Rabu, 22 September 2010

Diri Ini

(Entri ini dah lama tersimpan, cuma baru hari ini publish selepas ditouch up sedikit sebanyak)

Memang sudah ditentukan bahawa kejadian aku adalah untuk aku sentiasa menginsafi siapa aku. Manusia dilahirkan sempurna, walaupun kesempurnaan hakiki itu tidak pernah dilihat manusia. Tiada cacat celanya aku, cuma selepas berada dalam persekitaran manusia, perbandingan dan perbezaan mula mengambil tempat, di situlah mula terdetik perasaan ini. Ya, kejadian fizikal (rupa paras <- perkataan ini lebih sesuai digunakan) aku tidaklah sehebat mereka yang lain. Siapa pernah bertemu aku? Tanyalah mereka, mereka memang arif. Tiada apa yang boleh dibangga dengan rupa paras ini. Aku tidak pernah dengar, dan rasanya susah untuk mendengar dan mengetahui bahawa akan ada orang yang suka aku disebabkan rupa paras ini. Berat nak kata, tapi aku gagahkan juga: gemuk, rendah, muka tak kacak, tangan calar sana sini, berparut, memang pakej lengkap untuk mengiyakan perasaan aku.
Insaf? Ya, baru-baru ini sahaja aku insaf. Sebab dahulu aku selalu bertanya, kenapa aku macam ini? Sesiapa saja kawan aku, atau orang yang aku kenal, jika aku bandingkan aku dengan dia, mesti ada sahaja kekurangan aku. Rasa rendah diri itu sentiasa ada bila berhadapan dengan orang. Tapi biasalah, buat apa kita hendak tunjukkan rasa rendah diri, simpan dalam hati seorang-seorang sudahlah. Itu dulu. Waktu hidung masih berhingus, dan tak pandai hendak lap. Sekarang aku suka berfikir semula, memang perasaan rendah diri itu memang ada, cuma aku mula sedar yang semua kejadian ini ada hikmahnya. Ayat klise kan? Tapi itulah yang memberi makna dan pengertian baru kepada apa yang aku fikirkan. Tak ternafi, kejadian aku tak sehebat dan seelok seperti yang lain. Aku pernah cuba bayangkan kalau aku ini sekacak Si Kacak, berbadan segak, tinggi, dan apa-apa lagi yang seerti dengannya. Mungkin masa itu aku lupa daratan, perleceh orang lain yang tak 'sesempurna' aku. Akhirnya tenggelam dan kebanggaan yang dicipta sendiri.
Alhamdulillah aku tidak sekacak Si Kacak. Ada ruang luas untuk aku menginsafi diri. Melihat kekurangan diri sekurang-kurangnya mengingatkan aku ada lagi yang lebih kurang dan malang daripada aku (ayat klise lagi..). Memang lah, walaupun dengan timbulnya sifat insaf ini rupa paras aku akan tetap macam ini, tetap tak cantik macam Si Kacak, itu aku sudah terima dan sebati kenyataan itu dalam hati ini. Cuma kelegaan itu timbul, kerana aku tidak kacak, jadi tertutup satu lubang untuk aku berbangga diri.
Yang kenal aku, ada yang kata aku pandai. Tetapi sebenarnya aku ini biasa-biasa sahaja. Tiada dalam satu periksa pun yang menunjukkan aku 'pandai sangat'. semua sama seperti orang-orang kebanyakan.
Oh, lupa nak cerita, sebagai lelaki aku juga rasa rendah diri kerana tidak pandai main bola dan bola keranjang. Dua permainan yang cukup cocok untuk melambangkan kelelakian. Cukup lengkap pakej 'kurang-lengkap' aku ini. Aku sentiasa bermonolog sendiri dalam hati, memikirkan kekurangan diri, tatkala kawan-kawan yang lain bercerita tentang perkara yang nampak kelelakian ini.
Hari ini aku memilih untuk menukilkannya di blog ini. Aku tak mahu ambil peduli ada pembaca atau tidak. Orang mahu baca atau tidak. Ini bukan sebuah perkongsian, apatah lagi iktibar yang boleh diambil pengajaran. Ini semata-mata nukilan di blog ini, untuk aku semakin menginsafi kejadian diri.
Ok, aku sekarang cuma ada pembolehubah hati, setelah pembolehubah rupa dan bakat telah dimalarkan. Semoga aku berjaya mengkacakkan hati ini, semoga kelihatan kacak di Hari Akhir nanti.

