Isnin, 9 Ogos 2010

Kalah di Ambang Menang v1

Aku pasti menang. Ia di hadapanku. Menanti penuh sabar. Kemenangan idaman. Walaupun belum di garis akhir, tapi keputusannya sudah kutahu. Hakim masih membisu, tapi kutahu apa bicaranya. Dan hadiah itu menunggu. Hadiah itu memang idaman pelumba-pelumba. Satu hadiah yang diidamkan, menceriakan, mempesonakan, didamba dan yang paling penting membahagiakan. Kerana ia membahagiakan, jadi untuk sementara ini kita gelarkan hadiah itu 'B'. Hadiah B itu memang dikejar, dan pelumbaan ini wujud semata-mata hadiah B. Tanpa hadiah B perlumbaan ini adalah gila, sia-sia, dan tak akan wujud. Mereka berlumba, mereka itu termasuklah aku, semata-mata mengetahui yang hadiah itu adalah hadiah B. Kami tergila-gilakan hadiah B. Aku tidak tahu siapa mereka yang lain, dan dari mana mereka mula. Pastinya mereka mula lagi awal daripada aku, dan mungkin ada yang lewat daripada aku. Tidak mustahil, kerana perlumbaan untuk hadiah B initidak punya titik mula absolut. Dari mana-mana pun kau boleh mula, dan tak semestinya yang mula lewat atau yang mula awal akan menang. Ia nasib, dan juga skil.
Ketika jarak itu semakin dekat (dekat ialah satu ukuran relatif, jadi apa yang aku panggil dekat adalah justifikasi aku sendiri, ini absolut), aku tak inginkan kemenangan. Aku bukan tak mahukan hadiah B tapi aku tak inginkan kemenangan. Tetapi hadiah B hanya boleh diperolehi sekiranya kau menang. Tapi aku tak inginkan kemenangan ini. Ini konflik. Aku konflik ketika kemenangan itu aku genggam, hampir. Aku tetap tak mahukan kemenangan, tapi mahukan hadiah B. Hukum peraduan itu tetap, menang baru boleh dapat hadiah B. Hati aku juga tetap, tak mahu kemenangan. Ketetapan yang terpaksa. Menolak kemenangan, dan dengan ketenangan hati yang berat kusilangkan kaki, tersadung kaki dengan kaki sebelah, lalu jatuh. Bulat tekad-silang kaki-jatuh-tersungkur-kalah. Maka akan rasmi aku kalah, pelumba yang lain akan memintas, menang di atas kekalahanku.


Kalah yang dipilih, kemenangan yang ditolak.

(mungkin ada versi 2 (v2) jika aku ingin cantikkan bahasa cerita ini)

1 ulasan:

Ayuz berkata...

Truskn tk v2 plak:-)