Selasa, 3 Ogos 2010

Aku tuli pada suaranya tapi mendengar pada wajahnya

(Jika tak diberi keazaman pada hati ini untuk menulis, maka banyaklah khazanah pemikiran aku yang tak tercatat di ruang serba kurang ini)


Satu

Minggu lepas aku ke Taman Negara Jerantut. Buat pengetahuan, banyak lagi tempat yang digazet sebagai Taman Negara selain di Jerantut (tempat-tempat lain itu cari sendiri lah ya). Kalau diceritakan satu persatu perjalanan percutian itu, maka tiada apa yang berbezanya dengan beribu, malah mungkin berjuta pengunjung yang telah ke sana. Mungkin cerita mereka lebih hebat dan menarik.
Kami ke hutan, panjat bukit, berjalan di kanopi yang tinggi 45 meter, naik bot meredah sungai, dan bertemu orang asli. Semuanya biasa dan macam kebiasaan yang biasa orang ke taman negara. Aku sempat ke penempatan orang asli. Bersepah-sepah di tepi Sungai Pahang. Suku Bateq, leluhur dari Afrika, penduduk asal hutan di taman negara dan hidup berpindah-randah. Memburu menggunakan sumpit, tiada kepercayaan agama dan mempunyai sedikit adat dan kepercayaan yang diwarisi turun temurun. Mereka juga mempunyai bangsa sendiri, yang sedikit sebanyak mempunyai pengaruh Bahasa Melayu.
Mereka tinggal berkelompok, dalam 5-7 keluarga satu kelompok. Aku tak pasti kelompok mana yang aku pergi. Ramai yang pandai cakap Melayu. mereka selesa dengan kehidupan macam itu. Rasanya tak jauh beza dengan kehidupan datuk nenek, moyang, bapa kepada moyang, dan ke atasnya. Tanpa duit pun mereka boleh hidup. Aku pandang wajah mereka, dengar mereka bercakap, bahasa yang aku tak faham, tetapi gambaran wajahnya aku mengerti. Mereka kekosongan agama. Maka soalannya, salah siapa mereka tidak mengenal Islam? Kita atau mereka? Tak tahu lah sudah berapa lama kita (orang yang beragama Islam) berhubung dengan mereka, tapi ajaran agama tak sampai lagi kepada mereka. Seronokkah kita biarkan mereka dalam keadaan begitu? Kita pelihara ke'asli'an mereka semata-mata untuk menjadi tatapan pengunjung? Ada perkara yang kita kena pelihara sebagai khazanah berharga, ada perkara yang kita kena ubah sejajar kehendak agama. Entahlah, duit cukai sudah disalurkan ke Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama setiap negeri sudah ada, pertubuhan dakwah banyak, sampai bercakaran sesama sendiri, aku yang menatap mereka hanya berhubung melalui doa, semoga sinar Islam sampai kepada mereka. Dan harapnya mereka mendengar sesuatu pada wajahku ini. Semoga sekali lagi aku ke sana, mereka sudah menjadi saudara seagama aku.

Dua

Hari kedua kami singgah di rumah keluarga angkat salah seorang dari kami. Rumah kampung di pinggir taman negara. Singgah untuk makan tengah hari. Oh, lupa nak beritahu, kami pergi ber-14, 5 perempuan dan yang lain itu lelaki. Kami datang terus tuan rumah bergegas menyiapkan hidangan. Macam adat ketimuran yang biasa, orang perempuan akan ke dapur untuk menolong tuan rumah, dan macam biasa tuan rumah akan berbasa-basi berkata tak perlu susah-susah. Indah betul adat ini, kalau dilihat dari satu sudut, tersemat nilai-nilai ikhlas, mesra, dan menghormati yang tinggi.
Maaf kalau bahagian ini menyebabkan orang terasa, tapi selagi aku tak tujukan secara spesifik, rasanya tiada siapa-siapa boleh membuat andaian sendiri. Ada jugalah beberapa perempuan yang janggal aku tengok. Tiada masalahnya bagi aku kalau mereka tidak membantu tuan rumah di dapur, cuma kita dapat tahu ada kekurangan pada mereka. Apabila kawan-kawan mereka menolong di dapur, mereka masih di situ. Aku kurang dengar apa yang mereka sembang bersama, tapi wajah mereka menceritakan mereka kurang biasa dengan suasana itu. Rupanya untuk menjadi dewasa ini, banyak yang kita perlu belajar. Lebih-lebih lagi hidup di zaman 'facebook dan internet' ini.
Teringat kembali, masa kecil dahulu, kalau hendak pergi ke rumah orang memang antara perkara yang paling menakutkan sekali. Banyak 'do & don't' yang mak ayah aku bagitahu. Kalau silap sikit, sudah pasti lepas keluar rumah ayah akan marah, dan bila besar sikit dapat teguran. Alhamdulillah aku sempat belajar semua itu dari orang tua. Mereka mungkin biasa dan tidak kekok berurusan dengan cara kehidupan kota, tetapi mungkin ada beberapa nilai adat ketimuran yang mereka terlupakan.
Kenapa perkara sekecil ini pun aku cerita? Haha... Di rumah aku ini perkara besar. menghormati tetamu walau macam mana (penat, letih, malas) sekalipun keadaan kita, dan menghormati tuan rumah walau macam mana (penat, letih, malas) sekalipun keadaannya adalah perkara yang dititik berat dalam rumah aku.


Bila aku sudah sebegini besar, dan berjauhan dari keluarga, jika ada tersalah adab, maka sudi-sudilah menegur.

1 ulasan:

Ayuz berkata...

>Like<