Amin, Ya Rabbal 'Alamin..

Selasa, 7 September 2010

Berbuka ll

[Tajuk] di Bulan Ramadan


Kisah 1

Semalam semasa berbuka di masjid, aku duduk sebelah 2 orang yang boleh dipanggil status ustaz. Ye la, bercakap pun guna 'ana-anta'. Yang seorang tu sibuk komen pasal peruntukan untuk Amil dikurangkan. Semasa azan Maghrib berkumandang pulak tu. Dia kata tak patut bahagian untuk Amil (si pengutip zakat fitrah) dikurangkan. Dah memang termaktub hak mereka wajib terima 1/8 dari jumlah zakat, kenapa pihak berwajib nak kurangkan pulak. Kalau ditukar ke peratus 1/8 = 12.5% tapi Amil dapat kurang. Dengan penuh emosi dia marah, kawan dia pun angguk setuju. Aku dalam hati dah mencarut besar-besar dah. nasib baik aku kawal juga hati ini, sebab baru je buka puasa, depan rezeki percuma pula itu.
Apa tak nya, berkobar-kobar pakcik tu pertahan hak Amil. Kalau buka cerita lain tak boleh ke? Kenapa tak pertahankan hak asnaf-asnaf (penerima-penerima zakat) yang lain? Orang miskin yang masih lagi tak sampai zakat kepadanya, pengurusan yang tak cekap sampai yang tak layak dapat pun dapat zakat, bagaimana mahu uruskan zakat seperti zaman Umar Abdul Aziz. Hei, Amil tu jumlahnya sedikit je lah. Tak sampai 10% pun daripada jumlah
1) orang miskin
2) orang fakir
3) orang muallaf
4) hamba yang ingin merdeka [dah tiada sekarang]
5) orang yang berhutang
6) orang fisabilillah
7) ibni sabil

[rujuk sini]

Ramai lagi orang yang lebih memerlukan. Amil itu rasanya semua dah berkereta, pegi masjid pun naik kereta, makanan mewah-mewah, rumah selesa dan macam-macam lagi lah. Orang fakir pula, apa pun dia tiada. Jangan harap nak makan Mekdonal, Kentaki, atau segala macam makanan pelik-pelik, nak cukupkan makan sehari-hari pun susah. Bagilah peluang mereka merasa duit zakat. Mereka dapat duit zakat guna untuk beli keperluan hidup, Amil dapat duit zakat pergi tukar sport rim kereta!
Hak tu memanglah hak, tapi pihak berkuasa pun ada pertimbangan juga. Sebab itu mereka kurangkan. Siapa yang hendak jadi Amil mestilah setuju dengan syarat itu, barulah boleh dilantik jadi Amil (pendapat akulah).
Ini ingatan untuk orang muda, yang baru nak masuk jadi pentadbir urusan agama, janganlah tiru perangai orang-orang lama. Mereka dah selesa sangat dengan budaya sedia ada. Kadang-kadang sesuatu perkara itu sengaja disulitkan, entah kenapalah agaknya. Budaya masyarakat sudah sebati dengan mereka sehingga mereka tidak nampak garis pemisah antara ajaran agama dan adat tempatan.

Aku malas nak ambil pusing, emo lah korang kat situ. Sambil aku menyuap bubur ke mulut. Lepas sembahyang nak makan nasi pulak.


Kisah 2

Beberapa malam lepas, berbuka puasa di masjid lagi (buka masjid lagi! hehe). Boleh dikatakan antara hari puasa yang lapar juga lah hari tu. Hari lain aku cool je, tak makan sehari tu biasalah. Tapi ntah hari itu boleh tahan jugalah laparnya. Macam biasa, buka puasa makan bubur, aku ambil separuh mangkuk je, buat apa nak makan banyak-banyak, macam hari lain tak boleh makan je, kata aku dalam hati. Aku terus pegi sembahyang Maghrib, pastu solat sunat, pastu barulah beratur nak ambil nasi. Hari ini lain sedikit, satu meja buffet je buka, ada dua baris. biasanya 2 meja 4 baris. Aku pun beratur lah. Dapat mesej dari kawan dia kata dah kenyang berbuka. Perghh.. Menambah selera nak makan ni. Lebih kurang setengah baris dah ambil nasi, tiba-tiba nasi habis, lagi sedih lauk pun habis. Adus.. laparnya perut ni.

