ada pun, harganya boleh mencecah RM100 sekilo. Di Madinah pun, sekilo aku beli RM70.
Seterusnya kami ke pergunungan Uhud, diriwayatkan juga, Pergunungan inilah yang paling Nabi cintai. Dan seharusnya jugalah, kita sebagai umatnya mencintai pergunungan ini juga(rujukan).
Di sini juga terdapat maqam sahabat Nabi yang juga pak saudara Nabi, Saidina Hamzah. Beliau telah terkorban semasa perang Uhud. Akibat kebencian yang terlalu sangat terhadap Saidina Hamzah, Hindun telah membelah dada beliau setelah wafat dan menjamahnya. Ini semua kerana Saidina Hamzah telah membunuh bapanya dahulu. (rujukan). Pernah satu ketika, kawasan itu dilanda banjir besar, sehingga kubur Saidina Hamzah terbongkar, dan mayatnya terkeluar. Masyarakat Madinah ketika itu, keluar melihat mayatnya dan terkejut. Mayat Saidina Hamzah masih segar seperti orang baru mati, darahnya masih merah pekat, dan tiada tanda mayatnya reput. Kemudian masyarakat Madinah menanamnya semula. Dan tempat itu telah dipagar. Tidak inginkah kita bercita-cita syahid seperti Saidina Hamzah. Ayuh, jom jihad!
Selepas itu kami ke pasar kurma terbesar di Madinah. Kurma melambak-lambak. Pilih bang pilih. Kemudian kami pulang semula ke hotel. Ke masjid Nabawi untuk solat fardhu, berzikir, membaca Al-Quran, minum air zamzam dan pulang ke hotel untuk buang air. :-)


Masjid Quba dari luar


Ampunkanlah dosa dan perkenankanlah segala hajat jejaka ini. Amin


Kunjungan ke Masjid Quba tak putus.



Ladang kurma di Madinah


Beli apa tu makcik?


Yang berpagar tu kubur Saidina Hamzah, di belakangnya pergunungan Uhud a.k.a. pergunungan syurga.


Beri salam di kawasan perkuburan. Itu tourist guide kami.


Pergunungan Uhud dari bukit berdekatan.

Rabu, 8 April 2009

Tidurlah

Tidurlah wahai wakil rakyat baharu. Tidur jugalah pekerja-pekerja mu yang bekerja keras. Tidurlah dengan kesyukuran kemenanganmu.

YB, Esok bangun pagi, 1001 masalah kau akan hadapi, 1001 janji kau kena tunaikan, 1001 keputusan kau harus tentukan. Jangan hari ini kau kata, esok kau lupa kota.

Buat PR, perjalanan itu masih jauh. Islam masih tidak lagi di atas. Ingat, selagi Islam tidak di atas, selagi itulah perjuangan KITA belum selesai. Berlapanglah, kerana Islam itu adil untuk semua.

Buat BN, sedarlah dari mimpimu. Sudah terlalu lama kau tidur. Dikejut dengan PRU-12 pun tidak sedar, dikejut dengan pemilihan UMNO pun tidak sedar, dan kalau loceng pilihan raya ini pun kau tidak sedar, silalah ke tempat sepatutnya.

Ampun, patik mohon sembah derhaka.

Selamat malam.

Selasa, 7 April 2009

Gambar untuk 'Hari 1'


ma.


abah.


