Khamis, 9 April 2009

Hari 2

Pagi sebelum subuh, aku ke masjid lagi. Qiamulail. Keadaannya sama seperti waktu aku tunaikan solat Maghrib dan Isyak semalam. Kesimpulannya, masjid ini tak pernah mati. Di satu sudut, aku terpandang seorang lelaki menangis dalam sembahyangnya. Di Malaysia jarang kita jumpa kan? Benarlah, ini Tanah Suci, kalau kita ikhlas ke sini, hati ini akan sentiasa ingatkan Allah. Terkenang betapa besarnya dosa lalu, ke syurga atau ke nerakakah kita. Aku juga ingin seperti lelaki itu. aku mahu air mata ini menghapus segala kesalahan dan dosa aku yang telah dilakukan.
Aku solat tahajud. Dalam diri yang sebegini, di dalam masjid kedua suci di sisi Islam ini, aku mencari erti kekhusyukan. Pencarian yang tak pernah aku temukan selama aku hidup. Aku mencari kisah-kisah silam ku, yang dipalit dosa, aku mohon agar diampunkan. Dalam sujud juga, aku mengumpul segala hajat, minta diperkenan. Minta diampunkan segala dosa, dan minta juga kaum keluargaku sentiasa dalam rahmatmu. Doa dari rakan-rakan pun aku sembahkan sekali.
Sambil menunggu waktu subuh, seperti yang sepatutnya, aku mengaji Al-Quran. Aku target aku sempat habis 30 juzuk selama waktu umrah ini. InsyaAllah.
Apabila haus, aku minum air zamzam. Minum sepuas-puasnya. AIR ZAMZAM ADALAH APA YANG KITA HAJATKAN SEMASA MEMINUMNYA. Berdoalah sebanyak-banyaknya semasa minum air zamzam itu. Tak susah nak cari air zamzam di masjid Nabawi. Di tiang-tiang masjid ada diletakkan setong air zamzam. Ada sejuk, ada yang biasa. (pernah pegi masjid zahir kat Alor Setar? mcm tu la rupa tongnya.)
Waktu subuh hampir tiba. Azan dilaungkan kali pertama mengejutkan warga kota Madinah. Azan kedua pula setengah@sejam selepas azan pertama.(tak ingat la). Orang memang ramai. Macam nak sembahyang raya gamaknya. Aku kat saf yang ke berapa puluh entah, pun berhimpit jugak. macam manalah saf pertama ye? Bacaan imam memang sedap. Rakaat pertama surah AS-Sajadah. Orang lain sujud sejadah aku pulak rukuk. Bukan aku seorang, ramai jugak yang kelilinga aku tu pun rukuk. Sebelah kiri aku, pak Arab solat guna kerusi roda, tak boleh nak bezakan dia rukuk ke sujud. Tiba-tiba dia tarik tangan aku, suruh sujud. Barulah sedar, aku ni salah. (Ni semua berpunca daripada kata-kata abang bilik aku, dia yang pernah buat haji kata, memang imam sini baca surah Sajadah, tak tak semestinya. Kerana kata-kata itulah, aku ingatkan hari ini imam tu tak buat sujud sejadah.)
Habis solat subuh. Alhamdulillah, inilah kali pertama aku solat fardhu jemaah di sini. Bayangkan, sekali solat subuh jemaah di sini, sama dengan 1000 kali aku solat subuh jemaah di tempat lain. Lepas solat tiada zikir, hanya zikir sendiri-sendiri saja. Macam masjid UIA Gombak juga lah. Lepas zikir cepat-cepat balik. Tak tahan nak buang air. Bukan hari ini saja, sepanjang masa kat Madinah asyik nk buang air je lepas minum air zamzam. Bukan aku seorang, ramai lagi jemaah lain yang cerita benda yang sama. Mungkin nak cuci penyakit kot, seorang jemaah itu kata. Mungkin ada benarnya, cuba kita terjemah doa minum air zamzam: "Ya Allah, aku mohon padamu (dengan meminum air zamzam ini), ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan semoga air zamzam menjadi ubat segala penyakit."