Itu scene nya. Yang aku nak cerita pemerhatian aku terhadap beberapa orang di sekitar:

1) Orang yang awal-awal dah ambil nasi: Aku saspek orang-orang ni yang dengan pelahapnya amik nasi dan lauk banyak-banyak. Rileks la bang, ntah-ntah yang dekat belakang tu lagi ramai lebih kebulur daripada kau. Rezeki tu untuk semua, jangan pulun seorang-seorang. Mana pengajaran Ramadan yang kau dapat?

2) Pihak Katering: Diorang ini aku saspek ada unsur-unsur tidak jujur. Hehehe.. gurau je. Apa masalah diorang pun aku tak tau. Semalam cukup je, hari ini tiba-tiba tak cukup. boleh juga aku ajar diorang Probability & Data Analysis untuk diorang predict jumlah jemaah. Cuma aku terbayangkan, kalaulah ada unsur tidak integriti dalam pengurusan makan berbuka ini, jemaah (rakyat) juga yang dapat susah. Peruntukan telah diberi cukup tetapi bila berlaku ketirisan, kesannya masyarakat lapis terbawah yang menanggung akibat. Sebagai tindak balas timbal balik, terpaksalah pengurusan masjid pula keluarkan lagi duit untuk mencukupkan makanan berbuka (bekalan). Apa agaknya implikasi terhadap negara jika benda ini berlaku di peringkat nasional? Fikirkanlah.

3) Orang-orang kuat masjid: Yang ini aku tak berapa berkenan. Bertaraf orang kuat masjid dah melayakkan mereka mendapat layanan berbuka istimewa. Makanan dah dihidang, tinggal datang dan makan je. Dari mana diorang belajar kasta-kasta ini? Yang lagi aku marah, diorang tak ambil pusing pun jemaah lain tak dapat makanan. Diorang terus dengan agenda mengisi perut itu. Aku konfem sangat lah lauk diorang tu mesti berlebih, sampai boleh ratah-ratah lagi. Apa salahanya bro, kau hulur-hulur sikit kat yang tak dapat makanan ini. Aku belum keluarkan lagi kisah humblenya Nabi Muhammad kita, tak pun kisah Ahmadenijad si Presiden Iran.Cuma ada seorang je la yang risau makanan habis, siap ajak yang tak dapat makan tu pegi berbuka kat restoran lagi. "Sapa yang tak dapat makan lagi tu jom kita makan kat Restoran Sedap. Tau kan Restoran Sedap tu kat mana? Kita jumpa kat sana lah", kata beliau.


Ahmadenijad, Presiden Iran berbuka dengan anak yatim

4) Orang yang tak dapat makan a.k.a. orang yang malang: Walaupun AJK masjid tu kelihatan baik dan memang baik, tapi orang-orang ini tak ambil pusing. Malas nak pegi Restoran Sedap tu. Macam bersungguh-sungguh sangat lah pula. Jadi bertebaranlah mereka membawa nasib malang itu, ada yang balik, ada yang masuk dewan solat semula, ada yang makan bihun sup replacement nasi yang habis a.k.a. dihabiskan.

5) Aku: Terus maintain cool. Nasi takde, maknanya takde lah. Aku masuk balik dewan solat, terus mengadap Al-Quran. Jauh lagi nak capai target KPI aku ini. Habis terawikh je, tanpa banyak bunyi, ambil duit kat umah terus pegi warung tepi jalan order nasi goreng sardin. Setel.




Moral: Jangan marah kalau takde nasi, memang lumrahlah itu. Tak payah caci mencaci macam politikus pemikiran sempit, pergi cari kedai, order makan terus la..