Taklimat UTAS


Masjid Nabawi

Hari 1

Tidur di hotel Empress semalaman sebelum ke KLIA. Jam 12tgh hari berada di KLIA disambut petugas UTAS. Selesaikan urusan bagasi dan menunggu taklimat. jam 1 ptg ke balai berlepas, dan selepas solat terus ke pintu pelepasan. 2.30ptg ke dalam kapal terbang. mak oi.. orang arab la pramugarinya. orang negara jiran pun ada jgk.
begitulah serba ringkas perjalanan permulaan. di atas kapal terbang masing2 mula mencari tempat duduk. dan tawar-menawar tempat pun bermula. masing2 kalau boleh nak duduk dengan ahli keluarga masing. maklumlah, tiket yang kami dapat, tempat duduknya bersepah. nasib baik tempat sebelah mak aku kosong, aku pun teruslah membujur lalu melintang patah ke situ.
perjalanan memakan masa hampir 10 jam, kerana kami diberitahu kapal terbang ini akan mendarat di Riyadh (ibu kota Arab Saudi) dahulu. ok lah, nak mendarat 10 kali pun tak apa, asalkan aku selamat sampai.
duduk, diam dan dengkur. itu je yang aku buat. sesekali pramugari lalu menghidang makanan. makanan Arab tetapi diubah suai sedikit. agaknya jarak yang jauh dengan muka bumi menjadi penyebab ubahsuai itu kot (aku main2 je ni). aku makan sajalah. malas nak buat aksi mengurat pramugari, sebab aku tau, kalau dari awal lagi hati tak bersih, susah lah nak sental hati kau yang kotor kat tanah haram itu nanti.
perjalanan macam biasa, aku mula mengubah mind setting, "aku nak pegi wat umrah ni, mestilah kena bersihkan hati ini sikit2. paling kurang pun berzikir ke." lalu aku pun membiarkan fikiran ku dikawal iman. ini juga satu percubaan yang jarang2 aku lakukan semasa di Malaysia. ya, kalau kau sudah menjadi tetamuNya, sedikit sebanyak hati kita akan dilembutkan. Mengingat dosa yang dilakukan, tentu saja boleh meruntun kerasnya hati itu. dan... air mata mengalir lesu. aku berdoa, agar perjalanan ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. beribu sudah dihabiskan, tapi bukan itu tanda aras kesungguhan aku untuk mendapat redhaMu. Malah ia lebih lagi ya Allah. Aku mahu kedatangan ini adalah yang tidak sia-sia, pulang dengan bangga. Bangga menjadi tetamu Allah yang pulang dengan ssepenuhnya keampunan dan rahmat. biar hapus semua sifat buruk, biar sirna terus nafsu maksiat dihati, dan biar lestari keberkatan Mu ya Allah.
Seperti dijadualkan, kapal terbang transit di Riyadh. Mula-mula katanya penumpang dari KL tidak payah turun, tetapi arahan berubah. Semua sekali turun. Maka gelabahlah aku, tapi macho itu perlu dikawal. aku berjalan keluar dengan yakin, sambil menemani ibuku. Keampunan dan keredhaan Allah ini mahal sebenarnya. Masakan kau boleh duduk senang sebagai orang beriman tanpa diuji sedikit pun. Padahal itu di Riyadh, aku sudah mula diuji kesabaran. Di Malaysia aku bangga kalau orang kata aku anak yang baik sebab teman emak buat umrah. Nah, aku pula yang tak sabar sekarang. Apa yang mak aku kata semua aku rasa tak puas hati. Dia bertanya pun masalah bagi aku. Senang kata semua tak kenalah.
Memanglah di lapangan terbang Riyadh itu susah sedikit. Tak ramai pekerjanya yang fasih Inggeris. Kami cuma nak diperiksa pasport dan tiket saja. Mak aku cuma terlupa mana dia letak semua itu, yang aku baran tak pasal-pasal kenapa. Nasib baiklah iman dapat kukawal. Perlahan-lahan nafsu amarah kutawan. Akhirnya jumpa juga barang-barang mak aku itu. Tak hilang ke mana pun, ada dalam beg sangkut itu juga.
Perjalanan disambung. Kurang lebih setengah jam sampai juga ke Tanah Suci Kota Madinah. Alhamdulillah, wakil UTAS sambut kami. naik bas kemudian ke hotel Bahaudin. Aku dapat sebilik 3 orang. mak aku sebilik 3 orang. Bilik kami saling menyebelah. Maghrib dan Isyak belum tunaikan lagi. Selepas makan, aku, mak aku, dan 2 lagi jemaah ke Masjid Nabi.
Ya Allah, Tuhan Maha berkuasa, akhirnya hamba mu yang lemah ini sampai juga ke sini. Dalam kekusyukan yang menebal ini, aku berjalan yakin ke pintu masjid. Tiba-tiba kena tahan, rupanya itu pintu perempuan. Salah pintu da.. Aku pun cari la mana pintu masuk lelaki. Lepas solat Isyak banyak pintu yang ditutup. Nampak gayanya macam tujuan untuk pembersihan. Hampir satu masjid aku pusing, manalah pintu untuk lelaki ini. Risau juga aku, kalau-kalau aku tak jumpa pintu, takut kedatangan aku tak diterima. Tak apa, ikut je mana-mana org Malaysia, insyaallah jumpa. Nasib baik jumpa.. Alhamdulillah, kedatangan aku menjadi tetamuMu diterima.
Kali pertama solat di Masjid Nabi, satu solat di sini, 1000 kali lebih baik dari mana-mana masjid, sekalipun masjid Kristal :-) . Kali pertama jugalah aku solat Maghrib dan Isyak di sini. Mengaji, minum air zamzam. Dan aku lihat keindahan masjid ini. (Keindahan masjid ini cerita dalam entri lain ya). Tak banyak amal aku lakukan, kunjungan pertama kali, blurr dengan keadaan sekeliling.
Sesudah itu pulang ke hotel dan tidur. Insyaallah sebelum subuh aku sampai lagi.

Ahad, 5 April 2009

Sisipan

Kisah ke Umrah bakal menyusul, cuma sekarang ini semua dalam mood pilihan raya.

DS Najib orang ke-6

Siapa pula orang ke -7. Cepat betul orang-orang Malaysia nak tahu. Sampai ada yang buat teori baru. Sudah habis teori R.A.H.M.A.N., ada pulak teori A.N.W.A.R. A-Anwar, N-Nizar?

Yang penting, Islam terus di atas. Selagi Islam di atas, selagi itu, semua penganut agama selain Islam, dan semua bangsa selain Melayu akan hidup dihormati dan Selamat (= aman+makmur+damai+harmoni+sejahtera dan yang seerti).

Buktinya, kau bacalah sendiri kisah Nabi Muhammad dan khalifah-khalifah agung Islam: Abu Bakar, Umar Al-khatab, Usman, Ali, Umar Abd Aziz (nota: model Lim Guan Eng), Harun Ar-Rashid, dan ramai lagi yang tak tersebut.