Selasa, 18 Januari 2011

DOA

Pada hari ini dan masa ini, ada seorang hamba Allah sedang berjuang melawan kesakitan yang ditakdirkan kepadanya. Dia tidak meminta dan tidak pula berharap, ujian ini datang menyinggahi laman hidupnya sebagai kiriman Allah untuk menguji keimanannya. Mungkin juga untuk mengetuk pintu hatinya supaya lebih menilai hidup sebagai seorang Muslim. Dan sebagai seorang Muslim jugalah saya menitip perkhabaran ini kepada sesiapa sahaja yang tanpa sengaja atau dengan sengaja melewati blog ini. Rasanya usahlah kita bicara tentang siapa hamba Allah ini, kerana mungkin saja kalian tidak pernah bertemu dengannya dan mungkin juga si hamba Allah ini sendiri tidak ingin dirinya diperkenalkan di sini. Yang boleh saya katakan hamba Allah ini sedang berjuang menekuni ujian ini di hospital dan insyaallah akan dibedah pada bila-bila masa pada hari ini. Hamba Allah ini adalah seorang wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang sudah dewasa. Hidup secara sederhana di persekitaran desa dan bekerja sendiri. Pembedahan yang akan dilalui adalah di bahagian kepala akibat pendarahan. Harap dan pinta saya, semoga kita semua mendoakan agar si hamba Allah ini diberikan kesihatan sebelum, semasa dan selepas pembedahan. Kita doakan juga agar hidupnya selepas pembedahan ini (insyaallah kita doakan dia akan selamat dalam pembedahan ini), akan lebih disinari warna-warna ceria keimanan. Semoga hamba Allah ini memperoleh kesenangan dan kebahagiaan hidup berkeluarga di samping sentiasa mendekati Sang Pencipta.
Akhir kalam, saya mengatur kata-kata penuh takzim dan rendah diri, memohon sebaik budi dan ihsan tuan-tuan sekalian, semoga kita mendoakan kesihatan dan keimanan yang terpelihara untuk hamba Allah ini dan keluarganya.

Sekian saya mohon jasa sekalian. Terima kasih.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendoakan mak saya.. Semoga Allah membalas segala kebaikan kalian..

Alhamdulilah, Allah telah mengembalikan kesihatan mak saya dan saya harap kesempatan yang Allah berikan ini dapat digunakan dalam memperbaiki diri untuk menghadapi kehidupan yang seterusnya.. InsyAllah.

P/s: special terima kasih sy kpd muhd. Sazlie bin ibrahim sb buat entri nie dan bnyak doakn untuk mak sy. ~sss~