Isnin, 6 September 2010

Berbuka I

[Tajuk] di Bulan Ramadan




Rabu, 25 Ogos 2010

Erti Puasa

[Tajuk] di Bulan Ramadan


Sesekali teringat lagu Ramadan nyanyian Fotograf,

Pertama Ramadhan Ini

Pertama ramadhan ini
aku tidak berlapar lagi
kerna mengingati Mu

Pertama ramadhan ini
aku tidak kehausan lagi
kerna merindui Mu

Sepatutnya entri ini adalah cerita aku sebelum Ramadan membuka tirainya. Aku sebenarnya sudah penat dengan Ramadan yang dipenuhi majlis berbuka dengan makanan yang mewah, berbuka bersama-sama kawan sampai hampir telepas Maghrib. Berbelanja untuk raya sehingga tiada masa beramal dan pelbagai lagi perkara 'mengarut' yang sepatutnya tidak terjadi di bulan Ramadan ini.
Jadi, sebelum bermulanya Ramadan, aku bertekad untuk berpuasa dengan sebenarnya. Aku mahu untuk pertama kalinya Ramadan ini, aku tidak lapar lagi, aku tidak haus lagi, dan aku tidak gelojoh dengan 'perkara-perkara' raya. Siapa boleh beri jaminan kepada aku bahawa tahun hadapan aku akan bertemu Ramadan lagi? Tiada. Aku ingin buka seluas-luasnya hati, aku mahu bayu dari syurga yang dibuka pintunya seluas-luasnya oleh Allah akan sampai kepada aku. Aku mahu bayu itu melembutkan hati keras ini.
Cukup sedar, aku bukan orang yang boleh dikatakan baik. Setiap tingkah, kata dan fikiran tentu saja ada yang tidak menyenangi. Aku sedar diri ini belum pasti dijamin akan ke syurga, jika tidak kerana amalku yang tidak cukup, mungkin juga kerana dosaku sesama manusia. Sedikit sahaja aku 'berurusan' dengan manusia, aku sudah melupakan Allah Maha Esa.
Pertama Ramadan ini, aku bertekad untuk 'melupakan' dunia seketika. Jika ada kata yang terlafaz, aku harap ianya adalah kata-kata yang baik, jika ada perbuatan yang terlaku, ianya adalah ibadah dan jika ada terlintas dalam fikiran, ianya adalah keranaNya. Tapi aku manusia lah kawan, pagi cakap lain, malam buat lain. Aku berdoa agar aku mampu melakukan apa yang aku tekadkan.


Biarku bersendiri
kerana:
Aku mahu hati ini menangis ketika diingatkan dengan Allah,
Aku mahu tidak lapar apabila tidak makan,
Aku mahu tidak haus apabila tidak minum,
Aku mahu tidak rugi jika tidak 'bergembira' berbuka bersama kawan-kawan,
Aku mahu tidak rugi jika tidur ku tidak cukup,
Aku mahu tidak rugi jika masaku habis dengan mengaji,
Aku mahu semua,
Semua aku mahu,
Kerana aku tak boleh menjamin bahawa aku akan bertemu Ramadan hadapan,
Dan tidak menjamin akan ditempatkan di syurga

SEMOGA RAMADAN INI MEMBERI MAKNA KEPADA KITA. AMIN...

Isnin, 23 Ogos 2010

Kombinasi Terbaik

[Tajuk] di Bulan Ramadan


Satu: Hari ini aku sahur minum kopi dan makan kurma. 2 paket aku buat dalam satu cawan. Aku jarang minum kopi dan tak berapa minat sangat pun. Ini kali pertama dalam bulan puasa ini.

Dua: Aku bertanya kepada seorang facebook friend tentang statusnya yang nampak macam sedih.

Tiga: Tazkirah Ramadan di pejabat (setiap Isnin dan Rabu) disampaikan oleh bosku. Pengisian tentang apa dan berapa banyak amalan yang telah kita lakukan untk bulan puasa ini.

Disebabkan kopi, badan aku sangat terasa kesan kafein. Selepas bertanya tentang status facebook aku ke tazkirah Ramadan. Mungkin disebabkan dua perkara sebelum ini, tazkirah itu betul-betul memberi kesan kepada jiwa.

kesimpulan yang aku dapat buat, pada fasa kedua Ramadan: fasa keampunan ini, akan datangkah keampunan Allah kepada ku yang serba kekurangan ini.

p/s: terima kasih kepada yang terlibat dengan pembuatan kopi itu. Terima kasih kepada facebook friend itu, dan terima kasih kepada pemberi tazkirah tadi. Semoga kalian dirahmati Allah. Sebesar-besar syukur kepada Allah yang Maha Besar yang menyusun tiga perkara yang tiada langsung kaitannya dan hasilnya melembutkan hati aku di pagi ini.