program oleh UTAS hari ini adalah lawatan sekitar Madinah. Kami teruskan perjalanan ke masjid Quba'. Ini adalah masjid ke-4 suci selepas Masjid Haram, Masjid Nabi, dan Masjid Aqsa. Yang ke-5 masjid apa? Masjid Kristal lah. :-) Gurau je lah. 4 saja masjid yang dianggap suci dalam Islam. Satu solat di masjid ini bersamaan dengan menunaikan satu umrah. Tapi dengan satu syarat, air sembahyang harus kita ambil dari tempat kediaman, barulah dikira pahala satu umrah. Maha Besar Allah, sebegini mudah Dia beri laluan untuk kita memperoleh Sebesar pahala. Cuma kita sahaja yang butakan hati tak mahu menerimanya. Sesungguhnya Allah memang Maha Pemurah.
Kemudian dibawa menaiki bas ke sekitar kota Madinah. Ya, Madinah lebih subur dari Kota Mekah. Dan Nabi kita pun menyukai Kota Madinah ini. Di Madinah ini, segala debunya adalah ubat. Pernah diriwayatkan, Nabi pernah merawat sahabatnya dengan menggunakan debu Madinah. Dengan kuasa Allah, penyakit sahabat itu pun sembuh. Subhanallah, lihatlah kurniaan Allah kepada kota Madinah ini. Mutawwif kami beritahu, ramai jemaah haji Malaysia yang bawa pulang air rendaman debu Madinah untuk dibuat ubat. Debu tak boleh dibawa keluar, kerana apa sahaja yang di tanah suci ini tak boleh dibawa ke tanah halal. Kami terus ke ladang kurma di sini. Dan semestinya, kurma nabi yang aku dan ibu ku cari. Diriwayatkan, kalau kita makan 7 biji kurma Nabi pada waktu pagi, kita akan terhindar dari sihir sehingga ke petang. Subhanallah.. Banyak sungguh rahmat dan kebaikan yang Allah turunkan ke atas kota yang Nabi cintai ini. Dan mengambil berkat debu Madinah, ramai jemaah yang beli apa saja hasil tanah dari bumi Madinah ini. Bukan saja kurma Nabi, kacang cerdik, badam dan adalah satu dua jenis makanan lagi. Buat pengetahuan, kurma Nabi @ 'ajwah, susah nak kita dapati di Malaysia, dan kalau ada pun, harganya boleh mencecah RM100 sekilo. Di Madinah pun, sekilo aku beli RM70.
Seterusnya kami ke pergunungan Uhud, diriwayatkan juga, Pergunungan inilah yang paling Nabi cintai. Dan seharusnya jugalah, kita sebagai umatnya mencintai pergunungan ini juga(rujukan).
Di sini juga terdapat maqam sahabat Nabi yang juga pak saudara Nabi, Saidina Hamzah. Beliau telah terkorban semasa perang Uhud. Akibat kebencian yang terlalu sangat terhadap Saidina Hamzah, Hindun telah membelah dada beliau setelah wafat dan menjamahnya. Ini semua kerana Saidina Hamzah telah membunuh bapanya dahulu. (rujukan). Pernah satu ketika, kawasan itu dilanda banjir besar, sehingga kubur Saidina Hamzah terbongkar, dan mayatnya terkeluar. Masyarakat Madinah ketika itu, keluar melihat mayatnya dan terkejut. Mayat Saidina Hamzah masih segar seperti orang baru mati, darahnya masih merah pekat, dan tiada tanda mayatnya reput. Kemudian masyarakat Madinah menanamnya semula. Dan tempat itu telah dipagar. Tidak inginkah kita bercita-cita syahid seperti Saidina Hamzah. Ayuh, jom jihad!
Selepas itu kami ke pasar kurma terbesar di Madinah. Kurma melambak-lambak. Pilih bang pilih. Kemudian kami pulang semula ke hotel. Ke masjid Nabawi untuk solat fardhu, berzikir, membaca Al-Quran, minum air zamzam dan pulang ke hotel untuk buang air. :-)


Masjid Quba dari luar


Ampunkanlah dosa dan perkenankanlah segala hajat jejaka ini. Amin


Kunjungan ke Masjid Quba tak putus.



Ladang kurma di Madinah


Beli apa tu makcik?


Yang berpagar tu kubur Saidina Hamzah, di belakangnya pergunungan Uhud a.k.a. pergunungan syurga.


Beri salam di kawasan perkuburan. Itu tourist guide kami.


Pergunungan Uhud dari bukit berdekatan.

1 ulasan:

nabihah berkata...

alhamdulillah... mengalir gak air mata bila baca entry ni... maknanya ada 1 titik lembut lagi dalam ati aku ni hu2