Khamis, 12 Ogos 2010

Mengaji Al-Quran

[Tajuk] di Bulan Ramadan

Bulan ini adalah bulan orang berpuasa di siangnya, beramal di malamnya dan berkejar-kejar menambah amal dan juga mengejar malam seribu bulan, Lailatul Qadar. Pintu syurga terbuka luas, bayu berpuput lembut dan siapa yang membuka pintu hatinya, pasti akan di sapa bayu syurga bulan Ramadan. Mereka akan senang beribadat, 'kenyang' tanpa makan di siang hari dan tidak penat bersungguh-sungguh beramal di malam hari.

Yang aku ingin kongsikan adalah perkara asas, yang menjadi perkara mesti-tahu sebagai umat Islam: membaca Al-Quran. Kita perlu akur, ada di kalangan kita yang masih tidak lancar membaca Al-Quran, sedangkan itulah satu-satunya kitab dari 'langit' yang dibukalkan kepada kita. Rugi bagi yang reti membaca not muzik, lancar membaca Inggeris, Mandarin, Bahasa Melayu tetapi tidak pula tahu mambaca Al-Quran. Allah Maha Pemurah, melihat Al-Quran pun sudah dikira pahala, membacanya pula diberi juga pahala, dan apatah lagi memahami tafsirnya.

Sekadar nasihat, pelajarilah Al-Quran, tak malu kalau kita gagap mengaji di hadapan orang kerana belajar, lagi malu kita kalau bila ditanya Allah di padang Mahsyar nanti. Orang yang pandai pula, sungguh besarlah malu jika kamu mempersenda mereka yang belajar ini. Mereka lagi mulia dari kamu di sisi Allah.

Jadi, di bulan mulia Ramadan ini, bacalah Al-Quran, berhentilah dulu berbuat perkara-perkara yang bukan ibadat. Sesungguhnya Ramadan ini akan berlalu tanpa akan kembali, dan kembara mengejar Ramadan tahun hadapan adalah sesuatu yang tidak tentu adanya.

Isnin, 9 Ogos 2010

Kalah di Ambang Menang v1

Aku pasti menang. Ia di hadapanku. Menanti penuh sabar. Kemenangan idaman. Walaupun belum di garis akhir, tapi keputusannya sudah kutahu. Hakim masih membisu, tapi kutahu apa bicaranya. Dan hadiah itu menunggu. Hadiah itu memang idaman pelumba-pelumba. Satu hadiah yang diidamkan, menceriakan, mempesonakan, didamba dan yang paling penting membahagiakan. Kerana ia membahagiakan, jadi untuk sementara ini kita gelarkan hadiah itu 'B'. Hadiah B itu memang dikejar, dan pelumbaan ini wujud semata-mata hadiah B. Tanpa hadiah B perlumbaan ini adalah gila, sia-sia, dan tak akan wujud. Mereka berlumba, mereka itu termasuklah aku, semata-mata mengetahui yang hadiah itu adalah hadiah B. Kami tergila-gilakan hadiah B. Aku tidak tahu siapa mereka yang lain, dan dari mana mereka mula. Pastinya mereka mula lagi awal daripada aku, dan mungkin ada yang lewat daripada aku. Tidak mustahil, kerana perlumbaan untuk hadiah B initidak punya titik mula absolut. Dari mana-mana pun kau boleh mula, dan tak semestinya yang mula lewat atau yang mula awal akan menang. Ia nasib, dan juga skil.
Ketika jarak itu semakin dekat (dekat ialah satu ukuran relatif, jadi apa yang aku panggil dekat adalah justifikasi aku sendiri, ini absolut), aku tak inginkan kemenangan. Aku bukan tak mahukan hadiah B tapi aku tak inginkan kemenangan. Tetapi hadiah B hanya boleh diperolehi sekiranya kau menang. Tapi aku tak inginkan kemenangan ini. Ini konflik. Aku konflik ketika kemenangan itu aku genggam, hampir. Aku tetap tak mahukan kemenangan, tapi mahukan hadiah B. Hukum peraduan itu tetap, menang baru boleh dapat hadiah B. Hati aku juga tetap, tak mahu kemenangan. Ketetapan yang terpaksa. Menolak kemenangan, dan dengan ketenangan hati yang berat kusilangkan kaki, tersadung kaki dengan kaki sebelah, lalu jatuh. Bulat tekad-silang kaki-jatuh-tersungkur-kalah. Maka akan rasmi aku kalah, pelumba yang lain akan memintas, menang di atas kekalahanku.


Kalah yang dipilih, kemenangan yang ditolak.

(mungkin ada versi 2 (v2) jika aku ingin cantikkan bahasa cerita ini)